GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Dr Askiah Jamaluddin

TAHUN 2020 memberi nafas baru kepada sebilangan besar petani di Pulau Langkawi dengan bermulanya Program Penanaman Padi Pulut menggunakan teknologi moden.

Pada asalnya, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan beberapa agensi di bawah naungan MAFI bertungkus-lumus menyediakan pelan tindakan untuk memulakan semula penanaman padi pulut di Malaysia.

Ini berikutan permintaan terhadap pulut dalam negara meningkat setiap tahun, sehinggakan kerajaan Malaysia perlu berbelanja sebanyak RM10 juta setahun untuk membeli beras pulut dari luar negara seperti Thailand dan Vietnam.

Permintaan terhadap pulut amat tinggi terutamanya ketika bulan perayaan. Bukan saja pengguna Melayu yang memerlukan pulut untuk penyediaan juadah hari raya seperti lemang dan ketupat pulut malah pengguna Cina dengan produk makanan seperti BakChang dan India dengan produk makanan berasaskan pulut.

Generasi hari ini juga sukakan produk makanan sebegini yang seakan tidak luput ditelan zaman. Peniaga juga sangat kreatif dan inovatif menghasilkan produk makanan tradisi ini.

Permintaan pulut yang tinggi dalam negara, memberi peluang kepada petani untuk lebih produktif dan menghasilkan padi pulut yang berkualiti.

Program penanaman padi pulut yang dilancarkan pada 2020, bermula dengan 27 petani terbabit dengan keluasan tanah hanya 39 hektar.

Projek rintis ini mendapat sambutan dan petani mampu meningkatkan pendapatan keluarga mereka sehingga ada dalam kalangan mereka dapat menyelesaikan hutang keluarga yang tertunggak.

Walaupun tempoh masak padi pulut ini mengambil masa lebih panjang daripada padi biasa iaitu 140 hari atau tiga bulan lebih, namun, harga satu tan padi pulut lebih mahal.

Kos pengeluaran terutama kos buruh dapat dikurangkan dengan adanya peralatan moden seperti traktor transplanting, dron untuk semburan baja dan racun, dan traktor yang mengesan pengumpulan padi pulut.

Selain itu juga, kerajaan menyediakan tapak tanah dengan mesin laser perataan tanah bagi menghasilkan tanah yang sesuai untuk penanaman pulut.

Tanah di Pulau Langkawi agak berpasir dan air mudah lolos ke dalam tanah. Dengan adanya mesin laser perataan tanah ini, hasil pengeluaran pulut lebih berkualiti dapat dihasilkan.

Kini, seramai 300 petani di Langkawi yang menyertai program penanaman padi pulut dengan keluasan tanah sebanyak 520 hektar.

Dijangkakan perluasan saiz tanah yang lebih besar diperlukan untuk menghasilkan pulut di Langkawi, apatah lagi rentetan permintaan pulut yang berjenama Pulut Lagenda mulai mendapat perhatian pengguna pulut dalam negara.

Persoalannya, adakah modal insan dalam kalangan semua petani yang terbabit dalam program penanaman padi pulut ini mantap? Adakah mereka bersedia untuk membabitkan diri secara produktif dalam penanaman padi pulut ini pada masa akan datang?

Persoalan ini penting untuk disintesis bagi membentuk petani moden produktif yang menjadi aset penting negara dan menjamin kecukupan makanan dalam negara.

Modal insan amat penting bagi kelangsungan petani dalam arus pemodenan ini. Sebahagian besar petani yang berusia 50 tahun ke bawah ini mempunyai pendidikan peringkat menengah dan sebilangan kecil mempunyai pendidikan peringkat sijil, diploma dan ijazah.

Transisi tahap pendidikan berubah yang mana petani hari ini mempunyai tahap pendidikan lebih baik dibandingkan dengan petani zaman 90-an yang rata-ratanya mempunyai tahap pendidikan peringkat sekolah rendah atau menengah rendah.

