SUKAN bola sepak seringkali mempertemukan kawan dan lawan daripada pelbagai latar belakang yang berbeza namun disatukan atas semangat kesukanan.
SUKAN bola sepak seringkali mempertemukan kawan dan lawan daripada pelbagai latar belakang yang berbeza namun disatukan atas semangat kesukanan.
Addin

cara perasmian pembukaan kejohanan bola sepak Piala Dunia di Qatar baru-baru ini adalah sesuatu yang mengujakan dan menarik perhatian banyak pihak. Buat pertama kalinya majlis gilang-gemilang dan berprestij yang dianjurkan semenjak tahun 1930 itu dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh qari Ghanim al-Muftah iaitu seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) yang dilahirkan dengan penyakit gangguan perkembangan bahagian bawah badan (CDS). Beliau membacakan potongan ayat al-Quran beserta maksud sejurus selesai tayangan filem digital mengenai peradaban kuno padang pasir dengan paus yang terbang di langit dinaratifkan oleh pelakon terkenal Amerika Syarikat, Morgan Freeman. Kisah tersebut menceritakan tentang kemanusiaan dan penyatuan manusia selaras dengan mesej ayat al-Quran yang dibacakan iaitu surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)."

Persembahan memukau penonton pada malam tersebut menyerlahkan identiti negara dan warganya yang komited memartabatkan bangsa, budaya dan agama. Pebagai media melaporkan bahawa penganjur turut menyediakan kemudahan dengan pengisian penyebaran mesej dakwah bil hal yang dilakukan secara tidak langsung. Antara aktiviti tersebut adalah seperti mempromosikan keindahan Islam di bilik-bilik hotel melalui kod bar yang memperkenalkan ajaran Islam, hadis dan definisi mudah akidah Muslim. Qatar juga menukar bilal masjid dan membawa masuk mereka yang bersuara indah untuk melaungkan azan. Mikrofon juga disediakan di stadium untuk laungan azan. Pusat Pengunjung Qatar juga menyediakan pasukan seramai 2,000 orang untuk menyeru kepada ajaran Islam serta memperuntukkan kereta bergerak dan khemah khusus untuk tujuan tersebut. Pameran Islam turut dianjurkan dalam pelbagai bahasa oleh Kementerian Wakaf, selain menyediakan tempat solat dan berwuduk di stadium buat pertama kali dalam sejarah Piala Dunia. Selain itu, Fifa juga mengesahkan tiada penjualan alkohol di lapan stadium yang menganjurkan 64 perlawanan sepanjang kejohanan tersebut.

Mengimbas kembali situasi di dalam negara kita Malaysia, beberapa siri perlawanan bola sepak dianjurkan di Stadium Nasional Bukit Jalil seperti Piala AFC yang melibatkan pertembungan di antara pasukan KL City dan Al Seeb dan terbaharu perlawanan akhir Piala Malaysia melibatkan pasukan Johor menentang Selangor. Bagi memastikan kemaslahatan umat Islam serta tuntutan maqasid syariah sentiasa terpelihara, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turut bertindak menyediakan kemudahan Surau Bergerak di pekarangan stadium bagi pengunjung menunaikan solat dan berwuduk sebagai tambahan kepada kemudahan sedia ada. Inisiatif tersebut adalah selaras dengan saranan Ketua Setiausaha Negara di dalam Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama seluruh Malaysia supaya para pentadbir agama menyemarakkan budaya inovasi dan meningkatkan kreativiti agar bukan sekadar menyediakan perkhidmatan sebaliknya menawarkan perkhidmatan kepada masyarakat Islam dan pelanggan sekali gus membantu menyuburkan penghayatan agama dalam kehidupan dengan memelihara tiang utamanya iaitu solat pada bila-bila masa walau di mana-mana jua berada.

Sukan bola sepak seringkali mempertemukan kawan dan lawan daripada pelbagai latar belakang yang berbeza namun disatukan atas semangat kesukanan dan setiakawan. Para penyokong hadir beramai-ramai dari jauh dan dekat memberikan sokongan kepada pasukan yang diminati lebih-lebih lagi apabila pasukan masing-masing mewakili negeri atau negara di persada asia dan dunia. Suatu ketika dahulu, filem tentang bola sepak bertajuk Ola Bola iaitu sebuah karya yang dihasilkan oleh pengarah filem tempatan memenangi pelbagai anugerah dari dalam dan luar negara kerana bukan sekadar menceritakan tentang sejarah kecemerlangan dan prestasi membanggakan yang pernah dikecapi oleh negara di rantau Asia, tetapi juga menggambarkan bahawa sukan bola sepak dapat bertindak sebagai wadah yang menyatukan pelbagai bangsa dan agama di atas semangat muhibah.

Begitulah iktibar yang boleh dijadikan pedoman dari sebuah perlawanan bola sepak. Acara tersebut bukan sekadar menjadi medan yang menyaksikan sorakan dan tempat para penyokong mengekspresikan emosi, tetapi menyeru semua pihak untuk menyusun dan merapatkan kembali saf kesepaduan yang menjadi asas kemenangan dan kecemerlangan. Firman Allah SWT dalam surah al-Saf ayat 4 yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh." Dalam konteks negara kita Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara perlu dijadikan panduan pada setiap masa demi memelihara kesepaduan dan keharmonian hidup bermasyarakat. Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mesti terus dipertahankan di samping membenarkan hak-hak penganut agama lain untuk terus bebas mengamalkan agama secara berhemah dan aman sebagaimana yang diperuntukkan.

Ajaran Islam menggariskan kaedah dan prinsip yang jelas berkaitan kehidupan bersama (ta'ayush) dalam kemajmukan masyarakat. Fiqh ta'ayush seharusnya dijadikan pedoman sebagai jambatan yang mempertautkan. Sifat persefahaman dan bertolak ansur dalam kalangan masyarakat walaupun berlainan agama menarik minat golongan bukan Islam kepada ajaran Islam. Hubungan baik antara masyarakat Islam dan bukan Islam akhirnya membentuk integrasi nasional yang menyumbang kepada kesejahteraan negara. Perbezaan agama dan budaya bukanlah menjadi alasan permusuhan yang merenggangkan hubungan. Melalui kefahaman sebenar, bertolak ansur dalam berkomunikasi serta sifat santun dalam pergaulan menjadi jambatan mempererat hubungan.

Walauapapun agenda dan ikhtiar kita dalam membangunkan bangsa dan negara, kunci utamanya adalah semangat kesepaduan yang tidak dikesampingkan dan pegangan agama yang sentiasa menjadi paksi dan teras kehidupan. Ayuh kita bersama-sama berganding bahu dalam membina negara agar hasil mahsulnya dapat dinikmati bersama. Usaha tersebut penting untuk dilaksanakan agar lahir negara yang makmur sekali gus menepati ciri-ciri negara 'Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur' iaitu sebuah negara gemilang yang bukan sahaja kaya dan maju, bahkan merupakan sebuah negara yang mendapat pengampunan daripada Allah. Firman Allah SWT dalam surah al-A'raaf ayat 96 yang bermaksud: "Dan (Tuhan berfirman lagi) sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 7:01 AM