PELAJAR lepasan SPM usah terlalu tertekan dan takut memilih kursus yang salah.
PELAJAR lepasan SPM usah terlalu tertekan dan takut memilih kursus yang salah.
Suliati Asri


DALAM memilih kursus di peringkat prauniversiti atau ijazah sarjana muda, seseorang itu pastinya akan cenderung kepada minatnya.

Namun, dengan era yang semakin maju selain pandemik Covid-19, ia banyak mempengaruhi peluang pekerjaan yang ditawarkan pada masa hadapan.

Pelbagai kerjaya baharu bakal wujud dan banyak juga yang bakal jumud.

Menurut ramalan World Economic Forum, menerusi laporannya pada 2016 dan tahun lalu, dianggarkan 65 peratus kanak-kanak di sekolah rendah hari ini bekerja dalam sektor pekerjaan yang belum diciptakan lagi. Malah, kebanyakan pekerjaan yang berbentuk kemahiran akan diambil alih oleh robot dan sistem automasi pada masa hadapan.

Oleh demikian, adakah pelajar lepasan SPM hari ini perlu tetap memilih bidang kursus yang diminati dan cita-cita mereka atau mengambil langkah berani untuk menceburi bidang lain yang menawarkan pelbagai peluang kerjaya kelak?

PELBAGAI peluang kerjaya baharu menanti pada masa hadapan.
PELBAGAI peluang kerjaya baharu menanti pada masa hadapan.

Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM) Profesor Madya Dr Nahrizul Adib Kadri berkata, satu perkara yang perlu difahami setiap lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah pemilihan apa juga kursus di peringkat prauniversiti atau ijazah sarjana muda nanti adalah hanya satu fasa dalam kehidupan yang sepatutnya dicorakkan oleh diri sendiri.

Menurutnya, tiada istilah pilihan salah atau betul, jika segala cabaran yang dihadapi ditangani dengan minda yang positif.

"Tidak dapat dinafikan, faktor minat akan mendorong seseorang untuk berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh dalam menghabiskan kursus yang dipilih kelak.

MINAT seseorang boleh menjadi kerjaya utama atau kedua.
MINAT seseorang boleh menjadi kerjaya utama atau kedua.

"Untuk kursus kejuruteraan bioperubatan misalnya, minat terhadap subjek matematik tambahan dan fizik di peringkat SPM akan membantu menambah minat dan keseronokan dalam mempelajari sesuatu yang baharu di universiti nanti.

"Seorang jurutera bioperubatan bukan sahaja memerlukan kemahiran teknikal mengenai peranti kesihatan di hospital, malah juga menguasai ilmu teori di sebalik teknologi yang digunakan," katanya.

TIADA istilah betul atau salah dalam memilih pengkhususan.
TIADA istilah betul atau salah dalam memilih pengkhususan.

Menurutnya, minat dan kesungguhan yang timbul akan memastikan penguasaan ilmu yang diperlukan.

Katanya, pelajar juga perlu mempersiapkan ketahanan mental dan fizikal untuk bergelar jurutera bioperubatan pada masa hadapan seterusnya dengan teknologi kepintaran buatan, selain gesaan daripada industri untuk menjadi 'technopreneur' yang inovatif dan berdaya saing.

"Saya berharap pelajar lepasan SPM tidak terlalu tertekan dan takut untuk memilih kursus yang salah, hanya berdasarkan peluang pekerjaan sedia ada atau ramalan kerjaya pada masa hadapan.

DR Muhammad Mokhzaini
DR Muhammad Mokhzaini

"Benar, sektor pekerjaan berubah pada masa akan datang, terutama dengan kehadiran teknologi 5G, Revolusi Industri 4.0 dan impak pandemik yang belum tentu bila kesudahannya.

"Tapi, sejarah menunjukkan seorang individu yang mempunyai ketahanan diri yang kuat yang diperoleh melalui proses pengajian di peringkat ijazah akan tetap berjaya walaupun dunia berubah," katanya.

Sementara itu, Penyelaras Latihan Industri di Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Profesor Madya Ir Ts Dr Muhammad Mokhzaini Azizan berkata, dengan minat segala apa yang dilakukan pastinya dilakukan sehabis baik.

KERJAYA melalui bidang kejuruteraan
KERJAYA melalui bidang kejuruteraan

Tetapi katanya, sebagai yang perlu menghadapi cabaran pada masa hadapan antara kualiti yang perlu dilakukan adalah mencuba perkara baharu.

"Dalam konteks mencari bidang pengkhususan, minat saja tidak boleh dijadikan satu petanda aras dan bersandar kepada satu minat sahaja.

"Pelajar perlu melihat lebih jauh dan berani mencari ruang dan peluang yang ada di hadapan," katanya.

Menurutnya, kita tidak pasti apa peluang yang ada di hadapan, tetapi kita boleh cari maklumat di pelbagai platform termasuk penulisan mengenai analisis pekerjaan pada masa hadapan.

"Ada banyak agensi atau mana-mana akhbar di luar yang memaparkan atau memberitahu kita mengenai perkara terbaik dalam masa lima hingga 10 tahun lagi.

"Oleh itu, kita perlu lebih berani. Jika langkah berani yang diambil itu berkait atau sama dengan minat, itu yang terbaik," katanya.

Memilih kursus yang menawarkan peluang pekerjaan pada masa hadapan dan dalam masa sama meneruskan juga apa yang diminati, menurut Dr Muhammad Mokhzaini, ia juga adalah langkah yang bijak.

"Minat ini tidak dikatakan tidak berguna langsung. Pelajar masih boleh melakukan atau mengikuti kursus yang diminati.

"Cuma, dari segi masa hadapan dan melihat kepada keseriusan peluang kerja, ia perlu lebih dari sekadar minat," katanya.

Melihat kepada pelajar lepasan SPM yang tergolong sebagai generasi Z, mereka ini lebih ke hadapan dan minat mereka adalah perkara yang benar-benar mereka tahu.

Kata Dr Muhammad Mokhzaini, dengan pendedahan dan peluang dalam meneroka teknologi yang meluas ia menjadikan pelajar kini lebih kreatif.

"Jadi, adalah tidak mustahil mereka boleh memilih kursus menawarkan kerjaya yang cerah pada masa hadapan dan dalam masa yang sama meneruskan minat mereka sebagai kerjaya kedua.

"Nasihat saya, cuba cari kursus yang menawarkan kerjaya yang baik pada masa hadapan yang mungkin dekat dengan minat mereka. Ia adalah permulaan yang baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 7:00 AM