Fazurawati Che Lah


TREND mahasiswa meraih pendapatan puluhan ribu ringgit sebulan menjadi topik hangat warganet sejak kebelakangan ini.

Ramai yang tidak percaya, seorang mahasiswa yang sibuk dengan jadual kuliah dan tugasan mampu bergelar ketua pegawai eksekutif atau pengasas untuk satu-satu produk sehingga boleh menggajikan pekerja.

Kejayaan mahasiswa ini seiring matlamat kerajaan yang mahu melihat graduan tidak hanya menjadi pencari pekerjaan sebaliknya pencipta pekerjaan.

Malah di institusi pengajian tinggi (IPT) sama awam atau swasta turut menyediakan program keusahawanan kepada mahasiswa dalam usaha membantu mereka mempunyai pendapatan sendiri apabila tamat pengajian dengan menjalankan perniagaan.

Menarik juga untuk dikongsi, dua beradik dari Kelantan ini kini tersenyum lebar apabila perniagaan kasut vintaj mereka bukan sahaja terkenal atas talian malah mereka berjaya membuka kedai yang dikendalikan sepenuhnya biarpun pada masa sama masih mengikuti program sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pemilik kedai Tokkmung iaitu Muhammad Izzat Razali, 27 dan adiknya, Muhammad Syakir, 25 ini turut menggajikan pekerja dalam kalangan graduan dan dalam perancangan membuka peluang kepada orang ramai untuk meraih pendapatan dengan menjadi ejen.

Muhammad Izzat berkata, idea menjalankan perniagaan menjual kasut itu tercetus apabila mereka sama-sama menuntut di Universiti Mu’tah Jordan sekitar 2010 sehingga 2016.

“Berbekalkan jumlah modal RM500 ketika itu, kami mencuba nasib untuk menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di Jordan.

“Bermula dengan hanya suka-suka dan tujuan untuk cari sedikit duit poket memandangkan berada jauh di perantauan, akhirnya mendorong kepada saya dan Muhammad Syakir untuk membuka perniagaan sebaik sahaja pulang ke tanah air,” katanya.

Penuntut jurusan syariah di Pusat Fiqh Kontemporari dan Pematuhan Syariah UKM itu juga memberitahu, tidak mudah untuk merasa selesa sehingga tahap sekarang, dia dan adiknya sentiasa mengambil peluang memantapkan ilmu perniagaan apabila sering mengikuti program keusahawanan yang disediakan universiti.

“Penuntut perlu memanfaatkan platform itu kerana melalui program keusahawanan kita diajar bagaimana untuk mempunyai pendapatan sendiri bermula dari asas sehingga memasarkan produk.

“Banyak ilmu yang saya peroleh sepanjang mengikuti program itu dan saya turut mempraktikkannya dalam perniagaan saya,” katanya.

Dalam perancangan membuka cawangan kedua, anak muda itu berharap dapat memberi peluang pekerjaan kepada orang ramai khususnya graduan yang menganggur.

Begitu juga situasinya dengan penuntut Perubatan Tradisional Cina dari Management and Science University (MSU), Shah Alam Selangor, Muhammad Luqman Hakim Mohamad Fauzi.

Mengikuti program keusahawanan di universiti itu membantunya terus melakar kejayaan dalam bidang usahawan apabila dia kini berjaya membuka pusat rawatan tradisi Cina.

Muhammad Luqman Hakim, 28, mengikuti program Universiti Entrepreurship Masterclass di universiti itu sejak setahun lalu kerana menyedari program berkenaan berupaya melonjak mahasiswa untuk menjadi usahawan berjaya.

“Cita-cita saya mahu meneruskan kerjaya mengikut bidang pengajian, justeru dari awal lagi saya perlu bersiap sedia untuk mempelajari ilmu keusahawanan.

“Banyak ilmu yang saya peroleh melalui program itu dalam membina perniagaan seperti membuat kertas kerja, aliran kewangan dan pemasaran secara atas talian,” katanya.

Anak muda dari Temerloh, Pahang itu memberitahu, awalnya rawatan yang dijalankan sejak lima tahun lalu berkonsepkan ‘home spa’, tetapi dengan ilmu yang diperoleh melalui program keusahawanan dan pemantauan kordinator program di universiti menjadikan perniagaannya itu terus berkembang sehingga mampu membuka pusat rawatan dikenali Naturalin di Setia Alam, Selangor.

Sementara itu, Pengurus Program Keusahawanan Management and Science University (MSU), Masrul ‘Aine Khalid berkata, penuntut seharusnya merebut peluang untuk mengikuti program keusahawanan yang disediakan universiti sebagai ilmu tambahan selain pencapaian akademik.

Katanya, tanggapan gaya hidup mahasiswa yang padat dengan aktiviti kuliah juga perlu ditepis dalam keadaan ekonomi sekarang kerana sebagai pencari pekerjaan pada zaman ini tidak mudah, justeru penuntut wajar memiliki ilmu keusahawanan sebagai kemahiran kedua.

“Bagi menyokong hasrat supaya penuntut menjadi pencipta pekerjaan, saya berpandangan universiti wajib menyediakan kursus ini untuk mengembangkan potensi kemahiran usahawan dalam kalangan mahasiswa.

“Platform usahawan bermula dari asas membentuk perniagaan, menguruskan perniagaan sehingga pasaran produk diajarkan kepada penuntut melalui program ‘mentoring’ dan ‘coaching,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Disember 2019 @ 10:33 AM