KEUNIKAN tenunan yang dilakukan secara tradisional berjaya membuatkan minat pelajar semakin mendalam.
KEUNIKAN tenunan yang dilakukan secara tradisional berjaya membuatkan minat pelajar semakin mendalam.
Suliati Asri


TENUNAN bukanlah seni yang mudah. Demi menjaga keaslian dan kualiti, ketelitian serta kesabaran dalam penghasilannya sangat dituntut.

Selain itu, tenun ini juga memerlukan kreativiti penenun yang juga senjata utama bagi menghasilkan produk yang memenuhi permintaan pasaran dalam dan luar negara.

Penghasilan kain tenun yang menggunakan cara tradisional memperlihatkan kemahiran seni tenun ini sesuatu yang rumit dan 'membosankan' terutama kepada golongan muda.

Namun, tak kenal maka tak cinta. Walaupun bermula tanpa minat, tidak bermakna seseorang itu tidak boleh mempelajari kemahiran yang mempunyai keunikan tersendiri selain ia adalah warisan tradisional sejak zaman berzaman.

Bukan itu saja, kain ini juga tahan lama sehingga boleh mencecah usia lebih seratus tahun jika dijaga dengan sempurna.

Pelajar Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam (IKTDP), Nur Fatin Farihah Mohd Zulnaim, 20, berjaya membuktikan walaupun memulakan pembelajaran di institusi ini tanpa minat, namun keunikan tenun itu sendiri membuatkannya semakin jatuh cinta.

"Sejujurnya, saya memulakan pengajian di IKTDP ini atas permintaan keluarga. Semester pertama adalah yang paling mencabar buat saya kerana perlu bergelut dengan perasaan.

"Namun, saya akui bidang tenunan ini punyai keunikan tersendiri. Semakin kita mempelajarinya, minat itu semakin mendalam.

"Lebih menarik, kita boleh mengolah dan menzahirkan kreativiti kita pada kain tenunan yang kita hasilkan," katanya yang kini belajar di semester akhir.

Walaupun ramai yang menyifatkan tenun ini adalah proses yang susah kerana perlu ketelitian dan kesabaran, Nur Fatin berkata tidak rugi untuk mempelajari bidang ini.

"Sebenarnya, belajar tenunan ini sangat berbaloi kerana kita boleh mempelajari bagaimana sebenarnya masyarakat dahulu menghasilkan kain yang bukan saja cantik malah tahan lama jika dijaga dengan baik.

"Kemahiran yang kita ada juga boleh dipraktikkan sampai bila-bila dan ia juga mampu memberikan pulangan yang lumayan," katanya akan bercadang untuk terus bekerja dalam bidang tenunan ini selepas menamatkan pengajian kelak.

Bagi Norzawani Mardiah Zainudin, 21, mempelajari bidang kemahiran terutama tenun mengajarnya untuk tidak mudah berputus asa dan sentiasa ingin berusaha dalam mencari ilmu.

Bukan itu saja, katanya ilmu kemahiran warisan tradisional itu juga boleh digunakan dan dimanfaatkan sampai bila-bila.

"Ketika mula-mula ke sini, saya tidak tahu mengenai tenun dan yang pasti ia sangat berbeza dengan program yang saya ikuti sebelumnya iaitu pendidikan awal kanak-kanak.

"Namun, persekitaran pembelajaran dan keunikan seni warisan tradisional ini membuatkan lama kelamaan minat itu semakin bercambah.

"Pembelajaran di sini juga lebih kepada praktikal. Ditambah pula dengan tenaga pengajar yang banyak membantu dan sangat dekat dengan pelajar, minat itu memaksa saya untuk terus mempelajarinya," katanya.

Mengulas mengenai perbezaan seni kemahiran dan teori, akui Norzawani, bagi yang tidak minat mengenai teori, ambillah pengajianyang membabitkan kemahiran.

"Kalau teori ni, memerlukan kita banyak mentelaah buku berbanding dengan kemahiran. Selain itu, aktiviti harian kita juga sebenarnya membabitkan banyak kemahiran.

'Ilmu kemahiran ini juga boleh dibawa sampai bila-bila," katanya yang berhasrat untuk menyambung pengajian di Institut Kraftangan Negara diperingkat Diploma selepas ini," katanya.

Bagi terus memartabatkan hasil tenun negara sekali gus menghasilkan lebih ramai generasi muda yang meminati bidang tenunan, Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam (IKTPD) ditubuhkan.

Terletak di kawasan Kompleks Budaya Pulau Keladi Pekan, Pahang, IKTDP adalah pusat latihan pertama menawarkan pengkhususan dalam bidang Seni Kraf Tenun Pahang DiRaja.

