Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Al Bakri. Foto Bernama
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Al Bakri. Foto Bernama
Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Kerajaan memperkenalkan Dasar Manhaj Rabbani yang berpaksikan tiga ciri utama, Thaqafah (keilmuan), Ruuhaniyyah (kerohanian) dan Da'wah (aktivisme).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika mengumumkan perkara itu berkata, dasar berkenaan adalah konsep yang dekat dengan masyarakat di negara ini.

Selain itu, beliau berkata, ia jelas, mudah difahami serta mampu diterjemahkan pada peringkat individu, komuniti, organisasi dan negara.

Katanya, beliau tidak menafikan pentingnya sebuah gagasan atau dasar yang menjadi hala tuju bersama dalam memacu pentadbiran Islam di negara ini.

"Dasar itu biarlah bersifat komprehensif, praktikal dan mudah untuk difahami oleh semua lapisan masyarakat umat Islam termasuk bukan Muslim.

"Setelah meneliti, berbincang dengan pakar dan memohon petunjuk Ilahi, dasar itu saya namakan dengan Dasar Manhaj Rabbani.

"Di peringkat agensi-agensi agama di bawah tanggungjawab saya, saya mahu Manhaj Rabbani terus dilaksanakan dan disesuaikan dengan visi, misi dan objektif agensi," katanya ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Agensi-Agensi Bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bertajuk Pentadbiran Hal Ehwal Islam di Era Norma Baharu yang disampaikan secara maya, pagi hari ini.

Zulkifli berkata, negara memerlukan suatu panduan dan hala tuju yang jelas bagi menghadapi kekalutan dunia yang sedang bergelut dengan pandemik Covid-19, juga isu-isu lain yang semakin menghimpit meliputi soal agama, ekonomi dan sosial.

Pada masa sama, beliau berkata, teras kepada dasar itu adalah Maqasid Syariah, yang dinamakan sebagai Maqasid Insaniyyah Rabbaniyyah.

Katanya, Maqasid Syariah itu adalah objektif untuk menjadi insan rabbani, organisasi rabbani bahkan negara rabbani, manakala tahap pencapaiannya akan diukur dengan pelaksanaan aplikasi i-MaqSD bawah seliaan Bahagian Maqasid Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Beliau berkata, ia menjadikan tujuh prinsip utama sebagai hala tuju iaitu RAHMAT membabitkan pentadbiran yang membawa mesej kasih sayang, kesusilaan dan kecaknaan merentas agama dan bangsa; AMAN iaitu pentadbiran yang membawa mesej kesederhanaan atau wasatiyyah Islam, menolak ekstremisme (ifrat) dan Islam Liberal (tafrit) serta menyeru kepada keharmonian antara agama dan fiqh ta'ayush (co-existence).

Menurutnya, prinsip seterusnya adalah BERTUHAN, pentadbiran yang menjadikan nilai-nilai agama berteraskan Maqasid Syariah sebagai paksi dalam merancang segala dasar, kaedah pelaksanaan dan solusi permasalahan.

Katanya, BAKTI iaitu pentadbiran yang menekankan kebajikan, kemanusiaan dan bakti kepada ummah merentasi agama dan bangsa; ADIL, pentadbiran yang menjunjung tinggi prinsip-prinsip perundangan dalam menegakkan keadilan sebagaimana yang dituntut oleh Islam dan Perlembagaan Persekutuan.

"NURANI iaitu pentadbiran yang mengangkat nilai kerohanian dan logik bertunjangkan wahyu dalam mendepani apa jua cabaran semasa dan INSANI iaitu pentadbiran yang mempertahankan fitrah kemanusiaan dan kemuliaan insan (karamah insaniyyah).

"Kesemua tujuh prinsip ini diterjemahkan mengikut tujuh bidang keutamaan yang ada bawah bidang pengukuran i-MaqSD iaitu, Perundangan dan Kehakiman Syariah; Pendidikan dan Pembangunan Insan; Sosio Ekonomi Ummah; Dakwah dan Media; Institusi Masjid; Kepimpinan dan Tadbir Urus serta Penyelidikan dan Kefatwaan.

"Penjelasan lanjut dan pelan tindakan berkenaan dasar ini akan diperincikan oleh JAKIM bersama pejabat saya dalam masa terdekat," katanya.

Selain itu, Zulkifli berkata, berdasarkan kepada projek rintis i- MaqSD yang dilaksanakan oleh Bahagian Maqasid terhadap 13 agensi bawahnya, tahap pencapaian keseluruhan i-MaqSD 2020 adalah 85.9 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 12:11 PM