ABD Latif (kiri) menyampaikan buku FRIM Warisan Kebangsaan kepada Wong.
ABD Latif (kiri) menyampaikan buku FRIM Warisan Kebangsaan kepada Wong.
Mohamad Hussin

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menjalankan pelbagai aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menyokong usaha negara dalam memastikan keseimbangan antara pembangunan industri perhutanan dan pemuliharaan khazanah hutan negara.

Tumbuh-tumbuhan menyokong kehidupan dengan mengeluarkan oksigen dan menyerap karbon dioksida, selain memberikan teduhan, menjadi kawasan tadahan air, mengindahkan landskap dan menyumbang kepada pengurangan pemanasan global.

Kawasan hutan juga mempunyai estetika yang tidak ternilai seperti sungai, air terjun, jeram, pembentukan batu yang unik, habitat kepelbagaian flora dan fauna, tanah lembap dan panorama indah yang menjadi daya tarikan utama sebagai destinasi pelancong tempatan dan luar negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan Elizabeth Wong berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil pelbagai langkah proaktif untuk melaksanakan strategi bagi meningkatkan kehijauan di Selangor.

Beliau berkata, antaranya, jaminan kerajaan negeri untuk mengekalkan keluasan kawasan hutan sebanyak 30 peratus daripada keluasan Selangor dan pelaksanaan Dasar Moratorium Pembalakan selama 25 tahun iaitu tiada sebarang aktiviti pembalakan di dalam kawasan hutan simpanan kekal.

“Melalui usaha ini, kerajaan Selangor mempunyai kawasan berhutan seluas 250,860 hektar atau 31.63 peratus daripada keluasan tanah negeri.

“Saya berbangga dengan komitmen FRIM dengan fokus memulihara kawasan yang diceroboh supaya boleh dimanfaatkan bagi kepentingan alam sekitar dan masyarakat setempat.

“Kerajaan negeri akan terus menyokong usaha FRIM khususnya dalam mencapai pengiktirafan antarabangsa sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO,” katanya ketika merasmikan Majlis Gotong-royong FRIM bersama Sahabat Komuniti di Taman Warisan FRIM, Kepong, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Abd Latif Mohmod dan Pengerusi Jawatankuasa Sahabat Komuniti Tapak Warisan Kebangsaan FRIM (JSK-FRIM) Mohd Azzirin Abu Dolah.

Pada majlis itu, lebih 100 staf FRIM dan wakil Sahabat Komuniti terdiri daripada komuniti sekitar kampus FRIM menyertai program berkenaan.

Ia bertujuan memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan warisan semula jadi dan memperkasakan sokongan komuniti setempat dalam usaha pengiktirafan FRIM sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Elizabeth berkata, bagi memastikan pembabitan semua lapisan masyarakat dalam penjagaan hutan dan alam sekitar, beliau berharap lebih banyak program kesedaran dilaksanakan secara konsisten, sama ada oleh FRIM atau kerajaan negeri.

“Ini kerana sokongan dan kerjasama berterusan daripada pelbagai lapisan masyarakat, sektor swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) akan dapat menggembleng kesatuan masyarakat dalam usaha memulihara dan melindungi alam sekitar,” katanya.

SEBAHAGIAN warga FRIM dan Sahabat Komuniti bergambar kenangan.
SEBAHAGIAN warga FRIM dan Sahabat Komuniti bergambar kenangan.

Sementara itu, Abd Latif berkata, Taman Warisan FRIM ini dibangunkan sebagai kawasan rekreasi alternatif yang dapat memberi faedah kepada masyarakat setempat.

“FRIM menubuhkan taman sinonimnya yang pertama di Stesen Penyelidikan FRIM Selandar, Melaka dengan penanaman 33 jenis pokok yang mempunyai nama tempatan sinonim dengan nama tempat di negeri berkenaan.

“Pokok yang mempunyai nama sinonim dengan nama tempat di negara kita akan sentiasa kekal terpelihara. Ini kerana setiap pokok ini mempunyai sejarah tersendiri yang mengaitkannya dengan sesuatu tempat dan menjadi perlambangan sejarah yang wajar diiktiraf.

“Bagi melindungi dan mengelak pencerobohan, FRIM mendirikan pagar sempadan dan melaksanakan usaha pemulihan, pemuliharaan serta pembangunan secara intensif sejak 2007,” katanya.

Menurutnya, warga FRIM juga menanam spesies tumbuh-tumbuhan endemik yang hanya terdapat di Selangor selain mengekalkan pokok sedia ada di kawasan ini.

“Kerja menaik taraf taman ini sudah dilaksanakan mulai Januari 2017 dengan penambahan kemudahan seperti gazebo, pavilion, amphitheater dan juga parcourse.

“Antara pencapaian FRIM khususnya pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Semula Jadi Negara (2009), Warisan Kebangsaan (2012) dan pemilihan FRIM ke dalam senarai tentatif UNESCO bagi FRIM Selangor Forest Park (Julai 2017).

“Ia adalah usaha murni bagi memastikan FRIM terus kekal, hari ini dan selama-selamanya. Kami akan terus menyokong FRIM untuk menjalankan R&D perhutanan yang berimpak kepada negara dan memberikan tumpuan kepada usaha pemuliharaan hutan dan sumber biologi negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 11:58 AM