Pengurus IKTPD, Fairuz Hafiezal Rosli berkata, institut berkenaan menawarkan program latihan peringkat sijil sepenuh masa membabitkan tempoh pengajian selama dua tahun kepada individu yang berminat mempelajari kemahiran Tenun Diraja Pahang.

Fabrik
Fabrik

Menurutnya melakukan sesi pengambilan pelajar dua kali setahun iaitu pada Januari dan Julai, sepanjang pengajian pelajar akan diberikan pendedahan bermula daripada asas pembuatan hinggalah kepada penghasilan kain tenun Diraja Pahang dengan bimbingan tenaga pengajar yang berpengalaman dan kemudahan tenunan lengkap.

"Sebagai institut yang memfokuskan kepada seni tenun ini, kami sememangnya sangat mengalu-alukan penyertaan pelajar dan mereka yang mahu mendalami kemahiran tenun yang cukup unik ini.

"Selain menyediakan bengkel pembelajaran yang serba lengkap, pelajar sini juga turut disediakan tempat tinggal, makan minum dan elaun bulanan.

"Lebih menarik, pelajar yang berjaya menamatkan pengajian turut mempunyai peluang pekerjaan yang cerah termasuklah bekerja di bawah syarikat tenun milik Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah iaitu Tenun Che Minah Sayang," katanya.

Selain peluang kerja yang menanti pelajar di IKTDP ini, Kata Fairuz keunikan kemahiran tenunan ini juga boleh menjana ekonomi dan satu lagi sebagai terapi.

Di sini, pelajar akan merasa lebih tenang kerana dapat bermain dengan warna, benang dan proses penghasilan kain tenunan yang lebih santai.

"Ia sekali gus ibarat terapi dan bebas dari tekanan," katanya. Walaupun tenunan sering dikaitkan dengan rekaan tradisional namun dalam mempelbagaikan hasil rekaan dan mengikut 'trend' terkini, pelajar di IKTDP turut didedahkan dengan rekaan kontemporari sekali gus membolehkan mereka menghasilkan kain tenunan mengikut kepada kreativiti mereka.

Menurutnya, di IKTDP silibus pengajaran adalah berperingkat dan sepanjang empat semester ini, pelajar akan mempelajari pelbagai ilmu kemahiran tenun termasuklah mempelajari cara untuk memproses tenunan, teknik-teknik tenun tradisional, teknik ikatan dan rekaan kontemporari.

"Untuk menarik minat pelajar lebih fokus dalam bidang tenun ini, di IKTDP kami bermain dengan rekaan terkini. Dalam masa yang sama, ketika di semester keempat, mereka akan belajar rekaan kontemporari.

"Apa yang mengejutkan dan cukup membuatkan saya merasa kagum, pelajar-pelajar bukan saja memberikan pelbagai idea yang menarik tetapi sangat luar biasa.

"Sebagai contoh, seorang graduan nie sangat meminati filem Star Wars. Jadi, dia mengeluarkan keluarkan elemen dari filem di atas kain tenunannya," katanya.

Sementara itu, sebagai generasi ke 11 dalam bertenun, Adiguru Kraf Tenunan Pahang, Nortipah Abdul Kadir atau mesra disapa

Makteh melihat seni tenun ini tidak akan pupus tetapi kemungkinan tenaga pekerjanya kurang jika golongan muda tidak minat menceburi bidang kemahiran ini.

Jadi, apa yang diharapkan MakTeh dan selalu nasihatkan pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh dalam mempelajari kemahiran yang penuh dengan kehalusan ini.

"Dulu, MakTeh juga melalui fasa yang sukar ketika belajar. Kain tenun yang dibuat rosak sana sini dan MakTeh juga menangis dengan cabaran yang dilalui ketika menimbah ilmu.

"Tetapi dalam pada menangis itu kita berhenti sekejap. Niatkan dalam hari, kita nak ilmu sebab ilmu tenunan ini bukan setakat main-main tetapi boleh jadi satu mata pencarian sekali gus membantu keluarga," katanya.

Selain itu, menurutnya, bertenun ini adalah satu pekerjaan yang sangat mudah dan baik selain 'berkat.'

"Buatlah kerja dengan tekun, sabar, ikhlas dan amanah. Kita kena pegang empat ini untuk sentiasa buat yang terbaik dalam bertenun.

"Seurat benang nak jadikan kain, pasti banyak masalah yang kita akan hadapi. Tapi apabila kita sabar dan tenang, Insya-Allah ia menjadi," katanya.

Ujar MakTeh lagi, pelajar dan penenun juga perlu sentiasa mencari idea baru dan menghasilkan kain tenun yang kreatif supaya pelanggan sentiasa inginkan hasil kerja kita.

"Kita kena sentiasa mencari idea baru dan melakukan perubahan kerana orang zaman sekarang kalau kita buat corak yang sama saja, mereka tidak berminat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 7:00 AM