MENJALIN hubungan erat dengan pihak rumah kebajikan.
MENJALIN hubungan erat dengan pihak rumah kebajikan.
PENERIMA mendengar taklimat ringkas daripada wakil TWB.
PENERIMA mendengar taklimat ringkas daripada wakil TWB.
Nurul Husna Mahmud


Satu gerakan sosial dinaungi anak muda, The Wakaf Buku (TWB) berorientasikan sumbangan buku untuk golongan tidak bernasib baik sangat menarik perhatian. Berbanding material lain, manisnya pemberian mereka beserta kemudahan perpustakaan dilengkapi meja serta kerusi.

Paling utama sekali pemberian 500 buku terbitan terkini diagihkan kepada anak yatim mahupun kanak-kanak kawasan pedalaman.

Galak kanak-kanak membaca

Menurut Pengarah Projek Aina Ab Wafi kemudahan bahan bacaan baik satu keperluan kritikal bagi kanak-kanak.

“Selain makanan, ‘survival’ utama kanak-kanak adalah buku, mewujudkan perpustakaan ini bukan saja menggalakkan kanak-kanak ini membaca malah kalangan kami sendiri.

“Cukup bermakna semua usaha kami ini memberi manfaat kepada rumah kebajikan daif, kawasan pedalaman seperti Sabah dan Sarawak yang memerlukan pengang­kutan masuk menggunakan bot dan kenderaan pacuan empat roda.

“Serta golongan terpinggir seperti kanak-kanak pelarian Rohingya di Selayang,” katanya.

Berjaya laksana 15 projek

Kata Aina, sejak TWB ditubuhkan pada Jun 2014 sehingga kini, sudah 15 projek dilaksanakan membabitkan perpustakaan mini seluruh negara.

“Projek perpustakaan mini kami panggil Projek Khutub Khanah ini berada hampir di semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

“Hanya Perlis dan Johor masih belum dilaksanakan projek pustaka mini dan kami menjangkakan dalam Oktober dan November depan untuk melengkapkan semuanya.

“Impian lebih besar ialah tahun depan kami merancang projek global yakni sasaran kami Pattani dan Jordan.

“Semestinya bantuan serta sumbangan jauh lebih besar diperlukan kerana ia membabitkan mobiliti serta cabaran daripada segi logistik,” katanya.

Menurut Aina, meskipun mengamalkan dasar keterbukaan dalam jenis sumbangan buku diterima tetapi beberapa aspek ditekankan mengenai bahan bacaan relevan.

“Kami sentiasa lihat kepada keperluan dan berhubung dengan pihak rumah kebajikan sebagai contoh kalau mereka terdiri daripada kanak-kanak tidak boleh membaca kami akan banyakkan bahan bacaan tahap asas.

“Antaranya buku cerita suku kata, buku pelekat, bahan bacaan ringan namun informatif seperti komik pengembaraan serta mempunyai nilai murni dan juga ensiklopedia.

“Kami berharap sangat bukan orang perseorangan saja tetapi syarikat penerbitan buku menyedari kewujudan kami agar sasaran 500 buku dapat dicapai,” katanya.

Realisasi impian anak yatim

Tidak lupa ‘tulang belakang’ kejayaan serta kelancaran dalam setiap projek dilancarkan, Aina menyatakan jawatankuasa penggerak membantu merealisasikan impian anak yatim mahupun penerima wakaf buku terbabit.

“Tentu saja kredit untuk semua kebaikan diterima setiap rumah kebajikan ini ialah komitmen 18 penggerak komuniti TWB.

“Mulanya ia diasaskan saudara Muzammil dan Imran Ali dan dibantu sukarelawan aktif menyertai kami dalam setiap projek.

“Kami turut mengalu-alukan mereka yang mahu menyertai projek kami menerusi status program kami paparkan pada ‘dinding’ media sosial seperti Facebook mahupun Instagram,” katanya.

Kata Aina, terbabit secara langsung dalam gerakan TWB menjayakan Projek Khutub Khanah membuka mata mengenai realiti kehidupan kanak-kanak tidak bernasib baik.

“Apabila saya turun ke rumah anak yatim ini banyak kisah pada saya tidak terjangkau di­fikiran keperitan mereka.

“Paling meninggalkan kesan ialah ketika Projek Kutub Khanah di Kuala Terengganu iaitu kisah seorang penghuni di situ.

“Saya kenal dia seorang kanak-kanak ceria dan tidak sa­ngka dia ditemui bawah jambatan selepas ditinggalkan oleh ibu bapa. Jadi itu menjadi pembakar kepada usaha saya meneruskan kerja amal ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 5:04 AM