Raja Noraina Raja Rahim dan Yusmizal Dolah Aling


SEBANYAK 74 peratus rakyat negara ini yang menyertai kaji selidik dilakukan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memilih menyambut Aidilfitri di rumah tanpa kehadiran tetamu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peratusan itu daripada 215,712 individu yang menyertai kaji selidik mengenai bagaimana mereka ingin menyambut perayaan Aidilfitri akan datang.

"Mereka diberi tiga pilihan jawapan iaitu pertama mahu berhari raya di rumah dengan keluarga yang berada di dalam rumah itu manakala pilihan kedua berhari raya bersama saudara mara terdekat dan ketiga berhari raya bersama saudara mara jauh serta jiran.

"Hasil kaji selidik itu, 74 peratus memberi jawapan pertama manakala 20 peratus memilih jawapan kedua dan enam peratus jawapan ketiga.

"Kalau inilah pandangan orang ramai, maka saya tidak rasa bimbang sangat," katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Menurutnya, walaupun kerajaan memberi kelonggaran untuk 20 individu dibenarkan menziarah pada perayaan hari pertama Aidilfitri, tetapi ramai yang takut wujud kluster balik kampung pada perayaan itu nanti.

"Kalau ramai memilih untuk berada di dalam rumah, maka tidak timbul kebimbangan kita mengenai penularan Covid-19 dan pertambahan kes sempena hari raya nanti.

"Saya harap 20 peratus dan enam peratus responden yang memberi jawapan kedua dan ketiga itu juga akan berbuat sama seperti seperti kumpulan jawapan pertama iaitu beraya dengan keluarga di dalam rumah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 3:52 PM