LEBIH 200 peserta dari pusat bertauliah, institut kemahiran, kolej dan universiti yang menawarkan program berasaskan TVET hadir pada ‘town hall’ berkenaan.
LEBIH 200 peserta dari pusat bertauliah, institut kemahiran, kolej dan universiti yang menawarkan program berasaskan TVET hadir pada ‘town hall’ berkenaan.
Suliati Asri


DALAM usaha memperkukuh minat masyarakat terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Kementerian Pendidikan Tinggi dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian

Sumber Manusia giat menjalin kerjasama untuk memastikan sektor TVET selaras dengan sektor akademik.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, penyelarasan Sistem Jaminan Kualiti TVET di Malaysia adalah perlu dan tepat pada masanya.

Oleh itu, katanya, usaha untuk mengharmonikan dan menyatukan sistem jaminan kualiti yang pelbagai ke dalam Sistem Jaminan Kualiti Tunggal berasaskan Kod Amalan Pentauliahan Program TVET (COPTPA) adalah signifikan.

"COPTPA sudah dibangunkan dengan kerjasama MQA dan JPK dengan mengambil kira tujuh bidang Jaminan Kualiti Malaysia dan keperluan yang berbeza bagi setiap jenis program TVET.

"Dokumen amalan baik itu, juga sudah dibangunkan melalui perundingan dengan semua kategori pihak berkepentingan terdiri daripada penggubal dasar daripada kementerian berkaitan, institusi pendidikan tinggi (IPT), penyedia latihan, panel penilai, wakil industri serta pegawai MQA dan JPK.

"Sehubungan ini, melalui Jawatankuasa TVET MQA dan JPK, kami amat menggalakkan dan berharap COPTPA menjadi rujukan utama pentauliahan program TVET dan seterusnya memenuhi inspirasi negara dalam memastikan kualiti program TVET terjamin.

"Usaha JPK bersama MQA dalam mempromosi dan menggalakkan lebih banyak pusat pentauliahan dan IPT untuk melalui Sistem Jaminan Kualiti Tunggal TVET Berasaskan COPTPA ini amat dihargai dan dengan kerjasama semua pihak, pelaksanaan inisiatif ini diyakini dapat menyokong agenda TVET negara dalam pembangunan bakat dan pekerja berkemahiran tinggi," katanya ketika menyampaikan ucaptama penutup pada Program Town Hall Sistem Jaminan Kualiti TVET Berasaskan COPTPA sempena dengan Karnival TVET MADANI, baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Profesor Ir Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan JPK, Dr Mohd Yusoff Abu Bakar dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi JPK Abdul Halim Abdul Rahman.

Dr Mohammad Shatar berkata, bagi memperkasakan TVET, penjenamaan dan reputasinya perlu dipertingkatkan selain inisiatif itu memerlukan usaha lebih jitu bagi mengukuhkannya secara holistik.

DR Khairul Salleh ketika menyampaikan ucaptama pada perasmian penutup sesi town hall.
DR Khairul Salleh ketika menyampaikan ucaptama pada perasmian penutup sesi town hall.

Menurutnya, terdapat banyak platform media sosial yang boleh dimanfaatkan secara optimum bagi mempromosikan TVET termasuk memaparkan kejayaan graduan dan alumni TVET sekali gus menjadikannya sebagai kerjaya pilihan.

"Saya percaya, langkah ini dapat meningkatkan daya tarikan ramai, sekali gus menjadikan TVET pemangkin utama dalam melahirkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi seperti mana negara maju lain.

"Agenda Pemerkasaan TVET yang diterajui Majlis TVET Negara (MTVET) menggariskan beberapa inisiatif yang berimpak besar dan strategik.

"Pelaksanaan 'town hall' ini adalah satu lagi inisiatif yang signifikan diterajui oleh JPK dan MQA merangkumi aspek akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan program TVET," katanya.

Dr Mohammad Shatar berkata, bilangan pelajar aliran vokasional dan teknikal di negara maju adalah tinggi, misalnya di Jerman, TVET dianggap satu daripada sistem pendidikan utama, sehingga 70 peratus pelajarnya memasuki aliran vokasional.

Katanya, senario itu juga terdapat di negara-negara maju di Asia seperti Korea Selatan yang berjaya bangkit dengan pantas daripada kemusnahan perang untuk muncul sebagai kuasa besar ekonomi hasil pengukuhan pendidikannya termasuk bidang TVET.

"Dengan menjadikan kedua-dua negara ini sebagai contoh, amat signifikan untuk Kerajaan menetapkan TVET sebagai antara perkara yang perlu diberikan keutamaan bagi memacu pembangunan ekonomi negara.

"TVET juga dikenal pasti sebagai salah satu daripada 14 pemacu perubahan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe12) kerana sudah sampai masa TVET menjadi pilihan utama para belia dalam mempersiapkan diri mereka untuk masa depan seperti mana negara maju lain.

"Justeru, pelbagai strategi digariskan termasuk menangani isu pertindihan dan merombak tadbir urus TVET, mempromosikan jenamanya selain meningkatkan kualiti program dan mewujudkan pangkalan data," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 6:11 AM