METODE kalam yang digunakan perlu benar-benar diperhalusi dan disaring dengan petunjuk al-Quran dan sunah. - Gambar hiasan
METODE kalam yang digunakan perlu benar-benar diperhalusi dan disaring dengan petunjuk al-Quran dan sunah. - Gambar hiasan
Oleh Dr Mohd Khafidz Soroni

Dalam siri lalu dijelaskan mengenai kemasukan falsafah dan mantik Yunani ke dunia Islam pada zaman Khalifah al-Mansur (136-158H) hingga rancak di zaman Khalifah al-Ma'mun (198-218H). Tanpa dinafikan, ia memberi pengaruh yang bukan sedikit terhadap pemikiran dan metode penghujahan sesetengah umat Islam hingga menyimpang jauh daripada ajaran ulama Salaf.

Ini kerana metode kalam yang digunakan tidak benar-benar diperhalusi dan disaring dengan petunjuk al-Quran dan sunah hingga menyebabkan sikap melampau dalam mengutamakan dalil akal mengatasi dalil wahyu.

Rentetan itu, ulama Salaf menolak dan mencela metode kalam sedemikian. Imam Ibn Asakir dalam Tabyin Kazib al-Muftari (hlm 334) meriwayatkan daripada al-Qadhi Abu Yusuf (wafat 182H) katanya: "Sesiapa yang menuntut agama dengan kalam, maka ia menjadi zindik." Demikian juga diriwayatkan daripada Imam Malik (wafat 179H). Ulas Imam al-Baihaqi (wafat ‏458H): "Sesungguhnya yang beliau maksudkan dengan kalam, wallahu a'lam ialah kalam ahli bidaah kerana pada zaman mereka yang dikenali dengan kalam hanyalah ahli bidaah sahaja. Adapun Ahlus Sunnah, jarang sekali mereka menceburi ilmu kalam sehinggalah kemudian mereka terpaksa menggunakannya."

Imam Ibn Asakir (wafat 571H) menambah: "Kemungkinan maksud lainnya ialah dia hanya memberi tumpuan kepada ilmu kalam sahaja seraya meninggalkan pembelajaran ilmu fiqah yang dapat menyampaikannya untuk mengenal halal dan haram, menolak beramal dengan syariat Islam yang dia diperintah melaksanakannya serta tidak istiqamah melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan apa yang dilarang daripada hukum hakam."

Imam al-Baihaqi dalam Manaqib as-Syafi'i meriwayatkan daripada Imam as-Syafii (wafat 204H) katanya: "Kalau seseorang itu diuji dengan (melanggar) semua perkara yang dilarang oleh Allah kecuali dosa mensyirikkan Allah, itu lebih baik daripada dia diuji dengan ilmu kalam."

Kemudian beliau menjelaskan: "Sesungguhnya yang Imam as-Syafii rahimahullah maksudkan dengan ilmu kalam ini ialah Hafs al-Fard (yang berfahaman Muktazilah) dan yang seumpamanya daripada kalangan ahli bidaah. Inilah maksud beliau pada semua kata-kata yang diriwayatkan daripadanya dalam mencela ilmu kalam dan ahlinya. Hanya sebahagian perawi menyebutkannya secara mutlak dan sebahagian perawi lain menyebutkannya secara khusus. Sedangkan pada pengkhususan perawi yang menyebutkan secara khusus itu terdapat dalil terhadap maksud sebenar beliau."

Justeru, tidak mungkin ilmu kalam yang beliau maksudkan termasuk metode kalam Ahlus Sunnah Waljamaah (ASWJ) yang dibangunkan oleh Imam Ibnu Kullab (wafat selepas 240H) dan pengikutnya serta dikemas kini oleh Imam al-Asy'ari (wafat 324H) dan Imam al-Maturidi (wafat 333H). Bagaimana mungkin? Sedangkan, beliau tidak pun sempat melihat dan hidup pada zaman kemunculan mereka itu. Imam Ibnu Kullab dan pengikutnya pula jelas mereka hidup pada zaman Salaf, maka sudah tentu mereka cukup mengetahui apa dimaksudkan oleh Imam as-Syafii dan lainnya. Lantaran itu, ia tidak menghalang mereka berijtihad membangunkan metode kalam yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan sunah. Malahan, suruhan menggunakan akal juga banyak disebut oleh Allah SWT dalam al-Quran.

Secara ringkas, ilmu kalam kemudian terbahagi kepada dua iaitu kalam yang dicela (mazmum) dan kalam yang dipuji (mahmud). Kata Imam Ibn 'Asakir: "Kalam yang dicela ialah kalam golongan yang mengikut hawa nafsu dan apa-apa yang dipamerkan oleh kumpulan fahaman bidaah yang sesat itu. Adapun kalam yang menepati al-Quran dan sunah serta dapat menjelaskan hakikat perkara usul ketika timbulnya fitnah, maka ia adalah dipuji di sisi para ulama dan siapa yang mengetahuinya. Imam as-Syafii sendiri pernah menguasai dan memahaminya. Beliau juga pernah berbahas dengan lebih daripada seorang kalangan ahli bidaah serta menegakkan hujah ke atasnya sehingga dia terdiam." (lihat: Tabyin Kazib al-Muftari, hlm 339)

Adapun pendirian Imam Ahmad (wafat 241H) dalam menolak metode kalam, maka ia hanya menunjukkan betapa teguhnya beliau mempertahankan pegangan akidah yang diwarisi daripada majoriti Salafussoleh. Sama sebagaimana pendiriannya dalam menolak fiqah Ahli ar-Ra'yi. Namun, penolakan beliau bukan bererti membangunkan hujah atau dalil aqli menurut petunjuk al-Quran dan sunah itu adalah satu kesesatan yang disepakati syarak. Kerana itu, ulama hadis yang datang kemudian berpecah kepada dua kelompok. Satu kelompok tetap berpegang teguh sepertimana Imam Ahmad dalam menolak dalil aqli. Satu kelompok lagi menerima dalil aqli yang dikemas kini oleh Imam al-Asy'ari dan Imam al-Maturidi.

Jelasnya, pihak yang masih mencela metode kalam ASWJ dengan menggunakan kata-kata ulama Salaf hakikatnya masih gagal memahami realiti sejarah dan isu sebenar yang berlaku.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 6:00 AM