SEIMBANGKAN dengan kandungan sayur tinggi antioksida.
SEIMBANGKAN dengan kandungan sayur tinggi antioksida.
Nurul Husna Mahmud

AIDILADHA sinonim dengan agihan daging pemberian individu yang menunaikan ibadah korban.

Dalam kemeriahan menikmati juadah dan agihan daging musim perayaan itu, amalan bersederhana perlu dipraktikkan termasuk dalam diet seharian meskipun ketika ini ramai menerima pemberian daging.

Sebelum memikirkan jenis masakan sedap yang enak dan baik bagi hidangan daging merah, kebaikan kandungan terutama nutrisi perlu diketahui supaya ia dapat dimanfaatkan untuk gizi seharian.

Perbezaan kebaikan dalam dua jenis daging selalu disembelih ketika korban

Mudah untuk memahami setiap kali Aidiladha, dua haiwan ternak sering dijadikan korban sama ada lembu atau kambing.

Sebenarnya kedua-dua daripada segi kandungan protein dan nutrisi penting tidak jauh beza.

Cumanya pilihan lebih sihat ialah daging lembu yang mana untuk setiap 100 gram (gm) daging itu mengandungi 217 kalori, 26.1gm protein dan 4.2gm lemak berbanding kambing iaitu 258 kalori, 25.6gm protein dan 8.8gm lemak.

Namun dalam keadaan tertentu pilihan lebih baik ialah daging kambing apabila mengkaji kaedah ternakan dan makanan haiwan itu banyak menentukan kandungan protein sihat berbanding lembu yang diternak menggunakan makanan tambahan.

Lebih kebaikan, ternakan kambing yang selalunya diusahakan secara organik membekalkan lemak lebih baik iaitu omega-3 disebabkan sumber makanan ternakan itu berasaskan rumput atau daun pohon semula jadi.

Kebaikan lain boleh diperoleh daripada memakan daging baik kambing atau lembu ialah zink, zat besi, potassium, magnesium, selenium dan vitamin seperti B, K dan D.

AIDILADHA dijangka memberi peluang kepada ramai Muslimin menikmati pemberian daging korban.
AIDILADHA dijangka memberi peluang kepada ramai Muslimin menikmati pemberian daging korban.

Kajian kolesterol mengenai pengambilan daging merah

Fokus ini ditujukan kepada individu yang mempunyai sejarah hipertensi apabila mereka perlu kurangkan pengambilan daging merah yang dipercayai boleh meningkatkan risiko tekanan darah dan serangan jantung.

Berdasarkan kajian, menyarankan pengambilan lemak tepu daripada makanan tidak boleh melebihi 20gm sehari.

Tanggapan ramai orang pula mengenai daging kambing boleh menyebabkan hipertensi, namun fakta kajian membuktikan sebaliknya apabila daging kambing hanya mengandungi sekitar 0.71gm lemak tepu untuk setiap 100gm berbanding 6gm dalam daging lembu.

Terdapat juga kajian mengenai kaitan pengambilan daging dan kanser merujuk kepada penyelidik Karen Collins, R.D, daging banyak menyumbang kepada kanser kolorektal.

Kajian Kohort ini dilakukan ke atas warga Eropah dengan cara mereka diberi makan daging selama lima tahun.

Hasilnya dirumuskan, seorang individu yang banyak makan daging berisiko 36 kali ganda mendapat kanser berbanding mereka yang kurang memakan daging.

KESAN hangus pada daging merah boleh merangsang sel kanser.
KESAN hangus pada daging merah boleh merangsang sel kanser.

Kaedah masakan meningkatkan risiko penyakit dan kolesterol dalam hidangan daging

Bagi penyedia hidangan terutama ibu perlu ada panduan mengenai penyediaan hidangan sihat berbanding fokus terhadap juadah enak dan digemari keluarga semata-mata.

Terdapat pelbagai pemilihan kaedah penyediaan hidangan daripada bakar sehingga kepada gulai berperisa.

Pemilihan jenis juadah bagi daging cukup penting kerana kebanyakan penyebab kepada masalah hipertensi atau tekanan darah tinggi akibat daging berpunca daripada kaedah penyediaan hidangan yang salah:

1.Daging merah terutama kambing digoreng, dipanggang atau dibakar bersama minyak atau mentega. Ini menyebabkan kandungan kalori selepas masak mencecah 64 peratus.

2.Daging dipanggang sehingga menghasilkan lapisan 'hitam' hangus. Lapisan itu dikatakan mengandungi hidrokarbon poliakrilamida (PAH). PAH ialah karsinogen yang boleh merosakkan DNA serta merangsang kanser.

3.Daging merah dalam masakan bahan berlemak minyak sapi dan santan. Meningkatkan kandungan lemak atau kolesterol dalam hidangan.

Saranan:

Selain penyediaan rendah lemak iaitu penggunaan yogurt dan kaedah rebus untuk dijadikan sup, ia perlu diambil dalam jumlah sederhana.

Terbaik pelbagaikan sumber makanan atau pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam memastikan keseimbangan nutrisi termasuk daging dapat dicerna dengan baik.

ELAK penyediaan daging merah dengan bahan lemak seperti mentega.
ELAK penyediaan daging merah dengan bahan lemak seperti mentega.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 6:15 AM