SYARAT guru atau penceramah mempunyai tauliah sangat penting kerana ia berkait rapat dengan pembentukan kefahaman masyarakat yang betul terhadap ajaran agama.
SYARAT guru atau penceramah mempunyai tauliah sangat penting kerana ia berkait rapat dengan pembentukan kefahaman masyarakat yang betul terhadap ajaran agama.
Dr Mohd Khafidz Soroni

Sebagaimana kita maklum, pihak berkuasa agama setiap negeri bertanggungjawab untuk menjaga umat Islam di negeri masing-masing terutama dari sudut akidah dan syariah supaya mereka tidak menyimpang dari jalan yang benar.

Antara aspek yang menjadi tanggungjawab ialah memastikan setiap guru atau penceramah yang mengajar dan membimbing masyarakat Islam itu mempunyai tauliah.

Tauliah yang dimaksudkan ialah surat pelantikan atau surat kepercayaan yang diberikan oleh pihak berkuasa agama kepada mereka bagi melaksanakan tanggungjawab berkenaan.

Tauliah agama cukup penting bagi memastikan mereka yang diiktiraf sahaja dibenarkan untuk mengajar dan membimbing masyarakat.

Namun sebelum pengiktirafan itu diberi, mereka mesti melalui terlebih dahulu proses semakan terhadap latar belakang pengajian, guru-guru dan tahap penguasaan ilmu yang dipelajari.

Proses semakan ini sebenarnya bukan perkara baharu, bahkan prosedur ini wujud sejak zaman salafussoleh lagi. Ia dibuat terutama selepas peristiwa pembunuhan Saidina 'Uthman RA pada tahun 35 Hijrah apabila umat Islam mula berpecah kepada beberapa kelompok yang saling bertentangan.

Kata seorang tokoh tabiin terkenal, Imam Ibn Sirin (wafat 110H): "Mereka sebelumnya tidak pernah bertanyakan tentang sanad (guru seseorang), namun selepas berlakunya fitnah, mereka mula bertanya: 'Namakan kepada kami guru-guru kalian'. Lalu, jika didapati cenderung kepada ahli sunnah, maka barulah diambil hadis mereka dan jika didapati cenderung kepada ahli bidaah pula, maka tidak akan diambil hadis mereka." (Riwayat Muslim)

Mereka yang dimaksudkan dalam perkataan Imam Ibn Sirin itu ialah ulama salafussoleh di zaman beliau. Riwayat ini jelas menyatakan mengenai pendirian tegas yang diambil oleh mereka dalam usaha menapis hadis Nabi SAW. Mereka secara umum membahagikan kaum Muslimin kepada dua golongan, ahli sunnah dan ahli bidaah.

Pengkelasan ini dilihat cukup mendesak dan perlu dilakukan agar dapat dibezakan antara berita yang benar dan berita yang tidak benar atau diragui kebenarannya. Justeru, kata-kata mereka: "Namakan kepada kami guru-guru kalian" sudah menjadi kaedah keramat yang membentuk asas penting dalam disiplin periwayatan hadis.

Kayu ukur atau parameter yang digunakan bagi mengkelaskan seseorang perawi sama ada daripada kelompok ahli sunnah atau ahli bidaah ialah guru-gurunya, disebabkan mereka yang bertanggungjawab menyampaikan semua ilmu yang dimilikinya. Imam Ibn Sirin juga berkata: "Sesungguhnya ilmu ini adalah (sebahagian daripada) agama, kerana itu hendaklah kamu sekalian perhatikan daripada siapa kalian mengambil agama kalian." (Riwayat Muslim)

Pengkelasan seseorang perawi kepada kelompok ahli sunnah atau ahli bidaah ini adalah ibarat pemberian tauliah kepadanya atau pembuktian ketidaklayakannya untuk mendapatkan tauliah tersebut. Penilaian ini hanya dari aspek sifat keadilan perawi (adalah ar-rawi). Ulama hadis kemudian menambah satu lagi kayu ukur dalam proses penilaian mereka iaitu aspek penjagaan perawi terhadap riwayatnya (dhabt ar-rawi).

Apapun, proses pengkelasan ini tidak boleh dilakukan oleh orang sembarangan atau sesiapa sahaja, tetapi yang layak melakukannya adalah alim ulama atau ahli ilmu yang sudah terkenal keilmuan dan ketakwaannya. Mereka ini ibarat 'pihak berkuasa agama' pada masa itu ataupun 'pihak jabatan agama' pada masa sekarang yang layak memberikan tauliah dan kepercayaan.

Semua ini jelas menunjukkan bahawa syarat guru atau penceramah mempunyai tauliah adalah sangat penting kerana ia berkait rapat dengan pembentukan kefahaman masyarakat yang betul terhadap ajaran agama.

Jika tidak dipedulikan soal tauliah ini, maka dikhuatiri akan mengakibatkan situasi cacamerba dan kalut-malut dalam kalangan masyarakat. Apatah lagi jika sesuatu pihak itu gemar mengajak orang untuk saling sesat menyesatkan, bidaah membidaahkan, malah kafir mengkafikan antara satu sama lain.

Bagi memastikan supaya ahli bidaah dikenali serta dijauhi, ulama hadis dahulu menggunakan kaedah pelabelan dengan gelaran tertentu terhadap mereka. Kerana itu, banyak kita temui dalam kitab-kitab rijal hadis, golongan ahli bidaah ini dilabelkan dengan gelaran seperti Syi'i bagi yang berfahaman Syiah, Khariji bagi yang berfahaman Khawarij, Qadari bagi yang berfahaman Qadariyyah, Nasibi bagi yang berfahaman Nawasib dan sebagainya.

Sekiranya kaedah pelabelan terbabit kini dapat menjauhkan masyarakat daripada bahaya sesuatu fahaman, maka boleh sahaja ia diaplikasikan seperti label Wahhabi bagi yang berfahaman Wahhabiyyah, liberalis bagi yang berfahaman liberalisme dan sebagainya. Di samping perlunya terus diberikan nasihat, teguran dan penjelasan secara ilmiah supaya mereka sedar dan kembali ke jalan yang benar.

Pihak berkuasa agama juga wajib terus melaksanakan pemantauan dan pengambilan tindakan yang sewajarnya jika perlu.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 7:00 AM