BOLEH dikembang dan diperluaskan mengikut keselesaan dan kawasan tanaman.FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
BOLEH dikembang dan diperluaskan mengikut keselesaan dan kawasan tanaman.FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Nurul Husna Mahmud

TIADA tanah dan kekangan masa membuatkan ramai berminat terhadap aktiviti bertani memendam rasa, sedangkan ada inovasi yang boleh membantu kelompok ini.

Kelompok petani urban merujuk kepada mereka yang melakukan aktiviti bercucuk tanam di bandar. Biasanya golongan ini menggunakan pasu atau medium lain seperti hidroponik sebagai kaedah menanam berbanding secara konvensional yang langsung kepada tanah.

Namun kekurangan sistem ini ialah menjelangnya musim panas atau kering, tanaman yang biasanya ditanam pada 'net pot' atau pasu akan terkesan sehingga menyebabkan daun mudah menjadi kuning dan melecur.

Sementara itu, kaedah fertigasi yang sering digunakan petani konvensional pula tidak sesuai untuk dilakukan petani urban kerana biasanya memerlukan ruang lebih luas membolehkan siraman baja dapat dioptimumkan.

Berdasarkan kekurangan kedua-dua kaedah pertanian inilah ia ditangani menerusi inovasi pasu siram sendiri, HygrowpotMax yang dipasarkan Nurseri Petani Kota Dengkil bagi mendorong aktiviti pertanian di bandar atau di rumah. Menurut Perunding Nurseri Petani Kota, Mohd Nurarif Zulhermay, inovasi HygrowpotMax adalah rekaan anak tempatan Joe Jalil ditemui pada 2015 menerusi kombinasi kedua-dua teknik iaitu hidroponik dan fertigasi.

"Latar belakang pereka pasu ini adalah perancang bandar dan berminat dengan landskap serta aktiviti pertanian. Jadi dia mencipta konsep pasu siram sendiri yang kini sudah masuk edisi kelima. Berbanding pada awal rekaan hanya satu pasu besar semata-mata.

MOHD NURARIF menunjukkan bahagian akar pokok dalam pasu HygrowpotMax. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
MOHD NURARIF menunjukkan bahagian akar pokok dalam pasu HygrowpotMax. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

"Sebagai rakan strategik memasarkan pasu ini sejak 2017, boleh saya katakan model HygrowpotMax yang ada ketika ini lebih stabil dan ada beberapa pilihan selain diperkemaskan dengan perincian seperti panel solar untuk membekalkan tenaga bagi kawalan pam air serta baja.

"Konsepnya tidak memerlukan pemilik tanaman sentiasa menyiram, sebaliknya sistem pasu ini direka membolehkan baja dan air dapat disalurkan mengikut keperluan tanaman itu sendiri.

"Fokus kami bukanlah petani konvensional ataupun ladang sayur untuk jualan, tetapi individu yang menanam untuk hobi atau keperluan sendiri.

"Prinsipnya menampilkan kombinasi dua kaedah tanaman iaitu fertigasi, membabitkan siraman baja kepada tanaman dalam pasu bertanah dan hidroponik pula pada konsep aliran atau kawalan air kepada tumbuhan," katanya.

Kata Mohd Nurarif, ketahanan pasu ini dijangka mencapai lima tahun dan sudah lengkap dengan perlindungan ultra violet (UV) yang boleh menjejaskan kesuburan tanaman.

MUDAH dialihkan. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
MUDAH dialihkan. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

"Material digunakan sesuai untuk standard pertanian iaitu plastik akrilonitril-butadiena-stirena (ABS) yang tahan lasak selain dilengkapi perlindungan UV.

"Mengenai pasu pula kita boleh sesuaikan pasu baik untuk satu set iaitu satu hingga tiga pasu atau sehingga 40 pasu. Tetapi untuk 40 pasu itu perlukan sistem khas untuk kawalan air baja supaya dapat sampai kepada semua tanaman.

"Titik utama mengenai pasu ini perlu pastikan material digunakan tahan lasak dan tidak mudah bocor. Antara lain boleh dilakukan pemilik pokok ialah perlindungan daripada hujan.

"Sebenarnya air hujan boleh mengalirkan baja keluar daripada medium. Jadi tanaman seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan herba akan terjejas kerana tidak mendapat baja yang cukup.

"Untuk pelanggan kami, ada juga rekaan memuatkan bumbung sebagai perincian untuk mengelak daripada air hujan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 7:00 AM