JADIKAN media sosial sebagai medan untuk menyebarkan kebaikan.
JADIKAN media sosial sebagai medan untuk menyebarkan kebaikan.
BERSAMA Farisha Irdayu Abdullah

Masyarakat menjadikan media sosial sebagai medan untuk meluahkan rasa yang terpendam dalam hati sama ada perkara dikongsi itu menggembirakan atau sebaliknya. Ada juga yang memuat naik kisah peribadi yang mendatangkan keaiban dan menjatuhkan maruah seseorang. Setiap umat Islam wajib menjaga aib diri sendiri apatah lagi mendedahkan perkara yang terang-terang suatu dosa dan yang tidak disukai Allah SWT serta Nabi Muhammad SAW. Haram bagi setiap individu yang membenarkan dan seronok dengan perkara mendatangkan dosa dilakukan. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA: "Rasulullah SAW bersabda, 'Setiap pengikutku akan diampunkan kecuali orang yang mendedahkan kesalahan mereka. Contohnya adalah orang yang melakukan dosa pada malam yang Allah SWT menutupi baginya, sedangkan pada waktu pagi, dia akan berkata (kepada orang lain): Saya melakukan dosa itu dan dosa tadi malam tadi, sedangkan Allah SWT menyimpan rahsia itu. Pada waktu malam Allah SWT menutupinya, tetapi pada waktu pagi dia mengoyakkan sampul yang disediakan oleh Allah sendiri.'" (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sekiranya segala perkongsian yang membuka aib dan dosa sendiri itu tular ia akan menambahkan dosa pada mereka yang memberi komen buruk, melihat paparan perkongsian berkenaan dan yang turut sama-sama like serta share. Dosa bukan untuk ditayang apatah lagi untuk diumumkan di paparan teknologi yang sedia ada. Apa yang berlaku mengakibatkan netizen ingin mencuba dan mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Sesungguhnya neraka Jahanam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk." (Surah al-Furqan 25: 66)

Adakalanya perkongsian yang dimuat naik itu semata-mata mahu menimbulkan kontroversi dan mahu mencipta populariti. Sudah menjadi tabiat manusia untuk memburu perhatian malah menjadikan apa yang dikongsikan di media sosial itu berjaya sebagai perkara yang tular (viral). Mereka tidak mengerti bahawa segala perkara yang ditunjukkan di media sosial boleh juga mendapat kecaman dan penghinaan. Tambahan pula, isu yang dibangkitkan itu banyak mendatangkan keburukan kepada diri, keluarga dan masyarakat. Kerap kali dan sudah menjadi trend kisah rumah tangga diceritakan di media sosial. Barangkali hilang sudah rasa malu dan privasi tentang diri, suami atau isteri dan keluarga. Sebahagian pasangan menjadikan pernikahan dan perceraian satu permainan malah apa yang dilakukan itu adalah perkara mempersendakan agama. Rasulullah SAW bersabda:"Iman mempunyai lebih daripada 60 cabang dan malu itu salah satu cabang daripada iman." (Riwayat Bukhari)

Malu dalam kalangan umat Islam adalah landasan akhlak mulia. Sesiapa yang banyak malunya maka banyaklah kebaikan, sekiranya kurang malunya maka kuranglah kebaikan. Seorang yang mempunyai sifat malu dalam diri mampu menjaga diri dan maruah daripada perkara yang buruk serta bercanggah dengan norma kehidupan dan syariat Allah SWT. Justeru, apabila perasaan malu tidak ada lagi dalam diri maka keburukan dan kejahatan semakin mudah berhimpun dalam jasadnya. Bukankah ketika menyebarkan keburukan sekiranya ada yang mengikut maka dosa itu juga terpalit kepada si penyebar. Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang memulakan suatu perlakuan jahat dalam Islam sehingga diikuti oleh orang lain, dia mendapat dosa dan menanggung dosa mereka yang melakukan perbuatan itu selepasnya tanpa dikurangkan daripada dosa mereka sedikit pun." (Hadis Riwayat Muslim)

An-Nawawi menyatakan bahawa sesiapa yang memberi petunjuk kepada kemungkaran akan mendapat balasan dosa seperti orang yang melakukannya sehingga hari kiamat. Dalam erti kata lain, balasan dosa itu akan berterusan pada waktu hidupnya atau selepas kematiannya.

Ibn Hajar al-'Asqalani menambah mengenai perkara ini dengan menyatakan bahawa orang tersebut menanggung dosa yang diajarinya atau ditunjukkan olehnya itu selagi dia belum bertaubat di atas dosanya itu. (Fathul Bari)

Galakkan melakukan kebaikan dan kebajikan itu pula lebih baik ditularkan serta disebarkan agar lebih ramai umat Islam terutamanya melibatkan dan mewakafkan diri untuk tanggungjawab seperti itu. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal yang baik) untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar." (Surah al-Hadid ayat 21)

Bahkan dengan melakukan kebaikan dan orang lain laksanakan kita juga akan mendapat pahala. Jom kita sebarkan kebaikan agar ia menjadi trend dan tular. Hidup kita tidak lama, mati sudah tentu tetapi waktunya kita belum tahu.

Penulis Pelajar Sarjana Pengajian Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 7:00 AM