AMALAN bermusyawarah bagi menyelesaikan masalah dan mencari persetujuan dalam menangani sesuatu isu amat dituntut demi kemaslahatan umat. FOTO Arkib NSTP
AMALAN bermusyawarah bagi menyelesaikan masalah dan mencari persetujuan dalam menangani sesuatu isu amat dituntut demi kemaslahatan umat. FOTO Arkib NSTP
Datuk Mohd Ajib Ismail

Islam adalah agama yang mencabar keintelektualan manusia supaya berhujah dengan kebenaran bukan sekadar menjadi penganut yang membuta tuli. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 111 yang bermaksud "Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: "Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani". Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah ke mari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar." Allah SWT juga berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 23 yang bermaksud: "Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan al-Quran itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar."

Namun sebarang sanggahan perlulah didatangkan dengan bukti atau dalil bukannya berdasarkan sentimen dan emosi yang dangkal serta tidak berasas sebagaimana dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran surah Al-Hajj ayat 8 yang bermaksud "Dan ada di antara manusia yang membantah dalam perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan tidak berdasarkan sebarang keterangan, dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran."

Begitu juga halnya dalam menguruskan kehidupan masyarakat. Dalam konteks membangunkan sesebuah tamadun dan peradaban, ruang untuk berhujah dan memberikan pandangan perlu disediakan supaya pengetahuan dan kemahiran luas dalam pelbagai bidang dapat dimanfaatkan. Justeru budaya dialog amat bertepatan bagi mendapatkan input yang terbaik. Menurut Dr Khalid Abdullah Al-Qasim dalam buku Pengantar Peradaban Islam, Islam adalah agama yang menjunjung tinggi dialog selaras dengan pendekatan yang dianjurkan dalam al-Quran. Walau bagaimanapun dialog harus dilaksanakan dengan menggunakan perkataan yang baik, memelihara adab perbezaan pandangan serta menjauhkan diri daripada perbuatan merendah-rendahkan dan memperlekehkan pihak yang berbeza pendapat. Pihak yang berdialog mesti menjauhi segala perbuatan angkuh dan sombong sebagaimana peringatan Allah dalam al-Quran surah Taha ayat 43-44 bermaksud: "Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut."

Dialog amat penting bagi merealisasikan agenda perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa dan agama. Namun, bukanlah bermaksud dilaksanakan dengan menggadaikan prinsip akidah atau melarutkan ketuanan bangsa yang telah menjadi akar umbi dan sendi pembentukan negara. Perkara tersebut selaras dengan agenda Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (Al-Falah) yang menggalakkan pelbagai aktiviti bagi melestarikan budaya dialog harmoni antara penganut agama dan tamadun sekali gus mengukuhkan perpaduan ummah.

Selain dialog, amalan bermusyawarah bagi menyelesaikan masalah dan mencari persetujuan bersama dalam menangani sesuatu isu juga dituntut demi menjaga kemaslahatan umat. Musyawarah boleh digunakan di pelbagai peringkat bermula dari rumah tangga, keluarga, organisasi, masyarakat dan negara. Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 159 bermaksud: "Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya." Dalam konteks pemerintahan negara, amalan bermusyawarah diterjemahkan melalui persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang membahaskan pelbagai isu membabitkan kepentingan rakyat. Musyawarah juga perlu diamalkan dalam menguruskan kehidupan berkeluarga melalui perbincangan yang sering dilakukan antara suami isteri, ibu bapa dan anak-anak. Dalam sesebuah organisasi atau di tempat kerja pula, musyawarah dilaksanakan melalui pelbagai medium perbincangan di peringkat unit, cawangan, bahagian, jabatan atau kementerian.

Kepentingan musyawarah dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara dapat dilihat berdasarkan firman Allah dalam al-Quran surah Syura ayat 38 bermaksud: "Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami beri kepadanya." Ketika musyawarah dijalankan, sudah tentu wujud perbezaan pandangan dan pertikaian namun hendaklah ditangani secara beradab kerana matlamat akhirnya adalah untuk melihat keputusan terbaik dapat dibuat. Perbezaan pandangan yang timbul semasa proses musyawarah berlangsung adalah perkara yang boleh diraikan dan tidak harus menjadi penghalang dalam menegakkan kebenaran dan keadilan seperti ditegaskan dalam al-Quran surah al-Maidah ayat 8 bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."

Perdana Menteri dalam suatu majlis perjumpaan bersama penjawat awam juga berpendirian bahawa budaya musyawarah penting bagi menyediakan ruang serta peluang kepada golongan tersebut untuk bersuara dalam menyampaikan pandangan ke arah merangka hala tuju negara. Beliau menambah suara penjawat awam adalah penting agar kemahiran dan kepakaran yang dimiliki dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya. Di peringkat komuniti setempat, Jawi baru-baru ini telah melaksanakan pelantikan anggota jawatankuasa kariah masjid dan surau Jumaat yang baharu secara musyawarah selaras dengan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) dan Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Jawatankuasa Kariah) 2019. Jawatankuasa yang dilantik diingatkan agar sentiasa melaksanakan gerak kerja dan merangka aktiviti dan program pengimarahan secara musyawarah bersama ahli kariah agar hasrat untuk menjadikan institusi masjid dan surau sebagai pusat ibadah dan keilmuan dapat dipertingkatkan. Marilah kita bersama-sama mengangkat budaya dialog dan musyawarah di segenap peringkat berlandaskan adab dan tatasusila agar kemaslahatan semua pihak dapat dicapai.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 7:01 AM