GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Prof Dr Abdul Rahim Abdul Rahim dan Syhaneen

Kadar inflasi di peringkat global yang meningkat sedikit sebanyak memberikan kesan kepada Malaysia yang kini berdepan kenaikan inflasi. Fenomena ini yang turut dialami oleh kebanyakan negara adalah antara impak pasca pandemik Covid-19 apabila berlakunya permintaan mendadak setelah ekonomi dibuka semula.

Selain itu, kemelut politik Rusia dan Ukraine serta sekatan pergerakan dan penutupan sempadan China turut memburukkan lagi situasi. Isu inflasi dan rencatan rantaian bekalan dunia mendatangkan cabaran yang hebat kepada tadbir urus negara di dalam menyelesaikan isu kewangan dan memelihara kesejahteraan dan kebajikan rakyat. Keupayaan sektor agromakanan bagi membekalkan makanan dan kemampuan rakyat untuk membeli makanan adalah isu paling penting bagi mengurangkan kos sara hidup yang tinggi. Walaupun pelbagai strategi telah dijalankan bagi meningkatkan pengeluaran pertanian dan agromakanan bagi memastikan kecukupan bekalan, sumbangan subsektor agromakanan kepada sektor pertanian sejumlah 53.3 peratus pada 2020, masih rendah di bawah sasaran 60 peratus.

Selain itu, sektor pertanian masih bergantung kepada minyak sawit. Biarpun telah banyak idea dan program dicadangkan, kerajaan harus memberikan penekanan khusus terhadap komitmen berkaitan sektor pertanian. Sasaran lebih utama ialah mengatasi ketidakupayaan memenuhi keperluan domestik negara kerana ia berkait rapat dengan masalah kos sara hidup rakyat.

Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada 7 Oktober 2022 menyaksikan komitmen kerajaan untuk memulihkan semula ekonomi pasca pandemik Covid-19 dengan mengutamakan kebajikan dan kepentingan rakyat. Melalui bajet ini, kerajaan meletakkan perhatian yang serius kepada pemerkasaan sektor pertanian bagi membasmi kemiskinan, melindungi petani dan nelayan, meningkatkan pengeluaran hasil pertanian dan menangani isu sekuriti makanan di Malaysia. Bantuan kepada pesawah padi telah diperkenalkan semula dengan bantuan sebanyak RM200 sebulan bagi tempoh tiga bulan atau semusim kepada 240,000 pesawah dengan peruntukan RM228 juta. Pekebun kecil getah juga tidak terkecuali dengan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) dinaikkan kepada RM800 berbanding RM600 sebelum ini.

Bagi membesarkan pendapatan mereka, Insentif Pengeluaran Lateks diperkenalkan bersama program Target (Projek Transformasi Perusahaan Getah) untuk menambah baik rantaian bekalan bahan mentah melalui koperasi. Insentif ini berobjektif untuk meningkatkan pengeluaran lateks negara sebanyak 30 peratus kepada 40,000 tan setahun bagi membantu memenuhi permintaan sektor hiliran getah selain bagi mencapai sasaran pendapatan bulanan pekebun kecil kepada RM4,500 pada 2025.

Skim Perlindungan Pertanian yang melibatkan skim insurans dan takaful yang memberi perlindungan kepada penggiat industri pertanian dan agromakanan akan diperkenalkan secara berperingkat bermula dengan pesawah padi untuk melindungi pengusaha pertanian daripada sebarang risiko luar kawalan seperti cuaca, penyakit dan makhluk perosak.

Di samping itu, terdapat peningkatan terhadap pemberian pelbagai subsidi dan insentif merangkumi subsidi harga padi, baja padi, benih padi sah, baja padi huma, insentif pengeluaran padi dan insentif tangkapan hasil nelayan berbanding dengan tahun sebelum ini.

Bagi sektor pertanian dan agromakanan hiliran pula, skim pembiayaan atau pinjaman yang ditawarkan melalui Skim Pembiayaan Agrofood BNM akan diperuntukkan dana RM1 bilion bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meningkat jumlah pengeluaran agromakanan.

Belanjawan 2023 menunjukkan refleksi terhadap program yang direncanakan di bawah RMK12.  Bagi meningkatkan penghasilan makanan, tanah terbiar milik Felda, Felcra dan Risda serta agensi bawah Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (Mafi) akan dimanfaatkan untuk tanaman makanan bagi penggunaan tanah optimum. Selain itu, peruntukan RM56 juta akan diperuntukkan kepada Mafi untuk pelbagai inisiatif berkaitan pembangunan kelestarian agromakanan. Biarpun program mempergiatkan sektor pertanian dan agromakanan perlu melibatkan penggunaan tanah dan lain-lain, cabaran makro seperti perubahan iklim, peningkatan penduduk dan kehilangan biodiversiti memerlukan perhatian signifikan.

Pemberian insentif kewangan oleh kerajaan Persekutuan iaitu Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) untuk pemuliharaan biodiversiti dapat membantu kerajaan negeri mengambil tindakan yang lebih proaktif dalam memelihara dan memulihara kepelbagaian biologi dan kawasan perlindungan. Selain itu, penggunaan teknologi pintar dalam sektor pertanian negara dapat meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan tahap sekuriti makanan negara tanpa keperluan untuk mengeksploitasi tanah.

Peralihan petani ke arah amalan pertanian organik untuk memenuhi permintaan yang semakin bertambah terhadap produk organik dapat meningkatkan penjanaan pendapatan lebih tinggi. Langkah yang akan diambil ini dapat membangunkan rangka kerja pertanian pintar yang komprehensif, mempercepat penerimagunaan teknologi moden, memperkasa komuniti setempat selain pembangunan projek pertanian mesra alam.

Pemerkasaan sektor pertanian terutamanya sektor agromakanan penting bagi mengatasi ketidakupayaan memenuhi keperluan domestik negara dan kos sara hidup rakyat, memastikan negara kekal berdaya saing dan pengaplikasian teknologi terkini bagi membantu aktiviti pertanian. Namun, penting bagi sektor pertanian menekankan aspek kelestarian dan memberi manfaat yang seimbang kepada semua termasuk kepada ekosistem dan biodiversiti.

Kajian disediakan oleh Laboratori Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 5:59 AM