SESI pembelajaran secara bersemuka membantu pelajar lebih faham serta berinteraksi secara terus dengan guru jika menghadapi masalah. FOTO Asrol Awang
SESI pembelajaran secara bersemuka membantu pelajar lebih faham serta berinteraksi secara terus dengan guru jika menghadapi masalah. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang

Kuantan: Sesi pembelajaran secara bersemuka lebih diterima warga pendidik dan pelajar berbanding Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

Ini kerana sesi pembelajaran secara bersemuka banyak membantu pelajar lebih faham serta berinteraksi secara terus dengan guru jika menghadapi masalah.

Justeru, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib, Kuantan Mohd Azmi Othman berkata, sesi pembelajaran secara bersemuka adalah yang terbaik untuk mendidik pelajar.

Katanya, sekiranya sekolah ditutup, ia memberi impak terhadap prestasi anak-anak.

"Apabila pelajar berada di sekolah, banyak yang dapat dilakukan untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran.

"Di sekolah ini, pematuhan SOP amat diberi perhatian serius untuk memastikan semua pelajar termasuk guru tidak terkesan dengan wabak Covid-19.

"Alhamdulillah, setakat ini kami bersyukur tiada kes Covid-19 dan diharapkan wabak itu tidak berlaku dengan komitmen dan kerjasama daripada semua masyarakat," katanya.

Sementara itu, guru Biologi, Faridah Sa'ad berkata, beliau gembira apabila pelajar dibenarkan kembali ke sekolah kerana memudahkannya untuk mengajar.

Katanya, ini kerana subjek Biologi memerlukan kemahiran dan apabila berada di sekolah, beliau mudah memberikan penerangan dan tunjuk ajar.

"Saya dapat menilai pelajar dan membimbing mereka ketika di bilik makmal," katanya.

Guru Bahasa Inggeris, Wai Siew Yeok pula berkata, pelaksanaan PdPR secara dalam talian memberi kesan dalam memastikan pelajar menguasai subjek itu.

Katanya, berdasarkan format baharu, penekanan kepada empat kemahiran diberi iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis.

"Bagaimanapun, kemahiran bertutur berlaku masalah apabila dilakukan secara dalam talian kerana pelajar kurang memberi maklum balas dan pelajar yang aktif sahaja akan bercakap.

"Sebaik sesi pembelajaran secara bersemuka, saya dapat memberi penekanan kepada empat kemahiran itu," katanya.

Bagi pelajar tingkatan lima, Vida Adriana Richard, 17 berkata, dia teruja sebaik sesi pembelajaran dilaksanakan secara bersemuka.

Katanya, kehadiran ke sekolah banyak membantu terutama bagi subjek Sains Komputer yang memerlukan banyak pemahaman.

"Apabila berada di sekolah, saya dapat bertanya perkara dengan lebih jelas berbanding secara dalam talian.

"Saya amat bersetuju pelaksanaan secara bersemuka adalah yang terbaik kepada pelajar," katanya.

K Prasanna, 17, pula berkata, sebaik dibenarkan hadir ke sekolah, bukan sahaja gembira dapat bertemu guru, malah rakan sekali gus berkongsi idea ketika berada di dalam kelas.

"Kami juga dapat fokus sepenuhnya ketika berada di kelas berbanding di rumah," katanya.

Muhammad Haikal El-Feraqi Mohd Faisol, 17, berkata, pembelajaran secara bersemuka amat dinantikan dan gembira apabila dapat kembali ke sekolah.

"Banyak perkara yang boleh dilakukan di sekolah terutama dapat berinteraksi bersama rakan serta permasalahan dalam pelajaran membolehkannya bertemu guru secara terus.

"Dengan bersemuka, segala penerangan yang diberikan guru lebih jelas berbanding kelas yang diadakan secara dalam talian," katanya.

PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib, Kuantan tekun mengikuti pembelajaran di dalam kelas. FOTO Asrol Awang
PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib, Kuantan tekun mengikuti pembelajaran di dalam kelas. FOTO Asrol Awang

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Shahrizal Husin berkata, sesi secara bersemuka adalah yang terbaik untuk kepentingan semua guru dan pelajar.

Katanya, pihaknya sememangnya mahu sesi pembelajaran di sekolah dalam meningkatkan prestasi pembelajaran dalam kalangan pelajar.

"Dalam pada itu, SOP perlu diperketatkan untuk memastikan tiada penularan kes wabak Covid-19," katanya.

Bagi ibu pelajar, Nur Sham Amir Hussin, sebaiknya semua pelajar dapat hadir ke sekolah dalam meneruskan sesi persekolahan mereka.

"Apabila anak tidak ke sekolah, ia akan menimbulkan kesulitan kepada ibu bapa. Pengalaman saya sendiri yang mempunyai lima anak kerana terpaksa mengeluarkan kos besar untuk sediakan gajet," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 7:15 AM