PENYELIDIKAN sepatutnya membantu mengatasi masalah atau isu dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat. - Gambar hiasan
PENYELIDIKAN sepatutnya membantu mengatasi masalah atau isu dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat. - Gambar hiasan
MELALUI penyelidikan, bakat atau ahli penyelidik baru dapat dilahirkan. - Gambar hiasan
MELALUI penyelidikan, bakat atau ahli penyelidik baru dapat dilahirkan. - Gambar hiasan
UNIVERSITI berperanan melahirkan ahli akademik dan penyelidik berkualiti dan bertaraf antarabangsa. - Gambar hiasan
UNIVERSITI berperanan melahirkan ahli akademik dan penyelidik berkualiti dan bertaraf antarabangsa. - Gambar hiasan
BARANGAN yang berkualiti dapat dihasilkan melalui penyelidikan. - Gambar hiasan
BARANGAN yang berkualiti dapat dihasilkan melalui penyelidikan. - Gambar hiasan
PENYELIDIKAN berkualiti dan bermanfaat mampu mengharumkan nama negara. - Gambar hiasan
PENYELIDIKAN berkualiti dan bermanfaat mampu mengharumkan nama negara. - Gambar hiasan
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Penyelidikan bukan saja mampu meningkatkan martabat sistem pendidikan sesebuah universiti, malah turut menjadi aset penting kepada negara.

Malaysia antara negara yang giat melahirkan ahli akademik dan penyelidik dengan kewujudan universiti awam (UA) khusus bertaraf penyelidikan seperti Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.

Namun adakah fungsi penyelidikan di universiti hanya bermanfaat untuk akademik semata-mata, bukannya kepada masyarakat seperti yang disasarkan?

Pengarah Penyelidikan dan Inovasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Profesor Madya Datin Dr Sapora Sipon berkata, sesuatu penyelidikan sepatutnya bermatlamat untuk menyelesaikan masalah atau sesuatu isu.

“Sebagai contoh isu banjir. Adakah pihak universiti menjalankan penyelidikan bagi membantu mengatasi atau sekurang-kurangnya mengurangkan masalah itu.

“Penyelidikan juga bertujuan menghasilkan produk berkualiti yang dapat meningkatkan taraf kehidupan masyarakat,” katanya.

Dr Sapora berkata, jika masalah banjir dapat dikurang atau diatasi, secara tidak langsung kualiti hidup penduduk di kawasan bencana itu akan bertambah baik manakala penghasilan produk bermutu dapat membantu masyarakat memperoleh barangan lebih berkualiti.

Sehubungan itu, katanya, penyelidikan yang dijalankan universiti perlu berpandukan kepada Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang antara lain bertujuan memperkasakan penyelidikan dan inovasi.

“Kementerian Pendidikan Tinggi memberi perhatian serius terhadap penyelidikan dan universiti perlu bertanggungjawab menghasilkan penyelidikan yang bermanfaat dan bukannya syok sendiri.

“Dengan kata lain, penyelidik bertanggungjawab menjalankan penyelidikan yang seiring dengan inovasi,” katanya.

Katanya, tujuh teras utama dalam Pelan Strategik USIM 2016-2025 turut menekankan kepentingan penyelidikan dan inovasi.

Antaranya, menghasilkan pengeluaran daripada hasil penyelidikan yang relevan kepada industri dan kesejahteraan ummah dengan sasaran 60 peratus pensyarah menjadi penyelidik utama.

Penyelidikan itu juga berfungsi melahirkan bakat penyelidik membabitkan siswa peringkat ijazah sarjana, doktor falsafah (PhD) dan Global Research Alliance (GRA) untuk terus menghasilkan penyelidikan bermanfaat.

“Hasil penyelidikan yang baik bukan saja dapat melahirkan bakat baru penyelidik, tapi juga menghasilkan penyelidikan dalam bentuk penerbitan,” katanya.

Kata Dr Sapora, hasil penyelidikan yang dibukukan sangat penting kerana ia dapat membantu penyelidik dan hasil mereka dikenali dan diakses ke seluruh dunia.

Katanya, selain menghasilkan penerbitan jurnal secara dalam talian, penerbitan juga boleh dibuat dalam bentuk buku atau melalui kertas kerja yang dibentangkan di persidangan luar negara.

“Hasil daripada penyelidikan itu bukan saja memberi manfaat kepada penyelidik, malah dapat menaikkan taraf atau kualiti penyelidikan negara,” katanya.

Justeru, katanya, penghasilan penyelidikan yang berkualiti dan memberi manfaat kepada masyarakat dapat membantu mempromosikan Malaysia di mata dunia.

“Selain mengharumkan nama negara, jika penyelidikan itu membantu terutama dalam penghasilan produk seperti perubatan, kita turut menjadi tumpuan sebagai pengeluar dan pembekal.

“Sebagai contoh penyelidikan untuk mencari penawar atau vaksin virus Zika kerana ia melanda banyak negara. Jika Malaysia dapat hasilkannya, kita menjadi tumpuan negara luar untuk mendapatkan sumber itu,” katanya.

Dr Sapora berkata, usaha itu dapat melahirkan lebih ramai penyelidik hebat kerana ia mendorong lebih ramai menghasilkan penyelidikan berkualiti.

“Pada pendapat saya, istilah penyelidikan ‘syok’ sendiri tidak seharusnya wujud kerana sebagai penyelidik, mereka bertanggungjawab dan memikul amanah untuk menghasilkan sesuatu yang berfaedah bukan saja kepada penyelidik, malah masyarakat.

“Setakat ini tiada yang tidak berfaedah kerana di USIM sendiri, kita akan baca dengan teliti kertas cadangan yang dikemukakan sebelum meluluskan sesuatu penyelidikan,” katanya.

Beliau tidak menolak wujud penyelidikan syok sendiri, namun jumlahnya sedikit.

INFO

- Universiti penyelidikan memberi tumpuan kepada bidang penyelidikan manakala universiti berfokus memberikan tumpuan terhadap bidang khusus berkaitan dengan penubuhannya dan universiti komprehensif pula menawarkan pelbagai kursus dan bidang pengajian.

- Universiti awam di Malaysia dikategorikan kepada tiga kumpulan, iaitu universiti penyelidikan, universiti komprehensif dan universiti berfokus.

- Sehingga kini ada 20 universiti awam di seluruh negara dengan lima universiti penyelidikan, empat universiti komprehensif dan 11 universiti berfokus.

Universiti Penyelidikan:

1. Universiti Malaya (UM)

2. Universiti Sains Malaysia (USM)

3. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

4. Universiti Putra Malaysia (UPM)

5. Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Universiti Komprehensif:

1. Universiti Teknologi MARA (UiTM)

2. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

3. Universiti Malaysia Sabah (UMS)

4. Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)

Universiti Berfokus:

1. Universiti Utara Malaysia (UUM)

2. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

3. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

4. Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)

5. Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

6. Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

7. Universiti Malaysia Pahang (UMP)

8. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

9. Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

10. Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

11. Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 9:57 AM