ZULHIJAH adalah bulan umat Islam menunaikan ibadat haji untuk menyempurnakan rukun Islam kelima.
ZULHIJAH adalah bulan umat Islam menunaikan ibadat haji untuk menyempurnakan rukun Islam kelima.
Fahimi Zakaria

Zulhijah adalah bulan terakhir dalam takwim Islam bagi 1443 Hijrah. Seperti bulan Islam lain, Zulhijah juga memiliki sirahnya yang tersendiri termasuk hukum-hakam dalam bulan ini, adab dan kelebihan yang banyak padanya. Zulhijah ialah bulan haji, iaitu ibadah yang sangat mulia dalam Islam dan dijanjikan pahala besar bagi mereka yang tertentu dengan syarat tertentu. Pada bulan ini umat Islam akan melaksanakan ibadat haji bagi menyempurnakan rukun Islam kelima di Tanah Suci, Kota Makkah.

Sesungguhnya Zulhijah dan bulan Hijrah yang lain sudah ada di sisi Allah SWT seperti firman-Nya dalam al-Quran yang bermaksud: "Sesungguhnya terdapat 12 bulan di sisi Allah menurut ketetapan-Nya sewaktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya terdapat empat bulan haram." Surah at-Taubah: 36

Menurut Syeikh Ali al-Sabuni bahawa 12 bulan ini ialah bulan qamariyyah yang menjadi sumber ketetapan syarak dan hukumnya yang telah tertulis di Luh Mahfuz lagi. (Sofwah al-Tafasir)

Sementara empat bulan haram ini pula merujuk kepada Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab. Terdapat hadis jelas yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Satu tahun terdiri daripada 12 bulan, di antaranya terdapat empat bulan yang haram (suci). Tiga daripadanya mengikut turutan iaitu Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam manakala keempat adalah Rejab yang terletak antara Jamadilakhir dan Syaaban." Riwayat al-Bukhari

Berdasarkan pedoman al-Quran dan hadis di atas, maka Zulhijah termasuk bulan haram, iaitu bulan yang suci lagi mulia. Menurut Ibn Kathir, ia dinamakan bulan haram kerana padanya terdapat banyak kemuliaan seperti ganjaran pahala yang berganda berbanding bulan lain dan larangan (diharamkan) melakukan kezaliman seperti peperangan serta pertumpahan darah yang dosanya lebih besar berbanding bulan lain. Tafsir Ibn Kathir

Saidina Umar al-Khattāb RA yang mula menyusun kedudukan bulan qamariyyah secara tertib bermula daripada Muharam sehingga Zulhijah. Syeikh Said Ramadan al-Buti mengatakan, Islam berkembang pada zaman Umar selari dengan keperluan syariat yang memerlukan beliau memperkemaskan sistem takwim Islam bagi memudahkan urusan ibadah umat Islam seperti penentuan tarikh puasa, hari raya, haji dan sebagainya. Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah

Maka Zulhijah dimasukkan di dalam takwim Islam sebagai bulan yang terakhir, iaitu bulan keduabelas dalam kalendar Hijrah.

Bulan ini melambangkan kemuliaan syiar Islam melalui ibadah yang khusus di samping ganjaran pahala yang berganda sebagai balasan kepada hamba Allah SWT yang benar-benar menghidupkan bulan berkenaan dengan melakukan kebajikan. Rasulullah RAW dan sahabat RA adalah manusia yang paling memahami kemuliaan bulan ini sehingga amalan mereka dipuji oleh Allah SWT dalam al-Quran, antaranya: "Wahai jiwa yang tenang! Pulanglah kepada Tuhanmu dengan hati yang saling reda dan diredai, maka masuklah ke dalam golongan hamba-Ku serta silalah masuk ke syurga-Ku." Surah al-Fajr: 27-30

Jiwa yang tenang ini menurut Syeikh Abdullah Basmeih ialah hamba Allah SWT yang beriman dan beramal soleh serta benar-benar meyakini kedatangan Hari Kiamat. Tafsir Pimpinan al-Rahman

Sudah pastilah hamba-Nya yang paling beriman dan banyak amalan ialah golongan anbia AS dan sesudah mereka pula disusuli sahabat RA. Apabila kita menghidupkan hari sepanjang bulan yang mulia, maka sesungguhnya kita telah membesarkan syiar Islam dan perkara ini sebahagian daripada tanda ketakwaan hati seperti dinyatakan di dalam al-Quran yang bermaksud: "Demikianlah perintah Allah, oleh itu sesiapa yang mengagungkan syiar Allah maka sesungguhnya perbuatan itu sebahagian daripada tanda ketakwaan hati." Surah al-Hajj: 32

Walaupun syiar yang dikhususkan dalam ayat merujuk kepada ibadah haji yang dilaksanakan pada Zulhijah, tetapi menurut Imam al-Qurtubiy ia merujuk kepada apa sahaja amalan soleh dilakukan dengan cara paling baik kerana Allah SWT. Hendaklah setiap Muslim itu membuat persiapan menyambut kedatangan Zulhijah seawal mungkin kerana ganjaran pahala berganda sedang menanti buat mereka yang menghidupkannya. Namun, sangatlah rugi jika hari dalam bulan ini dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa melakukan sebarang amalan kebajikan.

Penulis Pensyarah Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 6:00 AM