PELAJAR Tingkatan Lima memulakan sesi persekolahan ketika PKP. FOTO Eizairi Shamsudin
PELAJAR Tingkatan Lima memulakan sesi persekolahan ketika PKP. FOTO Eizairi Shamsudin
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Sesi persekolahan 2021 cukup berbeza apabila hanya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 saja yang kembali ke sekolah.

Sebelum ini, setiap awal tahun kita dapat melihat keterujaan murid dan pelajar menyarung pakaian seragam serba baru dan melangkah ke sekolah.

Namun, akibat pandemik Covid-19 dan peningkatan kes baharu di Malaysia, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memutuskan hanya calon SPM dan STPM kembali ke sekolah manakala pelajar lain meneruskan sesi persekolahan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (pdPR).

Bagi ibu bapa, semestinya berada dalam dilema apabila terpaksa melepaskan anak ke sekolah ketika kes Covid-19 masih mencecah empat angka.

Bagi Fadli Che Yem, 41, dia terpaksa merelakan anak sulungnya, Nur Alya Izzati, 17, ke sekolah hari ini.

"Hanya doa yang saya dapat panjatkan supaya anak selamat dan dijauhi daripada wabak ini.

"Tiada sebarang persiapan untuk Nur Alya, hanya memakai pakaian seragam tahun lalu tetapi saya lebih mengutamakan membeli pelitup muka dan cecair pembasmi kuman sebagai langkah pencegahan," katanya.

Menurutnya, sebelum anak sulung daripada lima beradik itu ke sekolah hari ini, dia berpesan supaya Nur Alya sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal dan mempraktikkan norma baharu di sekolah.

Tinjauan Harian Metro di beberapa sekolah di ibu negara pula mendapati, keterujaan wajah calon SPM untuk memulakan sesi persekolahan selepas tertangguh berbulan-bulan akibat pandemik itu.

Bagaimanapun, media tidak dibenarkan menemubual guru dan pelajar sebagai prosedur operasi standard (SOP) KPM bagi menghalang penularan jangkitan.

PELAJAR Tingkatan Lima hadir pada hari pertama persekolahan di SMK Dengkil, Sepang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
PELAJAR Tingkatan Lima hadir pada hari pertama persekolahan di SMK Dengkil, Sepang. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Kebanyakan pelajar tiba seawal jam 7 pagi dan memulakan perhimpunan pagi seperti biasa sebelum dibenarkan memasuki kelas masing-masing.

Sebelum memasuki kawasan sekolah, pelajar dikehendaki menjalani pemeriksaan suhu badan dan direkod kehadiran mereka menggunakan aplikasi MySejahtera atau sistem yang dibangunkan sendiri oleh sekolah masing-masing.

Tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Onn, Jalan San Peng mendapati seawal 7.30 pagi semua pelajar sudah berada di sekolah dan memasuki kelas masing-masing 30 minit kemudian.

Sementara itu, guru di sebuah sekolah di Cheras memaklumkan, sekolahnya merekodkan 100 peratus kehadiran calon SPM hari ini.

"Kami mengambil inisiatif dengan menghebahkan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini melalui kumpulan Whatsapp.

"Alhamdulillah semua pelajar hadir hari ini dan teruja untuk memulakan sesi persekolahan dengan pematuhan SOP yang tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 12:16 PM