DR Haim Hilman (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada penuntut bergelar usahawan.
DR Haim Hilman (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada penuntut bergelar usahawan.
Fazurawati Che Lah

Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia (UUM) membuka peluang kepada mahasiswa dengan menyediakan platform berniaga dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan muda.

Dekan SBM Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata, beliau bangga apabila 22 perintis yang mengambil bahagian pada program anjuran Jawatankuasa Hub Perniagaan Pelajar SBM itu mula menunjukkan kebolehan tanpa mengira bidang diambil.

“Satu permulaan yang baik untuk melihat mahasiswa berjaya dalam bidang perniagaan. Pada September nanti, hab ini dijangka siap sepenuhnya dan mahasiswa boleh berniaga dengan lebih selesa.

“Kita mahu apabila masuk SBM mahasiswa sudah ada syarikat perniagaan berdaftar dan jadi usahawan sepenuh masa apabila tamat pengajian,” katanya.

Beliau turut menyempurnakan Majlis Perasmian Program Inkubasi Keusahawanan SBM di Foyer SBM, baru-baru ini.

Katanya, SBM turut merancang untuk mendaftarkan 1,000 syarikat perniagaan pelajar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang mana pendaftaran dibuat secara percuma pada September ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hub Perniagaan Pelajar SBM, Dr Normalisa Md Isa berkata, keusahawanan adalah satu bidang yang kini menjadi aspek utama dalam memastikan kemandirian penuntut IPT di seluruh Malaysia.

“Program ini dilaksanakan dalam usaha mempersiapkan mahasiswa untuk mempraktikkan apa yang dipelajari ketika di dalam kelas berkenaan keusahawanan, pengurusan, perancangan strategi perniagaan dan pemasaran.

“Usaha ini salah satu kaedah mempromosikan program inkubasi di peringkat pusat pengajian dan universiti. Selain meningkatkan kesedaran berkenaan program keusahawanan dalam kalangan penuntut dan pensyarah,” katanya.

Jelasnya, SBM membuka peluang kepada mahasiswa untuk menceburi bidang kemahiran dan keusahawanan yang diminati sebagai langkah ke arah perubahan sikap lebih positif seterusnya membina kerjaya hidup lebih cemerlang

“Usaha ini juga dapat meningkatkan pendapatan pelajar dan merancakkan aktiviti yang berkaitan pembangunan keusahawanan penuntut masa depan,” katanya.

Sementara itu, penuntut Hanis Zafirah Ramli yang menyertai program itu menyifatkannya sebagai medan mahasiswa menimba ilmu selain memahami selok-belok berniaga.

Ujarnya, perkara paling penting dalam berniaga adalah minat kerana bakat dan kemahiran boleh dipupuk. Namun tanpa minat, perniagaan tidak akan berjaya atau kurang menyerlah.

“Berfikirlah sebebasnya kerana tiada halangan dalam kreativiti, buka minda, selalu peka dengan peluang yang datang tanpa kita sedari dan pantas dalam melakukan tindakan bukannya sekadar memberi cadangan,” katanya yang pernah mendapat hasil jualan hampir RM4,000 setiap bulan itu.

Penuntut Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan itu menjual pelbagai jenis produk yang kini lebih fokus kepada makanan seperti Kek Coklat Moist, Kopi Radix, Radix Goat dan Munif Cocoa.

“Bagi saya apa yang paling diperlukan mahasiswa untuk berjaya adalah bimbingan, mentor dan sokongan yang tidak pernah putus. Ini kerana sebagai mahasiswa, kami mengalami masalah kewangan selain kurang ilmu untuk mulakan atau mengembangkan perniagaan mengikut kaedah yang betul.

“Jadi kami perlukan bimbingan, tunjuk ajar, bantuan modal untuk memudahkan kami memulakan perniagaan seterusnya berjaya dalam perniagaan,” katanya yang menceburi perniagaan hampir tiga tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 11:48 AM