SARANG kumbang merah pada batang pokok kurma.
SARANG kumbang merah pada batang pokok kurma.
LARVA kumbang merah yang merosakkan tanaman.
LARVA kumbang merah yang merosakkan tanaman.
AHMAD Zakaria melihat perangkap kumbang merah yang dipasang pada pokok kurma.
AHMAD Zakaria melihat perangkap kumbang merah yang dipasang pada pokok kurma.
AHMAD Zakaria menunjukkan kumbang jalur merah yang terkena perangkap.
AHMAD Zakaria menunjukkan kumbang jalur merah yang terkena perangkap.
Oleh Siti Nadzirah Che Mud


Walaupun saiznya kecil iaitu hanya antara dua hingga lima sentimeter panjang, kumbang merah palma boleh menjejaskan industri tanaman sawit negara jika pembiakannya tidak dibendung.

Malah, kumbang itu juga berupaya memusnahkan pokok palma lain seperti kelapa, kurma dan salak.

Lebih dikenali sebagai red palm weevil (RPW) atau nama saintifiknya Rhynchophorus Ferrugineus Olivier, serangga ini diklasifikasikan sebagai perosak ‘invasive’ yang gemar menjadikan pokok palma sebagai perumah dengan kumbang betina bertelur di dalam umbut, pangkal atau pelepah.

Ini menyebabkan pokok palma berkenaan dijangkiti ‘luka’ dalam tempoh dua hingga tiga hari selepas kumbang betina mengawan.

Dalam tempoh itu, ia yang mampu menghasilkan 250 telur dan larva yang menetas akan mengorek batang pokok sambil memakan tisu.

Serangannya sukar dikesan lebih awal, sebaliknya hanya diketahui selepas lima hingga enam bulan kerana sifat kumbang ini yang tersembunyi dan mudah merebak.

Bagaimanapun, ada ketikanya kegiatan kumbang itu boleh dikesan ketika sedang makan di dalam pokok berkenaan kerana bunyinya boleh didengari dari luar. Serangan peringkat akhir akan menyebabkan bahagian tonggak pokok patah dan mati.

Jabatan Pertanian mengesan serangan RPW di beberapa negeri di utara Semenanjung selain Terengganu dan Kelantan pada 2010 sebelum mewartakannya sebagai perosak berbahaya mengikut Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 pada 19 Julai 2011.

Ini kerana ia dibimbangi mampu melumpuhkan industri tanaman sawit dan usaha membendungnya diambil berikutan serangan itu sudah memusnahkan 465 hektar tanaman pokok kelapa dan 335 pokok kurma di seluruh negara.

Berikutan itu, semua pengusaha nurseri dan peladang dilarang mengimport benih palma khususnya pokok kurma dari luar negara sejak 18 Februari lalu berikutan ancaman kumbang berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek berkata, kumbang itu sangat berisiko terhadap tanaman sawit selain kelapa.

“Kami mengesan ancaman kumbang merah menerusi spesies palma terutama pokok kurma yang dibawa masuk dari luar, terutama negara jiran secara tidak sah dan tiada kelulusan.

“Kami sedang giat membendung ancaman ini dan sudah mengeluarkan surat menghentikan pengimportan pokok kurma,” katanya.

Tanda-tanda pokok diserang RPW apabila pucuk layu, berwarna kuning, kering dan mati manakala bahagian pelepah turut patah dan tergantung di pokok.

Bagaimanapun, kecederaan di bahagian dalam batang pokok hanya dapat dilihat selepas ia dibelah dua. Terdapat lubang tanda dimakan kumbang dan pengeluaran cecair berbau masam berwarna kekuningan dan coklat.

Ahmad Zakaria berkata, kerajaan memperuntukkan RM4 juta bagi membendung, mengawal dan menghapuskan kumbang itu.

Beliau berkata, lima aktiviti pengawalan sudah dijalankan termasuk bancian populasi RPW, pelaksanaan operasi kawalan, latihan dan penerangan kepada pengusaha tanaman serta penghebahan melalui media massa.

“Kawalan RPW boleh dilakukan secara kultura, mekanikal dan kimia. Amalan kultura dan sanitasi ladang penting bagi mengelak serangan.

