myMetro

Kuala Lumpur: Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menyokong hasrat kerajaan untuk menjadikan Hutan Royal Belum sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) .

Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Abd Latif Mohmod berkata, inisiatif itu baik bagi menjadikan Malaysia sebagai mercu tanda yang melindungi khazanah alam yang berharga.

“Kita menyokong hasrat itu kerana ia menunjukkan negara kita komited pada Rio Summit 1992 iaitu dengan mengekalkan hutan 50 peratus daripada keluasan negara kita.

“Bagaimanapun, banyak perkara perlu dilakukan untuk mencapai hasrat itu, antaranya dokumen lengkap mengenai kaitan kawasan dengan penduduk setempat, pembangunan ekonomi serta keyakinan negara bagi memastikan tapak itu dapat dipelihara,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan Lawatan Penghargaan Daripada FRIM ke Pejabat Harian Metro, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Penyelidikan FRIM Dr Ismail Harun, Timbalan Ketua Pengarang Harian Metro Ahmad@Salim Bachok, Pengarang Bersekutu (Berita dan Integrasi Media) Noorsham Md Saleh dan Pengarang Kanan Berita Manan Samad.

Turut hadir, Pengarang Kanan Berita Wilayah Ahmad Shahrul Nizam Muhammad, Ketua Komunikasi Pemasaran NSTP Wan Abdillah Wan Nawi dan Pengarang Bisnes/IT Badrila Jamlus.

Pada lawatan berkenaan, Abd Latif dan Ahmad menanam pokok Susun Kelapa atau Sisik Kelah disumbang FRIM di halaman Balai Berita Bangsar, di sini.

Hutan Hujan Royal Belum-Temenggor yang terletak di utara Perak menjadi habitat kepada lebih 3,000 spesies tumbuhan berbunga, termasuk tiga spesies tumbuhan terbesar di dunia iaitu Rafflesia.

Ia menjadi habitat semula jadi kepada 64 spesies paku-pakis, 62 spesies lumut dan tasiknya menjadi habitat kepada 23 spesies ikan air tawar dan lima spesies penyu.

Baru-baru ini, Ketua Eksekutif Yayasan Pulau Banding (YPB) Datuk Dr Abdul Rashid Ab Malik, dilaporkan berkata, ketika ini kawasan berkenaan diwartakan sebagai taman negeri dan menyasar untuk memperoleh status Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun hadapan atau tahun 2018.

Sementara itu, Abd Latif berkata, lawatan itu bagi memberi penghargaan kepada Harian Metro kerana membantu pihaknya memupuk kesedaran alam sekitar dalam kalangan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 11:18 AM
ABD Latif (kanan) dan Ahmad menanam pokok Susun Kelapa atau Sisik Kelah yang disumbang  FRIM di halaman Balai Berita Bangsar.
ABD Latif (kanan) dan Ahmad menanam pokok Susun Kelapa atau Sisik Kelah yang disumbang FRIM di halaman Balai Berita Bangsar.