ISLAM sentiasa menyarankan umatnya agar sentiasa membaca dan menghayati isi kandungan al-Quran.
ISLAM sentiasa menyarankan umatnya agar sentiasa membaca dan menghayati isi kandungan al-Quran.
Addin

Sebagai Muslim yang beriman kepada kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasul-Nya buat disampaikan kepada hamba-hamba-Nya sudah pasti ia merupakan agenda penting di dalam penghidupan manusia. Al-Quran merupakan salah satu kitab suci yang terakhir diturunkan oleh Allah SWT kepada seluruh manusia dan dijamin keasliannya sehingga  kiamat. Untuk itu, adalah menjadi pokok perbincangan utama bagi setiap orang yang beriman seboleh mungkin cuba mendalami dan mempelajari isi kandungan ayat al-Quran supaya ia sentiasa memandu manusia ke jalan yang lurus. 

Allah SWT mengingatkan kepada seluruh manusia bahawa al-Quran sentiasa menjadi teman yang akan memimpin manusia ke jalan yang benar bersesuaian dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar." - (Surah al-Isra, ayat 9). Justeru sebagai seorang yang beriman tidak sepatutnya masa yang dianugerahkan oleh Allah SWT dibiarkan tanpa pengisian dan pembacaan al-Quran.  Al-Quran yang sudah diketahui umum merupakan mukjizat Nabi Muhammad SAW yang kekal terpelihara sehingga kiamat. Kandungan al-Quran banyak mengandungi pengajaran dan hukum bagi menyelamatkan manusia daripada kesesatan dan tipu daya iblis. Seharusnya umat Islam sentiasa peka terhadap ingatan Tuhan bagi menjamin kelangsungan kebahagiaan hidup yang berkekalan sehingga hari akhirat.

Sebahagian umat Islam kini dilihat masih kurang menguasai bacaan al-Quran dengan baik apatah lagi menguasai maksud dari ayat tersebut. Namun begitu Islam sentiasa menggalakkan umatnya agar sentiasa berusaha sebaik mungkin mendalami al-Quran. Ini bersesuaian dengan saranan dan ganjaran yang bakal diperolehi oleh pembaca al-Quran sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Orang yang membaca al-Quran sedangkan dia mahir bacaannya, akan mendapat tempat di dalam syurga bersama-sama dengan rasul-rasul yang mulia lagi baik. Sedangkan orang yang membaca al-Quran, tetapi dia tidak mahir, membacanya tergagap-gagap dan agak berat lidahnya (kerana belum lancar), dia akan mendapat dua pahala." - (Riwayat al-Bukhari & Muslim). Justeru membaca al-Quran sentiasa memperolehi kebaikan pahala walaupun segala usaha dan ikhtiar telah dibuat dengan kadar yang mampu.

Keistimewaan al-Quran terlalu hebat dan ajaib bagi pembaca yang sentiasa tekun mentaddabur isinya. Ini kerana seluruh ayat-Nya mempunyai pelbagai hikmah dan kehebatan susunan ayat-ayat-Nya. Untuk itu, Islam sentiasa menyarankan umatnya agar sentiasa membaca dan menghayati isi kandungan al-Quran dengan teliti sehingga tersingkap rahsia yang menakjubkan bagi pembacanya. Hal ini bersesuaian dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?" (Surah Muhammad, ayat 24). Jika setiap umat Islam mampu mencerakinkan maksud ayat-ayat al-Quran dengan sempurna sudah pasti nikmat kelazatan membacanya dapat dirasai dan tersingkap beribu kebaikan yang diperoleh.

Sebagai akhir kalam, menekuni isi kandungan al-Quran merupakan tuntutan yang besar ke atas umat Islam manakala melantunkan bacaan yang lunak didengar merupakan sebahagian hasrat bagi tujuan memperelokkan bacaan si pembaca. Maka sudah sampai masanya al-Quran menjadi teras panduan bagi setiap Muslim memahami dan seterusnya beramal di dalam kehidupan ini. Jadikan al-Quran teman hidup setia sehingga akhir hayat.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara cawangan Perlis

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2023 @ 7:01 AM