Pengurusan masjid tampil membuat laporan polis terhadap ajaran PMYT. FOTO  Abnor Hamizam Abd Manap
Pengurusan masjid tampil membuat laporan polis terhadap ajaran PMYT. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Pengurusan Masjid Jamek Simpang Durian di sini, tampil membuat laporan polis menafikan masjid berkenaan menjadi lokasi perjumpaan pengikut ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT).

Laporan polis itu dibuat mereka susulan pendedahan akhbar ini yang mengatakan masjid berkenaan akan menjadi titik perjumpaan pengikut PMYT apabila tercetusnya Perang Dunia Ketiga yang didakwa ketua ajaran itu bermula di Sabah.

Untuk rekod, Harian Metro menyenaraikan lokasi atau titik pertemuan seperti didedahkan Sittah Annur dalam perbincangannya bersama pengikut yang akan digerakkan selepas perang bermula kononnya untuk mencari Imam Mahdi.

Pengerusi Jawatankuasa Kariah, Masjid Jamek Simpang Durian, Rusman Jaafar berkata, susulan pendedahan Harian Metro pihaknya tampil membuat laporan polis di Balai Polis Simpang Durian jam 11 pagi tadi.

Menurutnya, laporan itu dibuat bagi meminta polis dan pihak berkuasa agama mengambil tindakan segera terhadap pemimpin dan pengikut ajaran PMYT itu.

"Pihak masjid tidak mengetahui wujudnya ajaran sesat berkenaan dan menafikan masjid digunakan sebagai lokasi perjumpaan mereka.

"Semua program dijalankan di masjid membabitkan kelas takmir, fardu ain, kuliah dhuha, kelas muslimat dan kelas al-Quran kanak-kanak," katanya hari ini.

Rusman berkata semua kelas dan kuliah diadakan di masjid mengikut garis panduan dikeluarkan pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Katanya, guru-guru yang mengajar juga mempunyai tauliah dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Sembilan.

"Laporan dibuat bagi membersihkan nama masjid yang dikaitkan dengan ajaran sesat seperti didakwa seorang wanita bergelar Sittah Annur," katanya.

Bermula 29 Ogos lalu, Harian Metro melaporkan, seorang wanita berusia 39 tahun yang menggunakan gelaran Sittah Annur didakwa mula mengembangkan ajaran PMYT yang dipercayai bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook (FB), YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan termasuk Perang Dunia Ketiga kononnya berlaku di Sabah sebelum dia memimpin pasukannya untuk mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh.

Selain bercerita mengenai peperangan itu, Sittah Annur turut mendakwa dirinya beryaqazah dengan malaikat dan bertemu secara jaga (sedar) dengan Nabi Muhammad SAW dan merangka pelan keluar bersama pengikutnya jika peperangan berlaku.

Malah, bagi meyakinkan pengikutnya, Sittah Annur turut dikesan menjaja nama beberapa orang pemimpin negara, pemimpin dunia dan tokoh agama sebagai khalifah kepada ajarannya itu.

Lebih membimbangkan, perancangan teliti ala tentera dirancang kumpulan itu membabitkan pergerakan ke 29 lokasi di seluruh negara sebaik berlakunya serangan di Sabah.

Untuk rekod, pihak berkuasa percaya kumpulan ini dianggotai hampir 3,000 pengikut terdiri daripada orang awam, pesara kerajaan, doktor, anggota polis dan tentera.

Masjid Jamek Simpang Durian di Jelebu. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Masjid Jamek Simpang Durian di Jelebu. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 1:25 PM