HIJRAH Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke  Madinah memberikan erti yang besar dalam perkembangan Islam dan umatnya.
HIJRAH Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah memberikan erti yang besar dalam perkembangan Islam dan umatnya.
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Hijrah Rasulullah SAW adalah inspirasi kepada kita untuk terus melakukan perubahan dalam kehidupan. Peristiwa hijrah ini berlaku dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW dan diriwayatkan dalam beberapa hadis.

Antaranya, Rasulullah SAW bersabda: "Nabi SAW dilantik menjadi rasul pada usia 40 tahun dan baginda tinggal di Makkah selama 13 tahun (dalam menyampaikan dakwahnya). Kemudian, baginda menerima wahyu daripada Allah SWT dan diperintahkan agar berhijrah. Maka baginda SAW berhijrah dan menetap di sana selama 10 tahun lalu wafat ketika berusia 63 tahun." Riwayat Bukhari

Hijrah Rasulullah SAW bersama sahabat menjadi titik mula kepada perubahan yang besar dalam perkembangan agama Islam.

Hijrah menuntut pengorbanan. Hijrah secara naratifnya merujuk kepada hijrah Rasulullah SAW daripada kota Makkah ke kota Madinah. Hijrah biasanya sinonim dengan makna perpindahan daripada satu tempat ke tempat yang lain. Dalam Kamus Dewan hijrah bermaksud perpindahan Nabi Muhammad SAW dari kota Makkah ke Madinah. Selain itu, ia juga bermaksud penghijrahan perbuatan ataupun perihal berhijrah. Hijrah adalah sunatullah dalam kehidupan manusia. Setiap masa semua orang akan melalui fasa yang berbeza dalam kehidupan masing-masing. Malah, kemungkinan setiap hari boleh berlaku hijrah dalam kehidupan seseorang. Sebagai contoh, kala pandemik ini banyak gaya hidup kita yang lama terpaksa ditinggalkan dan berhijrah kepada norma yang baharu.

Menurut Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitab Fath al-Bari Syarh Shahih al-Bukhari, hijrah itu ada dua jenis: lahiriah dan batiniah. Hijrah batiniah adalah meninggalkan apa yang diperintahkan oleh hawa nafsu yang selalu memerintahkan keburukan dan syaitan manakala lahiriah adalah menghindarkan diri dengan memelihara agama daripada fitnah.

Ibnu Arabi pula berkata hijrah adalah keluar atau berpindah dari negara yang diperangi atau negara kufur ke negara Islam. Subul al-Salam, juz 6, halaman 128 dan Nail al-Authar, juz 12, halaman 270

Berdasarkan pandangan di atas hijrah juga adalah meninggalkan kekufuran menuju keimanan, meninggalkan darul kufur menuju darul Islam, meninggalkan kekalahan menuju kemenangan dan kemuliaan Islam dan mengubah penindasan menjadi keluasan rahmat.

Hijrah Rasulullah SAW daripada kota Makkah ke kota Madinah mencatatkan sejarah yang besar dalam kehidupan umat Islam. Hijrah ini berlaku setelah Nabi SAW menghadapi penentangan yang hebat daripada kafir musyrikin di kota Makkah. Beberapa percubaan untuk berhijrah berlaku antaranya ke Taif dan Habsyah, namun tidak berjaya. Perkara asas yang perlu difahami ialah hijrah berlaku kerana mentaati perintah Allah SWT.

Hijrah Rasulullah SAW bersama sahabatnya bukan semata-mata berpindah kerana melarikan diri daripada kafir musyrikin, tetapi adalah langkah proaktif ke hadapan yang disusun oleh Allah SAW. Terbukti Islam mencapai tahap kemajuan tertinggi di kota Madinah dalam segenap perkara.

Allah SWT berfirman: "Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah menolongnya iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya, Makkah) sedangkan dia seorang daripada dua (sahabat) ketika mereka berlindung di dalam gua. Pada ketika itu, dia berkata kepada sahabatnya: 'Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.' Maka Allah menurunkan ketenangan kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang kafir terbawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan kalimah Allah (Islam) adalah yang tertinggi (selama-lamanya) kerana Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." Surah al-Taubah ayat 40

Hijrah dengan makna berpindah dari kota Makkah ke kota Madinah hanya berlaku kepada Rasulullah SAW. Namun, konsep umum daripada hijrah itu secara maknawinya sentiasa berlaku sehingga hari kiamat. Rasulullah SAW bersabda: "Tiada lagi hijrah selepas pembukaan kota Makkah, tetapi yang ada adalah jihad dan niat. Oleh itu, apabila kami diperintahkan berangkat (untuk berjihad) maka berangkatlah." Muttafaqun Alaih

Dalam hadis yang lain pula baginda bersabda: "Muslim itu adalah orang yang menjadikan Muslim yang lain selamat daripada lisan dan tangannya serta al-muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang meninggalkan apa saja yang Allah larang." Riwayat Bukhari

Begitu juga kita melihat perubahan yang berlaku dalam bidang kehidupan kita setelah melalui pandemik yang belum dapat dijangkakan kesudahannya. Suasana pandemik ini memaksa kita meninggalkan cara hidup dahulu dan berubah kepada norma baharu yang lebih baik. Sebagai contoh, kita 'dipaksa' untuk lebih berdisiplin terutama dalam hal menjaga kebersihan dan kesihatan. Sememangnya menjaga kebersihan dan kesihatan adalah prinsip asas yang sedia ada dalam ajaran Islam.

Namun, umat Islam jugalah yang sebelum ini terkenal dengan pengabaian terhadap isu kebersihan. Begitu juga dengan isu disiplin, terutama dalam mematuhi perintah. Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan prosedur operasi standard (SOP) masyarakat terdidik dengan gaya hidup yang lebih berdisiplin.

Untuk sampai ke tahap ini pastinya semua pihak perlu melalui pelbagai kesukaran dan banyak pengorbanan yang dilakukan. Sekarang masyarakat semakin biasa dengan amalan terpuji seperti menjaga kebersihan dan menjaga diri daripada terdedah kepada wabak serta penyakit berbahaya.

Langkah pencegahan sangat dititikberatkan. Mungkin perkara ini tidak begitu diambil berat sebelum ini, tetapi, dengan tercetusnya wabak Covid-19, seluruh masyarakat berhijrah kepada norma baharu kehidupan yang lebih baik. Ia adalah hijrah kepada norma baharu kehidupan yang lebih baik. Allah SWT tetap akan memberikan ganjaran pahala yang besar jika ia dilakukan dengan niat kerana Allah.

Tegasnya, hijrah seperti ini juga termasuk dalam maksud hijrah sebagaimana sabda Rasulullah SAW: "Daripada Muawiyah katanya: 'Rasulullah SAW bersabda: Hijrah tidak akan berakhir sehingga berakhirnya peluang bertaubat dan peluang bertaubat tidak berakhir sehingga matahari terbit dari sebelah barat.'" Riwayat Abu Daud

Pastinya mereka juga akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT: "Orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah." Surah al-Taubah ayat 20


Penulis Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) Pusat Pendidikan UM

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 6:01 AM