Nurul Husna Mahmud


Pendedahan kemahiran dan ilmu pengetahuan dalam tenaga mahir Institut Kraf Negara bukan sekadar tertumpu di kelas atau ruang lingkup industri tempatan, malah lebih jauh ke hadapan.

Itu dibuktikan menerusi komitmen institusi berkenaan menerusi penyertaan 31 peserta yang terdiri daripada 13 pegawai dan 18 pelajar dari Jurusan Batik & Tenun dalam Simposium Tekstil Tradisional ASEAN kali ke-8 di Hotel Marriot Putrajaya yang berlangsung sejak 25 September lalu.

Menurut Pengarah Kanan Institut Kraf Negara, Azizi Samsudin, penyertaan pegawai dan pelajar dalam simposium itu dapat memberi pendedahan kepada mereka mengenai penghasilan dan pembuatan kraf dalam skop yang lebih luas iaitu di peringkat antarabangsa.

"Satu-satunya institut menawarkan program pengajian baik akademik atau kemahiran kerja kraf dalam negara adalah Institut Kraf Negara yang sentiasa mengambil inisiatif atau mencari apa sahaja peluang yang dapat meningkatkan kemahiran dan peluang pelajar.

"Seperti simposium yang berlangsung ketika ini di peringkat Asean yang membawa perbincangan lebih ilmiah dan berkait kertas kerja akademik, ini membantu pelajar melihat kraf bukan sekadar seni pembuatan dalam negara, tetapi berpotensi menembusi pasaran luar atau pembabitan bidang kerjaya yang lebih jauh lagi.

"Pengisian lain dalam slot acara simposium iaitu pendedahan dan tunjuk ajar secara 'hands-on' kepada peserta juga pengunjung berkaitan teknik pembuatan kraf oleh pegawai Institut Kraf Negara yang menjayakan demonstrasi kraf sepanjang simposium berlangsung," katanya.

KEMAHIRAN mengolah motif supaya relevan dengan pasaran semasa dan permintaan industri antara kelebihan dimiliki tenaga pengajar Institut Kraf Negara.
KEMAHIRAN mengolah motif supaya relevan dengan pasaran semasa dan permintaan industri antara kelebihan dimiliki tenaga pengajar Institut Kraf Negara.

Tambah Azizi, setiap keluaran baik program akademik bagi diploma dan sijil serta Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) berteraskan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk enam bidang pengajian di Rawang, Selangor termasuk dua Kampus Satelit di Sabah dan Sarawak sentiasa memenuhi permintaan industri apabila lebih 82 peratus graduannya menempatkan diri dalam pasaran kerja.

"Kalau lihat pengumuman mengenai bidang pekerjaan yang 'pupus' baru-baru ini, tenaga kemahiran kraf terkeluar daripada senarai itu.

"Faktor utama kerana pelajar diberi pembelajaran teras yang kukuh membantu mereka mengembangkan diri atau mencipta sendiri peluang bekerja.

PELUANG menghadiri program luar terutama perbincangan akademik berkait dengan kraf antara manfaat diterima pelajar Institut Kraf Negara.
PELUANG menghadiri program luar terutama perbincangan akademik berkait dengan kraf antara manfaat diterima pelajar Institut Kraf Negara.

"Fenomena juga sejak pandemik, ada antara 'keluaran' universiti membuat pusingan 'U' dengan menyambung pengajian di Institut Kraf Negara kerana menyedari kemahiran kraf boleh membantu mereka berkembang," katanya.

Sementara itu, Pembantu Pegawai Latihan Jurusan Seni Kraf Tenunan, Siti Noorhazilah Maarop yang melakukan demonstrasi tenunan songket menggunakan Teknik Ikat Pakan berasa peranan Institut Kraf Negara penting dalam memastikan pembuatan kraf dapat terus diwarisi.

Dia yang juga bekas pelajar institut berkenaan mengakui selain didedahkan dengan pelbagai teknik dalam pembuatan kraf, ruang dan peluang diberi untuk meningkatkan taraf diri serta kemahiran sentiasa ada.

"Penting ada institut yang bersistematik dapat menawarkan kursus atau pengajian seni kraf bagi memastikan seni warisan terus dipelihara generasi akan datang.

JURUDEMO kraf keringkam, Zainap Muhi melakukan demonstrasi kraf sempena Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8 di Putrajaya.
JURUDEMO kraf keringkam, Zainap Muhi melakukan demonstrasi kraf sempena Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8 di Putrajaya.

"Kelebihan bagi yang menguasai ilmu pembuatan kraf pula, mereka tidak hanya bekerja dalam industri, peluang lain termasuk menjadi tenaga pengajar dan memiliki perniagaan lain selain berpeluang menerima pengiktirafan dalam acara penting seperti dalam simposium ini," katanya.

Pada masa sama, peserta Simposium Tekstil Tradisional ASEAN turut berpeluang menghasilkan kraf menerusi aktiviti Interaktif Kraf, Creative Craft Studio (CCS) atau Studio Kraf Kreatif dalam bidang kraf seramik, logam dan kayu oleh Institut Kraf Negara.

Studio Kraf Kreatif antara kursus jangka pendek yang ditawarkan di Institut Kraf Negara bertujuan memberi pendedahan dan menarik minat orang awam tanpa mengira usia mengenali dan menyertai kursus jangka pendek dengan bayaran penyertaan minimum. Pakej yang ditawarkan merangkumi bidang seni kraf batik, tenunan, kayu, logam, seramik dan rotan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 7:00 AM