BUAH dihasilkan bermutu apabila tanahnya dipastikan sentiasa lembap dan air mencukupi.
BUAH dihasilkan bermutu apabila tanahnya dipastikan sentiasa lembap dan air mencukupi.
Hidayatidayu Razali


PERCUBAAN menanam strawberi di tanah rendah membuahkan hasil apabila pokok berkenaan hidup subur dan mengeluarkan buah yang manis.

Siapa sangka, tanpa pengalaman dalam bidang pertanian, seorang pelajar tingkatan enam mampu membiakkan ribuan pokok strawberi dan menjana pendapatan sampingan.

Mohammad Arif Aizat Shukri, 20, mengusahakan tanaman pokok strawberi di Kampung Selising, Pasir Puteh, Kelantan sejak tiga tahun lalu.

Mohammad Arif Aizat yang juga anak kelima daripada enam beradik itu berkata, dia mula menanam pokok strawberi pada November 2019.

Katanya, pada awalnya dia mahu mencuba menanam pokok strawberi untuk mengisi masa lapangnya sahaja selepas mengulang kaji pelajaran.

"Walaupun ketika itu saya tahu pokok strawberi hanya akan hidup subur di tanah tinggi seperti Cameron Highlands, Pahang namun saya tidak gentar untuk cuba menanamnya.

"Sebelum mencuba, saya membuat kajian termasuk melihat beberapa video di saluran YouTube dan laman Facebook. Saya melihat ada seorang pengusaha pokok strawberi di Terengganu mampu menanam ribuan pokok ketika itu.

MOHAMMAD Arif Aizat menunjukkan buah stawberi yang berjaya dihasilkan.
MOHAMMAD Arif Aizat menunjukkan buah stawberi yang berjaya dihasilkan.

"Untuk percubaan, saya mendapatkan anak pokok strawberi daripada pengusaha terbabit dan membeli dua anak pokok dengan harga RM15 sepokok. Bermodalkan RM30, saya cuba membiakkan anak pokok itu sebelum membeli lagi tambahan dua anak pokok selepas melihat hasil yang pertama memuaskan hati dan hidup subur," katanya.

Menurutnya, untuk tambahan anak pokok itu, dia sekali lagi ke Terengganu untuk mendapatkan dua anak pokok dan kini gembira kerana sudah menghasilkan lebih 1,000 anak benih.

Katanya, dia juga sudah menjual kira-kira 1,000 anak benih dengan harga antara RM10 sehingga RM30 sepokok.

"Dalam tempoh dua tahun ini, terdapat tiga varieti anak pokok strawberi yang saya tanam iaitu Japanese Sweet Charlie, Albion dan Angel Eight.

"Ketiga-tiga varieti ini hidup subur di bawah terik matahari dan ditanam di atas batas serta secara gantung seperti yang diusahakan pekebun di Cameron Highlands.

MOHAMMAD Arif Aizat menunjukkan cara tanam strawberi di tanah rendah.
MOHAMMAD Arif Aizat menunjukkan cara tanam strawberi di tanah rendah.

"Alhamdulillah, saya tidak menyangka percubaan ini membuahkan hasil dan terdapat 700 anak pokok yang ditanam di sekitar kawasan rumah.

"Saya menggunakan ruang di sekitar rumah keluarga yang dapat memuatkan kira-kira 1,500 pokok. Saya juga bertekad mahu menambah lagi tanaman di tanah milik keluarga berdekatan dengan rumah ini," katanya.

Mohammad Arif Aizat bersyukur kerana usahanya itu mendapat sokongan daripada ibu, Nazilah Hasbullah, 54, yang bekerja sebagai guru dan ayah, Shukri Yusoff, 60, yang bekerja sendiri.

Katanya, walaupun ditanam di kawasan tanah rendah, kualiti buah itu tetap sama sebagaimana strawberi yang ditanam di kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands.

"Dalam keadaan cuaca panas, buah yang dihasilkan juga lebih manis berbanding strawberi di pasaran terutama pokok yang ditanam secara atas batas.

TIGA varieti anak pokok strawberi yang ditanam iaitu Japanese Sweet Charlie, Albion dan Angel Eight.
TIGA varieti anak pokok strawberi yang ditanam iaitu Japanese Sweet Charlie, Albion dan Angel Eight.

"Ramai pelanggan yang datang ke rumah saya mencuba buah yang dihasilkan dan rata-rata mereka memberi maklum balas buah stawberi yang saya tanam manis berbanding dihasilkan di tanah tinggi.

"Sebagai pengusaha, saya gembira mendengar pelbagai komen yang membina sekali gus menjadi pembakar semangat kepada saya untuk terus membesarkan lagi usaha tanaman ini," katanya.

Mohammad Arif Aizat berkata, ketika ini juga, dia lebih fokus mengusahakan anak benih dan pokok matang yang mendapat permintaan tinggi selepas terbukti pokoknya mampu tumbuh subur di tanah rendah selain kalis cuaca panas.

Jelasnya, untuk memastikan pokok subur, dia sentiasa menyiram pokok menggunakan kaedah fertigasi dan membaja mengikut masa yang ditetapkan.

"Menjaga anak pokok strawberi tidak sukar kerana ia boleh berada di bawah cahaya matahari, namun saya perlu pastikan tanahnya sentiasa lembap dan air mencukupi.

MOHAMMAD Arif Aizat dan bapanya, Shukri menunjukkan pokok strawberi yang ditanam atas batas.
MOHAMMAD Arif Aizat dan bapanya, Shukri menunjukkan pokok strawberi yang ditanam atas batas.

"Jika perkara ini cukup, pokok hidup subur dan mampu membiak dengan baik, malah menghasilkan buah manis serta berkualiti," katanya yang memaklumkan tanamannya itu mendapat permintaan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Katanya, bagi menghantar anak benih ini, dia akan membungkus menggunakan kaedah tertentu dalam memastikan pokok sampai ke tangan pembeli dengan keadaan baik.

"Setakat ini semua pelanggan saya berpuas hati kerana anak benih yang sampai hidup subur dan mengeluarkan buah yang bermutu," katanya.

Jelasnya, dia masih perlu banyak belajar dan memerlukan bimbingan kepakaran Jabatan Pertanian serta agensi berkaitan untuk menggapai impian sebagai usahawan pokok strawberi yang pertama di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 6:35 AM