MOHD Shahidan (kanan) memberi penerangan kepada Ahmad Zahid.
MOHD Shahidan (kanan) memberi penerangan kepada Ahmad Zahid.
Mohamad Hussin

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menerusi anak syarikatnya, FRIM Incorporated (FRIM Inc) bakal mentransformasikan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) termasuk perkhidmatan teknikal kepada aktiviti komersialisasi untuk penjanaan pendapatan.

FRIM Inc juga diberi tanggungjawab untuk memantap dan melestarikan pelan strategik FRIM, 2011-2020.

Ia akan menyokong, meningkatkan imej dan pengiktirafan penyelidikan FRIM di arena perhutanan pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Pengerusi FRIM merangkap Pengerusi FRIM Inc, Datuk Seri Azizan Ahmad berkata, sebagai strategi awal, FRIM Inc akan menjalankan aktiviti perkhidmatan teknikal kepakaran dan kemahiran selain pemasaran produk berasaskan perkayuan atau herba.

Beliau berkata, pihaknya akan memperkenalkan produk dan inovasi FRIM yang mempunyai impak serta berpotensi dikomersialkan antaranya aplikasi pengecaman kayu menggunakan telefon pintar iaitu ‘Mobile Wood Identification System’ (MyWood-ID).

“Melalui sistem ini, pengguna hanya perlukan telefon pintar yang mempunyai aplikasi berkenaan dan kanta dalam pengecaman spesies kayu.

“Teknologi ini cepat, tepat, kos yang rendah, mesra pengguna dan dijangka dapat mengecam 100 jenis kayu tempatan.

“Ia dijangka dimanfaatkan industri perkayuan, penggred kayu, pemeriksa balak dan pemeriksa kawalan kualiti kayu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian FRIM Inc di FRIM, Kepong, Selangor, baru-baru ini. Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

AHMAD Zahid menandatangani plak perasmian bangunan FRIM Inc.
AHMAD Zahid menandatangani plak perasmian bangunan FRIM Inc.

Turut hadir, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, timbalannya Datuk Ir Dr Hamim Samuri, Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Abd Latif Mohmod dan Ketua Pegawai Eksekutif FRIM Inc Mohd Shahidan Mohamad Arshad.

Azizan yang juga Ketua Setiausaha NRE berkata, MyWood-ID juga boleh digunakan agensi kerajaan seperti Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Jabatan Perhutanan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“MyWood-ID dibangunkan saintis Makmal Anatomi Kayu FRIM yang diketuai Dr Nordahlia Abdullah Siam dengan kerjasama Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR),” katanya.

Menurutnya, berdasarkan cogan kata ‘Discover Unlimited Potential’, FRIM Inc akan beroperasi di bawah prospek seperti aktiviti pemasaran dan jualan produk hasilan R&D.

Ia termasuk perkhidmatan kepakaran dan kemahiran, perkhidmatan perlindungan harta intelek, khidmat teknikal berbentuk pemindahan teknologi dan latihan serta ‘komersialisasi’ harta intelek di pasaran terbuka.

“Daripada keseluruhan aktiviti perniagaan FRIM Inc yang bermula Disember 2017 hingga Januari lalu, kami dianggarkan memperoleh perniagaan bernilai RM1 juta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 3:00 AM