Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dipilih sebagai agensi pelaksana untuk melaksanakan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) di Negeri Sembilan.

Pengerusi Risda, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata, sebanyak RM4.5 juta diperuntukkan bagi melaksanakan PJMKM di seluruh 36 Dewan Undangan Negeri (Dun) di negeri ini.

Katanya, PJMKM adalah inisiatif kerajaan persekutuan bagi meringankan beban rakyat terutama golongan B40 yang ketika ini terkesan akibat faktor ekonomi.

"Kenaikan harga barang ketika ini menyebabkan golongan seperti B40 menghadapi kesukaran sekali gus menyebabkan keresahan dalam memastikan kelangsungan hidup.

"Bagaimanapun, kerajaan sedar mengenai isu yang berlaku. Justeru, pelbagai solusi, tindakan agresif dan proaktif sudah dirancang serta dilaksanakan bagi meringankan bebanan dihadapi rakyat seperti mengadakan PJMKM ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan PJMKM di Pasar Tani Keluarga Malaysia (PTKM) Felda Palong Empat, Lima dan Enam, di sini, hari ini.

Mohd Salim berkata, PJMKM di negeri ini mula dilaksanakan sejak 20 Ogos lalu sehingga 31 Disember depan dan setakat ini ia sudah dilaksanakan di 31 Dun.

Katanya, program ini sentiasa ditunggu-tunggu rakyat berikutan menawarkan pengurangan harga barang keperluan harian sehingga 20 peratus berbanding harga pasaran semasa.

SALIM Mohd Sharif ketika bersama orang ramai pada PJMKM di Pasar Tani Keluarga Malaysia FELDA Palong Empat, Lima dan Enam. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
SALIM Mohd Sharif ketika bersama orang ramai pada PJMKM di Pasar Tani Keluarga Malaysia FELDA Palong Empat, Lima dan Enam. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 2:17 PM