Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Pelajar Tingkatan Enam di negeri ini lega apabila dapat kembali menyambung sesi pembelajaran secara bersemuka, walaupun hanya berbaki dua minggu sahaja lagi sebelum peperiksaan bermula.

Tinjauan yang dibuat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail dan SMK Aminuddin Baki, di sini, mendapati pelajar hadir ke sekolah seawal 6.30 pagi.

Bagi pelajar SMK Aminuddin Baki, Mohd Daniel Nasrawie, 19, berkata, dia bersyukur dapat menghadiri pembelajaran secara bersemuka kembali.

Katanya, ramai pelajar tidak menggemari sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan sukar memberi fokus selain sukar untuk berkomunikasi secara berkesan.

"Saya amat bersyukur kerana dua minggu lagi kami perlu menduduki peperiksaan. Jadi, inilah peluang untuk lebih menguasai pembelajaran dan membuat persediaan dengan lebih baik.

"Antara kekurangan PdPR ialah sukar untuk memberi tumpuan penuh ketika sesi pembelajaran secara dalam talian disebabkan faktor persekitaran. Jadi ini peluang untuk kami kejar semula silibus yang tercicir," katanya yang mengambil subjek Sains Sosial dan Seni Visual.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

Bagi pelajar SMK Sultan Ismail, Ain Athirah Mohd Nizam, 20, dia berasa lega apabila dapat hadir ke sesi pembelajaran secara bersemuka walaupun dalam tempoh yang pendek selama dua minggu.

Katanya, pembelajaran secara bersemuka ini lebih berkesan dan lebih mudah untuk berinteraksi dengan guru sekali gus meningkatkan kefahaman bagi subjek yang diajar.

"Peluang ini akan digunakan sebaiknya bagi menambah baik sesi PdPR) yang dibuat sebelumnya ini," katanya ketika ditemui.

Ahad lalu media melaporkan, murid dan pelajar di kelas dan tingkatan tertentu di Johor, hanya akan kembali ke sekolah pada hari ini.

"Seperti jadual yang diumumkan Kementerian Pendidikan, murid dan pelajar di Johor akan meneruskan pembelajaran mereka menerusi PdPR. Hanya murid dan pelajar dari kelas dan tingkatan tertentu di Johor akan mula kembali ke sekolah, pada Ahad (hari ini)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 9:08 AM