ANGGUR akademik tahan lasak dan sesuai ditanam di negara kita.
ANGGUR akademik tahan lasak dan sesuai ditanam di negara kita.
Muhamaad Razis Ismail


SIAPA sangka daripada keinginan mencabar diri menanam pokok anggur yang dianggap sukar hidup subur di negara ini, tukang masak ini akhirnya berjaya menjana pendapatan lumayan menerusi penjualan benih pokok.

Zaid Azizy Yaakob, 53, berkata, semuanya bermula ketika negara dilanda pandemik Covid-19 sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Katanya, untuk mengisi masa yang terluang di rumah, dia cuba menjalankan aktiviti berkebun dengan memanfaatkan tanah dengan menanam pokok anggur di sekitar kediamannya di Semenyih, Selangor.

Bukan itu saja, dia turut mencabar diri menanam pelbagai jenis pokok lain termasuk blueberry, plum dan avocado yang dibeli di dalam talian.

"Pada mulanya ramai yang meragui keputusan saya itu kerana pokok yang mampu hidup subur di luar negara tidak sesuai ditanam di negara ini kerana cuaca yang berbeza.

"Malah ada yang beranggapan saya 'gila' kerana membazir masa melakukan perkara yang dianggap sia-sia.

"Sebagai seorang yang pantang dicabar, saya teruskan 'projek' menanam pokok itu dan alhamdulillah semuanya membuahkan hasil, katanya.

MAMPU menghasilkan anggur dixon mempunyai kualiti yang setanding di pasaran.
MAMPU menghasilkan anggur dixon mempunyai kualiti yang setanding di pasaran.

Menurutnya, dia kemudian berkongsi hobinya itu di media sosial sehingga mendapat maklum balas positif dalam kalangan warga net.

"Mereka teruja apabila mengetahui pokok ini sebenarnya boleh sahaja ditanam di halaman rumah dengan teknik yang betul. Malah ada dalam kalangan mereka meminta saya menjual benih pokok anggur.

"Oleh kerana mendapat permintaan tinggi, saya mula membuat semaian benih dan menjual secara dalam talian ke seluruh negara sehingga mampu menjana pendapatan sampingan sehingga RM10,000 menerusi jualan benih pokok anggur ketika PKP dilaksanakan," katanya.

Katanya, teknik penanaman dan penjagaan pokok ini dipelajari secara sendiri daripada bacaan di Internet dan menonton di saluran YouTube.

"Di luar negara seperti Indonesia dan Thailand, mereka berani mencuba untuk melakukan sesuatu yang baharu dan pada pandangan saya mereka agak terkehadapan dalam bidang pertanian.

STRAWBERI jenis sweet charlie senang berbuah di kawasan tanah rendah.
STRAWBERI jenis sweet charlie senang berbuah di kawasan tanah rendah.

"Saya tidak takut mencuba kerana sekiranya berjaya memperoleh hasil boleh dianggap sebagai bonus, jika sebaliknya pokok sedia ada boleh dijadikan sebagai pokok hiasan. Paling penting saya mencuba," katanya.

Ditanya mengenai penjagaan tanamannya, dia banyak menggunakan kaedah organik yang lebih mudah dan menjimatkan.

"Untuk mencegah haiwan perosak seperti ulat, saya gunakan air rendaman kulit bawang dan air basuhan beras yang disiram pada pokok.

"Seminggu sekali saya akan tabur baja organik untuk bantu pertumbuhan pokok," katanya.

Katanya, kelebihan pokok anggur adalah ia tidak memerlukan kawasan yang luas dan boleh ditanam di dalam pasu.

SEMAIAN anak raspberi darpadai biji di dalam pasu.
SEMAIAN anak raspberi darpadai biji di dalam pasu.

"Anggur akan lebih subur pada keadaan cuaca yang panas sekali gus dapat mengurangkan risiko serangan penyakit. Musuh utamanya adalah hujan kerana ia tidak memerlukan air yang banyak," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, dia berhasrat ingin lebih serius dalam bidang itu kerana mempunyai potensi untuk berkembang.

"Sehingga kini permintaan terhadap benih pokok masih tinggi, cuma saya terpaksa hadkan kerana masih terikat dengan komitmen kerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 6:40 AM