RASIDAH (kanan) bersama beberapa pelajar berkeperluan khas. FOTO Ihsan Rasidah Ismail
RASIDAH (kanan) bersama beberapa pelajar berkeperluan khas. FOTO Ihsan Rasidah Ismail
Hajar Umira Md Zaki

Kuala Lumpur: Pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) turut memberi cabaran kepada guru, murid serta pelajar berkeperluan khas.

Guru pendidikan khas, Rasidah Ismail, 50, berkata, corak pembelajaran pendidikan khas tidak boleh disamakan dengan murid atau pelajar arus perdana.

Kelas juga tidak boleh dikendalikan secara atas talian terlalu lama.

"Kami diberi masa tiga jam untuk kelas atas talian. Contoh, semalam untuk PdPR, kelas bermula jam 9 pagi dan berakhir pada jam 12 tengah hari.

"Untuk kelas pendidikan khas, kita tidak boleh menggunakan penekanan yang sama seperti murid dan pelajar normal kerana guru tahu kemampuan mereka," katanya dihubungi.

Menceritakan pengalaman mengajar pelajar berkeperluan khas secara atas talian, Rasidah yang mengajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PKKI) Masalah Pembelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Guntong, Kuala Nerus, Terengganu berkata, sebagai pendidik, seseorang itu perlukan tahap kesabaran yang tinggi dalam mengajar.

Menurutnya, pelajarnya lebih cenderung menggunakan telefon pintar berbanding menggunakan komputer.

"Sebelum memulakan kelas, saya akan beri peringatan kepada pelajar melalui aplikasi WhatsApp meminta mereka menyerahkan lembaran kerja.

"Ada juga kelas yang tidak boleh dijalankan secara atas talian, kita gunakan WhatsApp untuk beri tugasan," katanya yang sudah hampir dua tahun menjadi guru pendidikan khas.

RASIDAH sedang mengajar Izam Bahasa Inggeris secara atas talian sebelum ke dapur. FOTO Ihsan Rasidah Ismail
RASIDAH sedang mengajar Izam Bahasa Inggeris secara atas talian sebelum ke dapur. FOTO Ihsan Rasidah Ismail

Menurut beliau, antara masalah yang sering dihadapi oleh pelajarnya adalah kemudahan gajet dan Internet tidak stabil.

Terdahulu, tular Rasidah dilihat memegang daun limau purut sambil mengendalikan kelas atas talian bersama pelajarnya di aplikasi TikTok milik anaknya.

Ia menarik lebih 100,000 tontonan.

"Daripada beberapa pelajar, hanya Izam (pelajar) yang masuk untuk belajar secara atas talian di 'Google Meet' semalam.

"Saya tidak memberi tekanan kepada Izam, malah saya beri penerangan kepadanya. Apabila lihat dia sudah mulakan kerja, saya tinggal sebentar untuk ke dapur.

"Sebagai pendidik, kita kena ikut langkah mereka dan bagi saya, untuk mengajar bahasa Inggeris secara atas talian adalah sedikit sukar bagi mereka," katanya.

Ditanya berkaitan reaksi ibu bapa, Rasidah berkata, sebahagian besar ibu bapa pelajarnya teruja dan sentiasa bertanya mengenai pelaksanaan kelas atas talian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 3:22 PM