Raja Noraina Raja Rahim


BIARPUN sedih kerana tidak dapat bersama keluarga, rakyat Malaysia yang berada di Ottawa, Kanada akan tetap meraikan Aidilfitri secara sederhana di perantauan.

Namun, perasaan itu sedikit terubat apabila meraikan hari lebaran bersama rakyat Malaysia lain yang berada di negara berkenaan.

Mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 termasuk pembatalan penerbangan dan penutupan beberapa lapangan terbang bagi tujuan transit, kebanyakan pelajar membuat keputusan untuk terus kekal di Kanada.

Berikutan itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada, Datuk Nor'Aini Abd Hamid mengambil inisiatif menghantar biskut raya kepada penuntut dan rakyat Malaysia di Kanada.

Salah seorang rakyat Malaysia di Kanada, Muhammad Aiman Ridzuan berkata, ia kali pertama berjauhan dengan keluarga berikutan tuntutan persekitaran yang tidak mengizinkan pulang ke tanah air menyambut Aidilfitri.

Bagaimanapun katanya, pengalaman itu turut mempunyai kelebihan tersendiri.

"Kehadiran pelajar Malaysia yang lain akan membantu mengurangkan rasa rindu saya kepada keluarga. Hari Raya kali ini akan disambut sederhana dengan mengamalkan normal baharu dan mengikut arahan pihak berkuasa tempatan," katanya.

Perasaan sama dirasai penuntut tahun akhir jurusan Kejuruteraan Mekanikal, Ahmad Al Barr Mohammad Mubin yang berpeluang merasai pengalaman berbeza menyambut Aidilfitri.

"Sambutan Aidilfitri bersama rakyat Malaysia di perantauan menjadi contoh kepada masyarakat asing betapa harmoni budaya Malaysia menyambut perayaan walaupun dalam situasi mencabar ini," katanya.

Ahmad Al Barr turut bersama Suruhanjaya Tinggi Malaysia mengedarkan biskut raya kepada penuntut lain tanpa mengira bangsa dan agama bagi menyemarakkan suasana hari raya di perantauan.

Selain itu, pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sedang berkursus di International Test Pilot School dan Pusat Latihan Taktikal Antarabangsa, London, Ontario juga menerima biskut raya daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Ottawa.

Bagi penuntut Doktor Falsafah dari Universiti Ottawa, Azim Mohd Arshad berkata, sambutan Aidilfitri kali ini berbeza berbanding tahun sebelumnya kerana larangan berkumpul melebihi lima orang dan penutupan masjid yang menggalakkan solat sunat Hari Raya dilakukan di rumah.

Katanya, beliau bercadang menjemput rakan lain menunaikan solat dan mewujudkan suasana hari raya.

Sementara itu, Nor'Aini berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara itu masih berkuat kuasa walaupun beberapa wilayah melonggarkan kawalan dan larangan bagi menjana kembali ekonomi.

"Syawal akan membawa rahmat dan suasana kehidupan yang sihat kepada seluruh manusia sejagat jika semuanya prihatin dan bekerjasama menangani pandemik itu.

"Kami mendoakan semoga Allah menerima amal ibadah kita agar ia membolehkan kita memperolehi kemenangan ke atas pandemik yang mengancam dunia," katanya yang akan menyambut Syawal tanpa suami Hasdi Yusoff, berikutan pulang ke Malaysia mendapatkan rawatan kesihatan dan masih terkandas akibat pembatalan penerbangan.

Nor'Aini dan seluruh pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, memohon kemaafan kepada saudara-mara serta rakan selain turut berterima kasih kepada petugas barisan hadapan yang membantu negara menghadapi cabaran Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 10:06 AM