“Ia boleh dilakukan dengan cara memotong pokok yang terkena serangan manakala tunggul reput dimusnahkan dengan cara membakar batang palma.

“Elakkan juga luka pada batang palma kerana kumbang itu akan menyerang dan mudah bertelur pada kawasan luka berkenaaan.

“Kami juga mengambil tindakan dengan mengawal pergerakan keluar masuk bahan tanaman, memantau kawasan diserang dan ladang terdekat pada setiap dua minggu bagi memastikan pokok sihat dan selamat,” katanya.

Menurutnya, bahagian luka atau lubang pada pokok dirawat menggunakan perangkap feromon iaitu baldi plastik yang diisi kimia penarik kumbang. Ia akan diletak atau diikat pada pangkal pokok.

“Setiap dua minggu perangkap akan diperiksa dan bilangan RPW direkod dan dimusnahkan. Selain itu, strategi pemusnahan juga boleh dilakukan dari segi protokol pemusnahan, kuarantin dan mengehadkan pergerakan dan pengkelasan zon.

“Pokok yang ada tanda-tanda serangan awal hendaklah disembur racun serangga dan dimusnahkan dengan memotong dan membakarnya,” katanya.

Ahmad Zakaria berkata, kuarantin dan mengehadkan pergerakan di kawasan serangan perlu dilakukan dengan ketat kerana pemindahan anak benih untuk dijadikan bahan tanaman dari kawasan serangan ke kawasan lain akan menyebabkan kumbang merebak dengan cepat.

“Justeru, semua syarikat nurseri yang mengusahakan tanaman itu perlu mendaftar dengan jabatan untuk memudahkan kawalan selain ­melarang keras pengimportan spesies palma dari luar negara.

“Jika ada tanda serangan, segera maklumkan supaya rawatan terhadap bahan tanaman dan produk tanaman yang disenaraikan sebagai perumah kepada RPW dapat dilakukan dengan segera,” katanya.

216 pokok kurma mati

Akibat serangan kumbang merah palma, Syarikat Madinatul Ilmi Sdn Bhd di Pasir Puteh, Kelantan, rugi lebih RM300,000 apabila 216 pokok kurmanya mati akibat serangan itu.

Pengarahnya Shamsuddin Mat Daud, 60, berkata, syarikat itu memulakan projek perintis dengan kerjasama kerajaan negeri dan Jabatan

Pertanian Negeri Kelantan apabila menanam 224 pokok yang akan matang dalam tempoh setahun hingga dua tahun dan dijangka berbuah selepas empat tahun.

Beliau berkata, pokok itu ditanam secara besar-besaran di kawasan Sekolah Menengah Agama (SMA) Madinatul Ilmi sebagai sebahagian usaha menjana pendapatan untuk pembangunan sekolah berkenaan yang diuruskannya.

Malah, katanya, beliau dan rombongan sekolah itu berkesempatan melawat ladang kurma di Chiang Mai, Thailand, yang berjaya membuktikan pokok kurma mampu hidup di Asia Tenggara, sekali gus memberi pulangan lumayan.

“Kami mengemukakan idea untuk mengusahakan tanaman ini kepada kerajaan negeri dan mendapat sokongan sebelum benih kurma diimport dari Thailand.

“Ketika itu, dalam fikiran, jika pokok ini mengambil masa atau sukar untuk berbuah, ia boleh dijadikan pokok hiasan sesuai dengan iklim Kelantan yang panas dan lembap pada hujung tahun.

“Tahun pertama hingga keempat, tanaman menjadi apabila lebih 60 peratus pokok berbuah dan memberi hasil yang agak baik kepada kami,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kini hanya lapan pokok masih elok manakala selebihnya dimusnahkan dan dibakar bagi mengelak serangan merebak.

“Lapan pokok yang masih ada pun mungkin sukar untuk hidup walaupun diberi perangkap feromon yang akan menarik RPW.

“Sebelum ini pokok lain turut diberi rawatan serupa, tetapi sudah terlambat dan gagal diselamatkan,” katanya yang mungkin menghentikan penanaman pokok kurma berikutan serangan kumbang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 10:11 AM