PROF Emeritus Datuk Dr Mohamad Abd Razak ketika berucap pada majlis sambutan Jubli Emas 50 tahun Falkulti Perubatan UKM. FOTO GENES GULITAH
PROF Emeritus Datuk Dr Mohamad Abd Razak ketika berucap pada majlis sambutan Jubli Emas 50 tahun Falkulti Perubatan UKM. FOTO GENES GULITAH
Natrah Laili Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengalami evolusi seiring dengan perubahan masa untuk mencapai matlamat jangka panjang memberi pendidikan dalam profesional perubatan dan perkhidmatan bermutu tinggi.

Dekan Fakulti Perubatan Prof Dr Halim Abdul Ghafor berkata tempoh 50 tahun ini mematangkan Fakulti Perubatan sebagai hab akademik perubatan (pengajaran dan pembelajaran) yang terkehadapan dan berdaya saing.

Menurutnya, ia berteraskan ilmu, inovasi dan pasukan profesional perubatan yang berdedikasi dalam membentuk masyarakat yang sihat dan bermaklumat.

"Walaupun berhadapan dengan seribu satu ranjau dan halangan namun fakulti ini bergerak pantas seiring kemajuan semasa mara ke depan.

"Buktinya, dalam era Covid-19, pakar dan doktor Fakulti Perubatan sudah memberikan perkhidmatan yang tertinggi untuk menyelamatkan rakyat di negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena sambutan Jubli Emas ke-50 tahun Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di Auditorium, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), hari ini

Ia dirasmikan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Prof Emeritus Datuk Dr Mohamad Abd Razak di Auditorium, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM),

Dalam majlis itu, dua buku iaitu biografi Datuk Dr Amir Abbas dan Sejarah Fakulti Perubatan UKM turut dilancarkan.

​Tambah Halim, selain kejayaan dalam bidang penyelidikan, fakulti Perubatan juga meningkatkan kualiti dan kuantiti dalam penerbitan berimpak tinggi.

"Ini menunjukkan bahawa fakulti kita bukan hanya menjadi hab akademik perubatan tetapi adalah sebuah gedung ilmu yang melahirkan pemimpin tersohor dalam bidang perubatan, klinikal mahupun pra-klinikal.

"Inovasi dan dedikasi pasukan pensyarah Fakulti Perubatan sentiasa profesional dan penyelidikan yang terkehadapan. Ia membolehkan Fakulti Perubatan memberikan perkhidmatan bermutu tinggi berteraskan penyelidikan dan penerbitan," katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, penyelidik fakulti diseru untuk merangsangkan minda dan menambahkan pemikiran lagi bagi menghasilkan lebih banyak idea dan kolaborasi penyelidikan.

Menurutnya, pencapaian fakulti terkini di dalam penerbitan bagi tahun 2022 di dalam Jurnal Terindeks setakat 30 Mac 2022 adalah sebanyak 132 penerbitan iaitu 94 daripadanya diterbitkan di dalam jurnal terindeks Quartile 1 manakala 80 artikel diterbitkan di dalam jurnal terindeks Quartile 2.

"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Fakulti Perubatan berjaya mencapai peningkatan sehingga 64 peratus dalam penerbitan artikel di dalam Jurnal Terindeks berkuartil satu dan dua. 9.

"Bagi pencapaian Geran Luar, Fakulti juga telah menunjukkan trend peningkatan dari tahun ke tahun. Pencapaian terkini sebanyak RM223,000 bagi Geran Antarabangsa manakala sebanyak RM400,000 bagi Geran Industri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 2:44 PM