KEPUTUSAN SPM membantu pelajar memilih program dan ipt untuk melanjutkan pengajian .
KEPUTUSAN SPM membantu pelajar memilih program dan ipt untuk melanjutkan pengajian .
Suliati Asri


TINGGAL tiga hari saja lagi, keputusan SPM yang sememangnya dinanti-nantikan semua calon SPM 2022 akan diumumkan.

Pastinya, saat ini sudah ramai yang tidak senang duduk dan berdebar menanti tarikh 'keramat' itu.

Namun, selepas itu ke mana hala tuju mereka? Adakah keputusan SPM itu tiket untuk pemilihan program? Universiti mana yang paling sesuai? Perlukah ke luar negara?

Dalam membuat keputusan, apakah yang harus dititik beratkan mereka?

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, apabila pelajar memperoleh keputusan SPM, mereka begitu teruja terutama yang mendapat keputusan cemerlang.

Katanya, ketika itu motivasi, semangat dan keghairahan mereka untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) sama ada dalam mahu pun luar negara dalam keadaan yang sangat maksimum.

"Kita faham akan keterujaan yang dirasai. Bagaimanapun, sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk menyemak terlebih dahulu program yang diinginkan.

"Bukan itu saja, apa yang penting adalah dengan menyemak terlebih dahulu status universiti yang menawarkan program terbabit sama ada mempunyai pengiktirafan atau sebaliknya," katanya.

Dalam konteks kita di Malaysia katanya, ia perlu mendapat pengiktirafan MQA manakala di luar negara pula, mereka mempunyai badan akreditasi dari badan yang terbabit.

"Oleh itu, apa yang kita boleh nyatakan kepada pelajar selepas SPM adalah mereka perlu nilai keputusan yang diperoleh sesuai untuk mengambil jurusan yang diinginkan.

"Selain itu, bagi pelajar yang memilih universiti dalam negara, pastikan universiti itu mendapat pengiktirafan MQA.

MQA akan sentiasa memastikan universiti atau program yang ditawarkan itu mendapat pengiktirafan atau akreditasi.
MQA akan sentiasa memastikan universiti atau program yang ditawarkan itu mendapat pengiktirafan atau akreditasi.

"Itu antara perkara asas yang boleh dilakukan pelajar. Jika menerima surat tawaran, jangan begitu teruja untuk menerimanya.

"Kita tidak mahu segala bentuk pelaburan terutamanya masa dan wang ringgit menjadi sia-sia apabila ijazah dan diploma yang ditawarkan tidak diiktiraf MQA dan kerajaan Malaysia," katanya.

Mengulas mengenai keputusan SPM adalah tiket bagi pelajar untuk menceburi pelbagai bidang kata Dr Mohammad Shatar, secara umumnya, ramai yang mengatakan bahawa SPM adalah sijil asas untuk membuka pintu kepada seluruh pelajar Malaysia memilih bidang diminati apabila melanjutkan pelajaran atau kerjaya.

Dr Mohammad Shatar
Dr Mohammad Shatar

"Jadi, keputusan SPM ini secara umumnya boleh menentukan hala tuju pelajar sama ada mereka ini lebih cenderung ke dalam bidang berteraskan sains, sains sosial atau sastera, sebagai contoh.

"Walaupun ia tidak disahkan 100 peratus, namun secara asasnya ia mampu dijadikan panduan untuk menentukan hala tuju pelajar itu dalam memilih bidang pengajian ataupun kerjaya mereka di kemudian hari," katanya.

Berdasarkan pengalaman dan rekod yang diperoleh bukan saja dari MQA tetapi juga dapatan dari kajian yang dibuat penyelidik sebelum ini, di peringkat negara menunjukkan satu trend atau dapatan yang menyatakan bahawa mereka yang mempunyai asas yang kuat dalam bidang sains di peringkat SPM mempunyai kebarangkalian mampu mengikuti program yang berteraskan sains di universiti dan begitulah sebaliknya.

KEPUTUSAN SPM sebagai asas dalam meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi. (Gambar hiasan)
KEPUTUSAN SPM sebagai asas dalam meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi. (Gambar hiasan)

Sekiranya pelajar itu lemah sains tetapi memilih program sains di peringkat universiti, ia mungkin menimbulkan masalah dan berkemungkinan tidak mampu mengikuti program terbabit.

Oleh itu, kata Mohammad Shatar, walaupun kita boleh mengatakan secara umum SPM itu adalah gambaran kasar kepada kerjaya atau bidang pengajian yang kita pilih, namun ia bukan satu kepastian.

"Ada juga dalam beberapa kes, di mana pelajar yang tidak berapa kuat dalam sains ketika SPM tapi mampu jadi pelajar cemerlang dalam bidang sains di universiti.

"Tapi seperti yang saya katakan tadi, secara umumnya, kita boleh gunakan SPM itu sebagai tiket untuk pelajar ceburi bidang ditawarkan di universiti terutama dalam sains, sains sosial atau seni," katanya.

Di Malaysia terdapat 20 IPT awam dan lebih 400 IPT swasta. Secara umumnya, IPT di negara ini dikawal selia dengan MQA dengan memastikan program yang ditawarkan mendapat kelayakan atau akreditasi daripada pihak MQA.

Bagaimanapun menurut Mohammad Shatar, penyelidikan dan penyemakan dalam pemilihan ITP tidak boleh diambil mudah.

"Perkara yang paling mudah dilakukan adalah dengan menyemak IPT terbabit dari segi kesahihannya.

"InsyaAllah, kita di MQA mempunyai senarai universiti yang dapat pengiktirafan. Penting kepada pelajar kita untuk ikuti pengajian di IPT yang dapat pengiktirafan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 7:00 AM