Selain tahap pendidikan, ilmu pengetahuan pertanian sangat penting bagi seorang petani. Tahap pendidikan dan ilmu pengetahuan pertanian adalah nilai tambah yang memberi impak tinggi kepada hasil pengeluaran padi pulut.

Modal insan yang ada pada seseorang petani seperti pengetahuan dalam penanaman dan penjagaan padi pulut dari peringkat awal pembenihan, transplanting, penjagaan, serangan penyakit dan perosak, sukatan semburan baja dan racun sehinggalah pengumpulan hasil tuaian.

Latihan formal ini ada yang disediakan oleh Persatuan Peladang Kawasan (PPK), Jabatan Pertanian Malaysia (JPM), dan MARDI, serta latihan tidak formal sesama petani dengan petani yang berpengalaman dari luar kawasan Langkawi.

Namun, tidak semua 300 petani mendapat latihan ini. Kebiasaannya, ketua unit dan ketua plot yang hadir untuk mendapatkan latihan dan mereka dipertanggungjawabkan melatih petani di kawasan mereka.

Berperanan sebagai seorang pemimpin kawasan, ketua unit dan ketua plot ini memastikan semua petani mempunyai tanggungjawab bersama dalam mengusahakan penanaman padi pulut.

Sebilangan kecil petani, membuat pelaburan modal insan dengan menghadiri kursus kaedah transplanting dan dron dengan syarikat swasta kerana menyedari potensi industri penanaman padi pulut.

Mereka berupaya membayar kursus dan dengan ilmu yang diperolehi, mereka menyedari akan mendapat untung yang lebih lumayan.

Selain menjadi petani, mereka dapat menjalankan perniagaan yang menawarkan perkhidmatan menyemai biji benih, transplanting dan dron untuk semburan baja, racun dan biji benih.

Pengurusan sikap adalah modal insan yang sering diabaikan oleh sesetengah petani. Sering kali mereka dikatakan tidak mempunyai sikap rajin dalam penjagaan padi pulut ini sehinggakan rumput liar tumbuh sama tinggi dengan padi pulut.

Rumput yang tumbuh ini mengganggu tumbesaran padi pulut dan juga ia berkongsi pengambilan baja yang menyebabkan padi pulut tidak berkualiti terhasil.

Pengurusan sikap bukanlah mudah untuk diuruskan kerana sikap terbentuk daripada nilai diri yang dipegang oleh petani ini.

Tidak disangkal, terdapat petani yang bersungguh dalam penanaman padi pulut dan bersikap positif untuk meneruskannya.

Mereka mempunyai minda yang lebih terbuka dan menyedari peluang peningkatan ekonomi keluarga dan komuniti dalam industri pulut ini.

Amalan harian yang dilakukan oleh petani juga dapat meningkatkan modal insan petani ini. Ini kerana setiap hari manusia akan belajar sesuatu perkara baru melalui interaksi dengan orang lain dan alam.

Kebiasaannya, petani yang terbabit dalam penanaman padi pulut akan turun ke sawah untuk menyulam (membuang rumput liar) di awal pagi.

Pasangan mereka juga turut serta membantu petani menyulam. Lebih kurang dalam di waktu tengah hari, pasangan mereka akan balik ke rumah untuk menyediakan makanan.

Petani akan bersama rakan petani lain untuk berbual sebentar dan ada yang sibuk menghantar/ mengambil anak sekolah.

Selepas solat Zohor, mereka mempunyai aktiviti di kebun seperti tanaman pisang, nanas dan haiwan ternakan. Selepas Asar, mereka akan turun semula ke sawah untuk memastikan tanaman padi pulut membesar dengan baik.

Modal insan petani dapat dipertingkatkan dengan adanya latihan untuk meningkatkan pengetahuan, perubahan sikap dan amalan yang lebih produktif. Latihan dan kursus untuk petani muda yang berusia 40 tahun ke bawah wajar diberi penekanan supaya kelangsungan petani moden yang menjadi aset negara dapat dimantapkan dan keterjaminan makanan dalam negara.

Penulis adalah pensyarah di Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 2:49 PM