GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Erika George

LEPASAN sekolah khususnya pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) digalakkan mengambil Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kerana ianya mempunyai pasaran kerja yang cukup luas pada masa hadapan.

Menteri Di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Sarawak, Datuk Talib Zulpilip berkata, bidang kemahiran bukan lagi menjadi opsyen seperti sebelum ini kerana ianya menawarkan peluang pekerjaan yang cukup banyak pada masa sekarang.

“Kita semua maklum bahawa Bintulu adalah bandar perindustrian terpenting di wilayah tengah Sarawak dan memerlukan tenaga kerja yang mahir bagi mengisi kekosongan dalam pelbagai sektor khususnya dalam kejuruteraan mekanikal, elektrikal dan sebagainya yang diperlukan dalam sektor perindustrian,” katanya.

Beliau berkata, demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Pro-Dr (Project Dream Realized) Roadshow Siri keenam 2020 Jelajah Pendidikan dan Kerjaya di Bintulu, semalam.

TALIB melawat ruang pameran pada majlis perasmian. FOTO Erika George
TALIB melawat ruang pameran pada majlis perasmian. FOTO Erika George

Talib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak berkata, jerayawara itu adalah platform terbaik bagi membolehkan setiap lepasan sekolah bertemu dengan semua wakil daripada institusi pengajian tinggi khususnya institut kemahiran yang terdapat di negeri ini lalu membincangkan engenai prospek pendidikan yang sesuai diikuti dengan kelayakan dimiliki.

Beliau turut melahirkan penghargaan serta terima kasih kepada kerajaan Sarawak kerana menganjurkan program sedemikian.

“Justeru itu, setiap lepasan sekolah atau belia berpeluang mendapatkan maklumat berkaitan pendidikan dan kerjaya khususnya bagi yang tinggal jauh di kawasan pedalaman,”katanya.

Katanya lagi, peluang yang disediakan itu secara tidak langsung akan membolehkan pelajar lepasan SPM dan STPM merancang pendidikan lanjut serta kerjaya mereka berdasarkan minat dan kesesuaian keputusan peperiksaan masing-masing.

Program itu turut memfokuskan penyampaian maklumat pendidikan dan bantuan pendidikan kepada semua pelajar di seluruh negeri Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 11:00 AM