Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kalangan pelajar berada pada tahap 100 peratus, walaupun pada hari pertama pembukaan sekolah.

Pematuhan SOP itu membuktikan pelajar bersedia mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka mengikut norma baharu selepas terpaksa mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sejak 20 Januari lalu.

Tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad, di sini, mendapati kira-kira 1,300 pelajar tingkatan satu dan lima memakai pelitup muka dan melakukan ujian suhu badan sebelum ke kelas.

Walaupun segelintir pelajar memakai pelitup muka di bawah dagu, tetapi guru yang bertugas di luar pagar sekolah menasihatkan mereka mengenakan pemakaian secara betul sebelum dibenarkan memasuki kawasan sekolah.

Tinjauan juga mendapati setiap pelajar perlu melakukan ujian suhu badan yang disediakan di tujuh lokasi sebelum dibenarkan memasuki kelas.

Guru bertugas juga kerap mengingatkan pelajar melakukan penjarakan fizikal dan tidak berkumpul.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Salim Ab Ghani berkata, 76,024 pelajar tingkatan satu dan lima sekolah menengah di seluruh negeri memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka hari ini.

PELAJAR SMK Sultan Ahmad melakukan ujian suhu badan sebelum memasuki kelas. FOTO Baharom Bakar
PELAJAR SMK Sultan Ahmad melakukan ujian suhu badan sebelum memasuki kelas. FOTO Baharom Bakar

Katanya, semua pengurusan sekolah menengah di negeri ini membuat persiapan awal termasuk menyediakan alat pengesan suhu badan, selain melakukan penjarakan meja pelajar dalam kelas.

"Hasil tinjauan di beberapa sekolah menengah sebentar tadi, saya dapati semua pelajar sudah bersedia mengikuti pembelajaran secara bersemuka walaupun terpaksa mengikuti PdP mengikut norma baharu.

"Pelajar didapati mematuhi SOP ditetapkan terutama memakai pelitup muka, melakukan ujian suhu badan dan melakukan penjarakan fizikal," katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 10:19 AM