ORANG ramai dapat melihat lebih dekat rusa ternakan di ladang milik Mazlan tanpa dikenakan caj. FOTO Zunnur Al Shafiq
ORANG ramai dapat melihat lebih dekat rusa ternakan di ladang milik Mazlan tanpa dikenakan caj. FOTO Zunnur Al Shafiq
Hafiz Ithnin


"BERMULA hanya sebagai hobi, saya tidak sangka kini ia menjadi sebuah perniagaan. Benarlah, rezeki tidak pernah salah alamat jika kita berusaha," jelas usahawan agro ini.

Ternyata sepanjang sesi temu bual dengan Mazlan Jaafar, 53, memberi inspirasi bahawa aktiviti penternakan sebenarnya boleh dijadikan cabang perniagaan yang amat berbaloi.

Pada 2012, usahawan ini membeli 10 ekor rusa baka Timorensis di Johor, kini daripada ia berkembang kepada lebih 70 ekor dan beliau pula menjadi penjual baka rusa di sekitar Kedah.

Bijak mengatur langkah dalam perniagaan yang berasaskan daging rusa, pada Februari 2018, Mazlan membuka pula sebuah restoran berhampiran ladang rusa miliknya yang dikenali sebagai Batas Ubi Deer Farm di Yan, Kedah.

Mazlan berkata, pembukaan restoran itu adalah bagi meningkatkan pendapatan daripada hasil ternakan kerana nisbah keuntungan sekiranya hanya bergantung kepada penjualan daging mentah tidak begitu tinggi meskipun harga jualan sekilogram daging rusa mampu mencecah RM90 di pasaran.

DARIPADA sekadar hobi Mazlan menerokai bidang penternakan rusa. FOTO Zunnur Al Shafiq
DARIPADA sekadar hobi Mazlan menerokai bidang penternakan rusa. FOTO Zunnur Al Shafiq

"Harga daging rusa sememangnya tinggi, tetapi kapasiti untuk kita memenuhi pasaran penjualan dagingnya belum cukup walaupun rusa ini adalah jenis haiwan ternakan yang mudah membiak.

"Setiap tahun boleh dikatakan semua rusa betina saya bunting dan kadar kematian anak rusa juga agak rendah, tetapi jumlah rusa yang ada di ladang saya masih tidak mencukupi sekiranya hanya tertumpu untuk perniagaan daging mentah," katanya.

Ketika ini, Mazlan memiliki tiga ekor rusa baka jantan, 38 induk betina, seekor anak rusa jantan dan mempunyai 32 anak rusa yang baru dilahirkan.

Mazlan berkata, menternak rusa bukan sesuatu yang sukar kerana haiwan itu tidak perlu mempunyai penjagaan yang rapi. Cukup hanya memberi makan dua kali sehari.

Katanya, kos bagi menternak rusa juga tidak terlalu tinggi kerana kos penyediaan makanan yang terdiri daripada campuran jagung dan hampas soya hanya sekitar RM3,000 sebulan.

ANTARA menu rusa hasil tangan cef yang ditawarkan kepada pelanggan. FOTO Zunnur Al Shafiq
ANTARA menu rusa hasil tangan cef yang ditawarkan kepada pelanggan. FOTO Zunnur Al Shafiq

"Selain itu, sepanjang pengalaman saya, haiwan ini sukar mendapat penyakit. Boleh dikatakan rusa ini dalam kategori haiwan ternakan yang lasak dan mudah dijaga.

"Perkara paling penting ialah kita perlu tahu mengenai makanan yang diberikan kepadanya supaya daging sentiasa sedap walaupun dimasak dengan pelbagai cara," katanya.

Menceritakan mengenai pengalaman kali pertama memiliki haiwan ternakan itu, Mazlan berkata, beliau hanya menggunakan tanah seluas 1,000 kaki persegi yang dijadikan kandang berbanding kini yang luas tanah diperlukan sekitar 0.8 hektar memandangkan jumlahnya semakin meningkat setiap tahun.

Katanya, baka rusa juga mendapat permintaan tinggi dan ia biasanya boleh dijual pada harga mencecah RM5,000 seekor bergantung kepada saiz, umur dan jantina. Kebiasaannya, rusa jantan lebih mahal berbanding rusa betina.

Ketika mengunjungi ladang rusa berkenaan, penulis melihat Mazlan juga menjadikan ladang rusa miliknya sebagai destinasi tarikan ekopelancongan kerana pengunjung yang datang untuk menjamu daging rusa turut dapat 'bermesra' dengan haiwan berkenaan.

Beliau berkata, restoran miliknya dibuka hanya setiap Jumaat dan Sabtu dan hari lain ia dibuka sekiranya mendapat tempahan secara berkumpulan.

MAKANAN yang terdapat di restoran berasaskan daging rusa. FOTO Zunnur Al Shafiq
MAKANAN yang terdapat di restoran berasaskan daging rusa. FOTO Zunnur Al Shafiq

"Daging rusa yang disembelih segar daripada ladang dihidangkan dalam konsep makanan Barat yang disediakan oleh cef kami sendiri. Malah, ramuan seperti sos yang disediakan untuk daging rusa panggang juga adalah ramuan daripada dapur kami sendiri.

"Setakat ini, boleh dikatakan setiap Jumaat dan Sabtu, restoran sentiasa penuh dan daging rusa yang disediakan kami mendapat pujian pelanggan kerana tidak liat serta tak berbau," katanya.

Memandangkan Mazlan dilihat sebagai usahawan agro yang berjaya dalam bidang penternakan, beliau juga sering mendapat jemputan daripada pelbagai pihak untuk berkongsi pengalaman dalam bidang berkenaan.

Katanya, perkara paling penting dalam penternakan ialah setiap usahawan perlu bijak mempelbagaikan cabang perniagaan hasil daripada ternakan itu sendiri seperti menjadikannya sebagai pakej pelancongan dan restoran yang diusahakannya ketika ini.

"Selain itu, kita juga perlu bijak melihat potensi, memandangkan pada asalnya saya hanya memiliki rusa yang dibeli pada harga RM3,000 seekor sekadar satu hobi dan apabila melihat ia mampu melahirkan anak, kita sudah tahu untuk mengambil peluangnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 6:30 AM