Mohamad Hussin

Siapa sangka kini beliau antara usahawan berjaya selepas menceburi bidang ternakan ayam kampung kacuk (AKK).

Pengalaman bekerja di agensi kerajaan sebelum itu sedikit sebanyak memberi peluang kepadanya memahami erti kepayahan kala mengutip ilmu dalam bidang ternakan.

Berkat usaha dan semangat mendorong usahawan ini yang juga bekas Ketua Pegawai Operasi Putrajaya Floria Sdn Bhd (PFSB) Datuk Haris Embong, 41, mengembangkan perniagaan dengan menubuhkan syarikatnya sendiri iaitu Arisprop Holdings Sdn Bhd (Arispop).

HARIS dan Aishah menunjukkan anak AKK berusia seminggu yang memerlukan pengawasan.
HARIS dan Aishah menunjukkan anak AKK berusia seminggu yang memerlukan pengawasan.

Berbekalkan modal permulaan RM10,000, beliau memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan menyediakan tapak dan reban selain membawa masuk anak AKK. Malah dia juga berjaya meyakinkan pihak bank dengan membuat pinjaman sebanyak RM1.5 juta.

Pengarah Urusan Arispop itu juga berkata, sebelum berjinak-jinak dalam ternakan ini, beliau mendapatkan bimbingan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

SEBAHAGIAN anak AKK yang berusia seminggu.
SEBAHAGIAN anak AKK yang berusia seminggu.

“Sepanjang menimba ilmu itu, saya percaya dan yakin ternakan AKK sangat berpotensi untuk diusahakan serta boleh mendatangkan pendapatan lumayan.

“Sejak memulakan perniagaan pada 2016 dan hingga kini, saya mempunyai kira-kira 80,000 ekor AKK membabitkan empat reban yang setiap reban boleh memuatkan 20,000 AKK pada satu masa.

“Saya mendapatkan anak AKK ini dari Pulau Pinang dan Johor sebelum mempunyai pusat penetasan sendiri yang akan beroperasi sepenuhnya di Dungun, Terengganu, Julai ini.

EKSEKUTIF Jualan dan Pemasaran Arispop Aishah Mardhiah Azlon menunjukkan AKK yang sudah matang.
EKSEKUTIF Jualan dan Pemasaran Arispop Aishah Mardhiah Azlon menunjukkan AKK yang sudah matang.

“Ayam ini akan matang dalam tempoh 50 hari dengan berat antara 1.25 hingga 1.35 kilogram (kg) yang dijual segar atau diproses,” katanya yang ditemui di ladangnya di Bukit Perah, Tanjung 12, Banting, Selangor, baru-baru ini.

Haris yang berkelulusan ijazah sarjana muda dan sarjana dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, ternakan AKK itu tidak menggunakan sebarang antibiotik kerana syarikatnya memberikan makanan yang mengandungi organisma mikro bermanfaat (EM).

“AKK ini akan dijual secara hidup dan diproses mengikut permintaan pelanggan sementara setiap AKK ini juga mempunyai gred selepas disembelih dan diproses iaitu bagi saiz S (600 hingga 700 gram) dijual pada harga RM9.50 seekor, saiz M (800 hingga 900 gram) berharga RM11.50 sementara saiz L (900 gram hingga 1.15 kg) pula berharga RM13.

HARIS memegang AKK.
HARIS memegang AKK.

“Permintaan AKK ini sangat memberangsangkan hingga saya tidak dapat memenuhi kehendak pelanggan. Hampir setiap hari pelanggan datang ke ladang untuk membeli AKK sama ada dalam kuantiti yang banyak atau sedikit.

“Saya akan pastikan setiap reban sentiasa berada dalam keadaan bersih dan selamat bagi mengelak jangkitan penyakit. Jika tidak dipantau ia akan merebak ke AKK yang lain sekali gus akan menanggung kerugian,” katanya.

Ketika ditanya cabaran menternak AKK, Haris berkata, mencari lokasi yang sesuai antara cabaran utama kerana kedudukan ladang ini mesti jauh dari kawasan kediaman iaitu radius satu kilometer (km) untuk sistem terbuka sementara 250 meter bagi sistem tertutup.

AKK perlu ditimbang berat sebelum dijual.
AKK perlu ditimbang berat sebelum dijual.

Katanya, ia syarat yang diperlukan dipatuhi dan ditetapkan JPV bagi menjalankan aktiviti ternakan AKK bagi memastikan ia bebas daripada pencemaran sungai, bau, pembiakan lalat, makhluk perosak dan pencemaran sisa.

Menurutnya, AKK sesuai diternak dalam sistem pemeliharaan seperti sistem intensif, sarap tebal, berlantai atas dan semi intensif.

“Sistem intensif ini dikenali sebagai sistem kurung iaitu AKK dikurung setiap masa dan sistem ini memudahkan pemberian makanan, program pemvaksinan, pungutan telur dan lain-lain.

“Biasanya, AKK yang mengalami penyakit atau simptom akan diasingkan apabila melihat fizikalnya lemah, tengkuk berpusing-pusing dan terdapat bintik-bintik merah.

DEDAK yang dihasilkan sendiri menggunakan EM.
DEDAK yang dihasilkan sendiri menggunakan EM.

“Kami akan merawat dengan memberi vaksin atau vitamin dan sekiranya ayam itu mati, ia perlu dilakukan bedah siasat bagi mengesan punca penyakit untuk mengelak jangkitan pada ayam yang lain,” katanya.

Berkenaan perancangan masa depan, beliau berkata, pihaknya akan mengembangkan perniagaan dengan membuka satu lagi ladang AKK berhampiran projek Lembah Tenusu di Muadzam Shah, Pahang, yang akan dilancarkan Julai depan.

“Projek berkenaan membabitkan keluasan kira-kira 20 hektar dan apabila siap kelak akan dapat menampung jumlah kapasiti sebanyak satu juta AKK,” katanya yang memberitahu projek itu antara yang terbesar di negara ini.

HARIS bersama pekerjanya di hadapan ladang di Banting.
HARIS bersama pekerjanya di hadapan ladang di Banting.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 4:20 PM