DR Abdul Latif (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Inovasi Terbaik FRIM kepada Dr Hamdan Hussain.
DR Abdul Latif (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Inovasi Terbaik FRIM kepada Dr Hamdan Hussain.
Mohamad Hussin

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menganjurkan Hari Inovasi FRIM 2017 bertemakan ‘Inovasi Penggerak Komersialisasi’ selari dengan iltizam FRIM untuk menjana pendapatan ke atas nilai dapatan penyelidikan dan khidmat teknikal.

Ia turut memberi pengiktirafan kepada bahagian dan warga FRIM yang berjaya mengetengahkan aktiviti inovasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan, bergiat aktif dalam membentuk persekitaran kerja yang kondusif untuk menggalakkan aktiviti inovasi di FRIM.

Begitu juga dengan pegawai yang berjaya mempromosikan inovasi ciptaan mereka bagi tujuan komersialisasi di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Alam Sekitar), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Azimuddin Bahari berkata, majlis ini kemuncak penghargaan dan pengiktirafan tertinggi kepada warga FRIM yang menunjukkan perkhidmatan cemerlang. Ini sekali gus memastikan FRIM sentiasa mendahului dalam membudayakan inovasi.

PEGAWAI Penyelidik Kanan FRIM, Dr Rushdan Ibrahim bersama rekaciptanya penghasilan kertas dari pulpa batang pisang.
PEGAWAI Penyelidik Kanan FRIM, Dr Rushdan Ibrahim bersama rekaciptanya penghasilan kertas dari pulpa batang pisang.

Beliau berkata, ia juga untuk mencapai standard dan kualiti yang dapat memenuhi kehendak serta matlamat masyarakat umum khususnya pemegang taruh FRIM.

“Kejayaan memang sukar dicapai, tetapi untuk mengekalkan kejayaan adalah jauh lebih sukar dan mencabar. Sebenarnya setiap kejayaan FRIM sangat bergantung pada seluruh warganya yang sentiasa peka dan bertindak dalam memastikan sejauh mana usaha kreativiti dan inovasi diteruskan.

“Tema Inovasi Penggerak Komersialisasi diangkat sebagai satu tanda FRIM sentiasa bersedia untuk ‘menggubah’ landskap penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menjurus kepada komersialisasi.

“Ia adalah usaha supaya Malaysia dapat mencapai status negara maju yang berteraskan R&D dan k-ekonomi pada masa akan datang,” katanya selepas merasmikan Hari Inovasi FRIM 2017 di Kepong, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Abd Latif Mohmod, Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) FRIM Dr Ismail Harun; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FRIM Datuk Dr Rahim Sudin dan Pengarah Bahagian Inovasi dan Komersialisasi FRIM Dr Khali Aziz Hamzah.

KUMPULAN reka cipta daripada reja kayu kepada produk, Khairul Masseat (kiri), Mohd Nazri Abd Latiff dan Muhammad Adzam Ahmad.
KUMPULAN reka cipta daripada reja kayu kepada produk, Khairul Masseat (kiri), Mohd Nazri Abd Latiff dan Muhammad Adzam Ahmad.

Sementara itu, Abd Latif berkata, pada 4 Ogos lalu menyaksikan penubuhan anak syarikat FRIM iaitu FRIM Incorporated Sdn Bhd (FRIM Inc.) yang diwujudkan bagi membantu FRIM mengkomersialkan hasil R&D.

“FRIM Inc. akan bertindak sebagai pemasar FRIM untuk mentadbir urus dengan lebih berkesan dan berdaya maju dalam memperoleh pendapatan melalui aktiviti komersialisasi FRIM.

“Saya berharap penyelidik akan membantu menjayakan aktiviti komersialisasi FRIM dengan menghasilkan output penyelidikan yang berteraskan aplikasi dan memenuhi kehendak pihak berkepentingan FRIM.

“Usaha ini dilihat bukan saja dapat merangsang aktiviti komersialisasi FRIM, malah ia akan menjadikan FRIM sebagai sebuah institusi yang akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber kewangan kerajaan pada masa akan datang dan membantu Malaysia mencapai status negara maju yang berpendapatan tinggi,” katanya.

KUMPULAN reka cipta untuk pengukur Hujan H20 (dari kiri) Mohd Azhari Faidi, Shahzerul Hisam, Siti Aisah Shamsuddin dan Rashidah Hassim.
KUMPULAN reka cipta untuk pengukur Hujan H20 (dari kiri) Mohd Azhari Faidi, Shahzerul Hisam, Siti Aisah Shamsuddin dan Rashidah Hassim.

Tiga reka cipta memenangi Pingat Emas bagi Pertandingan Rekacipta dan Inovasi 2017 adalah: ‘Compost for Acclimatization of Elite Clone Kacip Fatimah (FaFaFQ1)’ oleh pasukan penyelidik yang diketuai Dr Farah Fazwa Md Arif; ‘Formula Aedes Biobased Fuel (ABBF), Dr Wan Asma Ibrahim dan ‘Cross-laminated Timber Product from Malaysian Tropical Hardwood Timber Sesenduk (Endospermum malaccese sp.)’.

Pertandingan yang diadakan sempena Hari Inovasi FRIM 2017 membabitkan 25 penyertaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 11:11 AM