KHAIROOL (kanan) bersama abangnya Afzainizam yang menjadi penerbit album Selimut Debu. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
KHAIROOL (kanan) bersama abangnya Afzainizam yang menjadi penerbit album Selimut Debu. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap

SELEPAS tiga dekad menyepikan diri, penyanyi yang popular dengan lagu Aku Yang Kau Panggil Sayang pada 1989, Khairool Idlan Ismail, 59, bakal muncul dengan album mini tidak lama lagi.

Album yang memuatkan single terbaharu berjudul Selimut Debu turut menampilkan rakaman semula Aku Yang Kau Panggil Sayang dalam versi unplugged, Aku Bagai Pelabuhan, Dulu Kasih Kini Saudara (duet bersama adiknya, Linda Ismail) dan Laguku Untukmu.

Abang kepada Khairool, Afzainizam yang juga seorang penyanyi dan pencipta lagu menjadi penerbit album selain turut mencipta lagu Selimut Debu.

Khairool berkata, penghasilan single terbaharu berikutan permintaan peminatnya yang mahukan dia tampil dengan lagu terbaharu selepas sekian lama menyepi.

Katanya, dia banyak menumpukan kerja belakang tabir selepas muncul dengan enam album iaitu tiga album solo, dua album berkumpulan bersama Solid Gold dan satu album menerusi Gabungan Artis Guntur lewat 1986 menerusi lagu Aku Bagai Pelabuhan.

"Album solo ketiga berjudul Kemungkinan pada 1989 yang memuatkan lagu Aku Yang Kau Panggil Sayang adalah album terakhir saya sebelum memberi tumpuan kepada kerja di belakang tabir sebagai pencipta lagu dan penerbit album.

"Saya bersama Linda yang menganggotai Solid Gold sempat menghasilkan dua album pada 1983 dan 1984", katanya.

KHAIROOL bersama adiknya, Linda ketika menjalani rakaman album Selimut Debu. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
KHAIROOL bersama adiknya, Linda ketika menjalani rakaman album Selimut Debu. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap

Khairool berkata, apabila abangnya mencipta lagu Selimut Debu dan mahu dia menyanyikan lagu itu apatah lagi permintaan peminat yang mahu dia kembali menyanyi, dia tidak dapat menolak lagi.

Katanya, lagu Selimut Debu berkisar kehidupan seharian manusia yang semakin melupakan al-Quran sehingga dibiarkan diseliputi debu.

"Disebabkan tertarik dengan susunan muzik dan lirik Selimut Debu, saya bersetuju untuk menyanyikan lagu berkenaan dan kemudian mengambil keputusan untuk merakamkan empat lagu lain termasuk Dulu Kasih Kini Saudara yang pernah dinyanyikan secara duet pada 1982.

"Laguku Untukmu pula pernah dinyanyikan oleh Datuk DJ Dave pada 1977 dan lagu itu dicipta oleh Afzainizam dan saya nyanyikan semula dengan lenggok saya sendiri.

"Rakaman album dibuat di Studio Tunable, Kuala Lumpur dan ketika ini masih dalam proses mixing serta mastering dan dijangka dilancarkan pada September ini di sebuah hotel di Kuantan," katanya.

Khairool berkata, dia turut menjadi penolong penerbit album berkenaan selain dua anak saudaranya Oja dan Qorina yang juga penyanyi turut tampil sebagai penyanyi latar.

Katanya, dia berharap album ini dapat mengubati rindu peminatnya yang sabar menanti dengan lagu terbaharu sekali gus memeriahkan industri muzik tanah air.

Mengenai cara penjualan album, ia belum diputuskan lagi dan akan diumumkan ketika pelancaran, namun tidak menolak kemungkinan turut dijual secara dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 6:20 AM