MOHD FIRDAUS tidak jemu mendidik murid pendidikan khas.
MOHD FIRDAUS tidak jemu mendidik murid pendidikan khas.
Fazurawati Che Lah

SEKILAS ikan di air sudah tahu jantan betina, begitulah diibaratkan kebolehan dan kemampuan guru pendidikan khas mengenali serta mengenal pasti murid berkeperluan khas (MBK).

Berhadapan murid yang istimewa itu adalah satu kemestian bagi guru pendidikan khas. Malah murid yang mempunyai kepelbagaian ketidakupayaan (multiple disorder) juga antara cabaran yang paling besar kerana dalam masa yang sama pendidik berusaha untuk melahirkan output positif kepada anak didik mereka.

Hampir 11 tahun mendidik murid pendidikan khas, guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas, Kuantan, Pahang, Nooradibah Hanafi tidak pernah berputus asa untuk membantu anak-anak istimewa itu mendapat pendidikan yang sama dengan murid arus perdana.

Katanya, tidak pernah terlintas untuk menjadi guru pendidikan khas sebaik tamat pengajian kerana kursus utama program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) yang diikutinya adalah Pendidikan Islam, manakala Pendidikan Khas adalah program minor.

"Tidak banyak yang saya pelajari ketika mengikuti DPLI untuk Pendidikan Khas kerana ia program minor dan hanya belajar asas sahaja, banyak bahasa isyarat yang saya tidak tahu ketika itu.

"Sekolah pertama saya ialah Sekolah Pendidikan Khas Persekutuan (P) di Pulau Pinang dan saya diarahkan untuk mengajar murid yang mengalami masalah pendengaran.

MOHD FIRDAUS (kanan) membantu pelajar menyiapkan projek.
MOHD FIRDAUS (kanan) membantu pelajar menyiapkan projek.

"Menerusi kemahiran bahasa isyarat yang terhad, saya tidak dapat berkomunikasi baik dengan murid sehingga pernah terfikir untuk berpindah ke sekolah arus perdana kerana tidak dapat menyampaikan ilmu dengan berkesan kepada anak istimewa ini," katanya.

Berkat kesabaran dan mahu melihat anak-anak istimewa itu mendapat pendidikan sempurna dalam bidang agama, Nooradibah sanggup memasuki kehidupan istimewa muridnya, asalkan dia dapat melihat anak didiknya itu menjadi orang berguna dan mempunyai masa depan

"Saya seperti tidak percaya boleh bertahan sampai sekarang. Pernah juga berkali-kali mahu tukar sekolah, namun Allah sebaik-baik perancangan dan saya masih bertahan untuk anak-anak istimewa ini yang mana saya anggap mereka seperti anak sendiri.

"Tidak dinafikan untuk mendidik anak ini terutama berkaitan akademik berkali-kali ganda cabarannya kerana mereka ini sering hilang fokus ketika sesi pengajaran di dalam kelas.

PELBAGAI aktiviti untuk membentuk sahsiah diri pelajar.
PELBAGAI aktiviti untuk membentuk sahsiah diri pelajar.

MURID berkeperluan khas turut didedahkan dengan pembentangan projek untuk keyakinan berkomunikasi.
MURID berkeperluan khas turut didedahkan dengan pembentangan projek untuk keyakinan berkomunikasi.

"Hendak larang guna 'mulut' mereka pula tidak dengar, jadi saya perlu banyak bersabar kerana sudah menjadi tabiat mereka di dalam kelas. Halangan inilah menyebabkan pengajaran sukar disampaikan kepada mereka," katanya.

Kata Nooradibah, pembelajaran untuk anak berkeperluan khas tetap diteruskan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini walaupun berdepan kesulitan kerana tidak semua muridnya mahir dengan pembelajaran dalam talian dan tugasan banyak disampaikan menerusi kumpulan WhatsApp.

"Walaupun beberapa orang saja memberi maklum balas dengan arahan tugasan, namun ia satu pencapaian terbaik di mata saya, mereka boleh menghasilkan video solat berjemaah walaupun terdapat salah dari segi ejaan dan kod tangan.

"Saya kena faham kekurangan mereka, mereka ini cepat lupa dan selalu sangat menggunakan bahasa pasar ketika bercakap sehingga menyebabkan bahasa isyarat yang diberikan 'lari' dari maksud yang disampaikan.

"Banyak kod tangan yang perlu mereka ingat.Jika ada ayat yang agak panjang, dekat sebulan baharulah mereka dapat menguasai itupun tidak sepenuhnya," katanya yang mengajar murid tahun empat, lima dan enam.

Dalam istilah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) murid berkeperluan pendidikan khas dikategorikan mengikut golongan kurang upaya pendengaran, kurang upaya penglihatan, kurang upaya pertuturan, kurang upaya fizikal, masalah pembelajaran, kurang upaya mental dan pelbagai (Multiple Disabilities)

Sukakan kelainan menyebabkan Mohd Firdaus Maskan memilih untuk menjadi guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SK Taman Tun Aminah, Skudai, Johor kira-kira lapan tahun lalu kerana mahu membentuk kesabaran dalam dirinya dan menyelami perasaan murid berkeperluan khas.

AKTIVITI bertani membentuk pelajar untuk meningkatkan potensi diri.
AKTIVITI bertani membentuk pelajar untuk meningkatkan potensi diri.

Katanya, mengetahui bakal berdepan cabaran yang berganda berbanding mengajar murid arus perdana, Mohd Firdaus tidak lepas daripada berdepan masalah untuk memupuk kepercayaan dan perhatian setiap kali memulakan aktiviti pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dengan anak didiknya.

Katanya, anak-anak berkeperluan khas sukakan keseronokan menyebabkan dia perlu kreatif dalam penyampaian ilmu bagi membentuk sahsiah muridnya.

Sebagai seorang pendidik yang mempunyai cita-cita untuk melihat anak muridnya berjaya, pelbagai usaha dilakukan antaranya memulakan aktiviti reka cipta sebagai permulaan untuk meningkatkan minat pelajar supaya fokus dan mendengar arahan ketika belajar.

"Melalui penubuhan kelab inovasi reka cipta untuk PPKI, saya dapati mereka menunjukkan minat dan bersungguh untuk mencuba serta menyiapkan projek. Pelbagai projek dijalankan bersama antaranya pewangi pandan, tanaman cili fertigasi, robot pintar pensel dan kotak perangkap lemak.

"Usaha itu bukan hanya berakhir di sekolah sahaja, saya juga membawa murid ke peringkat pertandingan yang lebih tinggi supaya mereka dapat belajar teknik penyampaian dan pembentangan seterusnya memupuk keyakinan dalam komunikasi," katanya.

Katanya, walaupun ada menganggap apa yang dilakukannya mudah, dengan hanya menonton video, menyanyi dan menari bersama-sama murid, tetapi hakikatnya memerlukan masa yang panjang, terutama pelajar yang tidak mahu meneroka bidang akademik.

PELAJAR juga didedahkan dengan aktiviti di bengkel untuk keyakinan diri.
PELAJAR juga didedahkan dengan aktiviti di bengkel untuk keyakinan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 7:00 AM