PELAJAR SMK Taman Tasik dan guru pengiring mereka disamping inovasi kerusi serba guna. FOTO Ihsan FRIM.
PELAJAR SMK Taman Tasik dan guru pengiring mereka disamping inovasi kerusi serba guna. FOTO Ihsan FRIM.
Mohamad Hussin

KERUSI serba guna hasil inovasi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tasik, Ampang, Selangor menjuarai Pertandingan Inovasi Piala Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Peringkat Sekolah Selangor 2019, hari ini.

Manakala, Sekolah Kebangsaan (SK) Rasa muncul juara bagi Projek Inovasi ‘Bio-eggcellent’ bagi kategori sekolah rendah.

Pertandingan bertemakan Konservasi Hutan, Air dan Hidupan Liar ke Arah Kelestarian Biodiversiti dan Manfaat Sejagat menerima penyertaan 33 inovasi daripada 15 sekolah rendah dan 47 inovasi daripada 26 sekolah menengah.

Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abd Latif Mohmod berkata, objektif penganjuran bagi menggalakkan kreativiti pelajar serta percambahan minda dalam menghasilkan reka cipta yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

“Saya berharap semua pihak sama ada FRIM, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, guru, murid, pelajar mahupun agensi berkaitan terus menyokong agenda penyelidikan dan inovasi untuk menjadi penyumbang kepada percambahan ilmu pengetahuan dan teknologi.

“Kita seharusnya bersedia untuk mengubah corak pemikiran daripada berterusan menjadi pengguna kepada pencetus atau ‘inovator’ kepada ilmu dan teknologi yang terkini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Inovasi Piala Ketua Pengarah FRIM Peringkat Sekolah Negeri Selangor di FRIM, Kepong, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Muhamad Radzi Abdullah dan Penolong Ketua Pengarah (Teknikal, Sains dan Teknologi), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Kamal Kormin.

Abd Latif berkata, ciptaan kreatif dan inovatif peserta dilihat jelas pada produk yang dipamerkan, sekali gus memberi keyakinan bahawa budaya kreativiti dan inovasi semakin meresap dalam masyarakat.

Pemenang tempat kedua kategori sekolah rendah dimenangi SJK (T) Simpang Lima menerusi inovasi, Thermopower Water Bottle dan SJK (T) Castlefield (inovasi: Automatic Soil Moisture Sensor for a Sprinkler System)

Manakala, pemenang tempat kedua kategori sekolah menengah pula dimenangi SMK Bagan Terap (inovasi: Herbsvela) dan SMK Puncak Alam (inovasi: Green Eco-plastic).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 10:28 PM