Mohd Ajib Ismail. FOTO Arkib NSTP
Mohd Ajib Ismail. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Saufi Hassan

Baru-baru ini, beberapa ceramah membabitkan tokoh pendakwah terkenal dibatalkan kerana penceramah terbabit tiada tauliah untuk berdakwah di negeri berkaitan.

Ia menimbulkan perdebatan dalam kalangan orang awam berhubung isu ini dan tidak kurang juga yang mempertikaikan tindakan Majlis Agama Islam Negeri berkaitan.

Bagi menjelaskan keadaan berkenaan serta mendapatkan gambaran berhubung kepentingan tauliah dalam kalangan pendakwah, wartawan Kafe Ahad, MUHAMMAD SAUFI HASSAN mewawancara Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) DATUK MOHD AJIB ISMAIL.

Apakah peranan tauliah untuk penceramah dan apakah wujud jenis-jenis tauliah khas untuk jangka pendek?

Tauliah Mengajar Agama Islam ditetapkan bagi mengekang penyebaran pemahaman yang menyeleweng dari akidah Islam serta mengelakkan amalan-amalan bid'ah dan khurafat daripada disebarkan.

Ia juga bagi membasmi penularan hadis-hadis palsu dan tiada asal dalam kalangan orang awam, menyatukan dan mengharmonikan adab-adab khilaf atau perbezaan pandangan dalam kalangan para guru, masyaikh dan sebagainya agar dapat diterima oleh masyarakat dengan hati yang senang dan terbuka.

Penetapan tauliah juga bertindak sebagai batasan dan sempadan bagi mengelakkan sikap dan akhlak yang buruk seperti mencerca serta memaki hamun terhadap mana-mana pihak, sekali gus menyumbang kepada suasana ketenteraman dan keharmonian dalam masyarakat.

Tauliah diperlukan untuk memastikan kesesuaian, kemampuan dan kelayakan seseorang yang berhasrat mengajarkan agama agar memahami waqi' atau realiti sebenar masyarakat yang menerima pengajaran.

Apakah wujud jenis-jenis tauliah?

Tauliah menjadi panduan yang berguna dalam penyampaian ilmu agar lebih tersusun dan menepati maksud ajaran Islam yang sebenar.

Tauliah merujuk kepada kebenaran mengajar oleh badan berautoriti di dalam sesebuah negeri seperti Majlis Agama Islam atau Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang diberikan autoriti untuk mengeluarkan dan memberikan tauliah kepada seseorang yang ingin menyampaikan pengajaran agama.

Jenis-jenis tauliah ada dua iaitu:

i. Tauliah mengajar agama Islam yang diberikan dalam satu tempoh tertentu dan boleh diperbaharui. Tempoh sah tidak melebihi lima tahun bagi seorang warganegara Malaysia dan tidak melebihi satu tahun bagi seorang bukan warganegara Malaysia.

ii. Tauliah mengajar agama Islam (khas) iaitu suatu tauliah mengajar agama Islam yang membenarkan seorang warganegara Malaysia atau bukan warganegara yang dijemput khas oleh mana-mana pihak untuk mengajar agama Islam dalam suatu program yang berhubungan dengan agama Islam.

Punca kuasa tauliah ini termaktub di dalam Seksyen 96 (3), Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505] yang memperuntukkan kuasa Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama seperti berikut: "Jawatankuasa hendaklah mempunyai kuasa untuk memberikan tauliah bagi maksud mengajar mengenai apa-apa aspek agama Islam dan untuk menarik balik tauliah sedemikian."

   

Apakah prosedur yang perlu dipatuhi jika seseorang pendakwah ingin mendapatkan tauliah mengajar?

Prosedur yang perlu dipatuhi adalah dengan membuat permohonan tauliah mengajar dan menjalani ujian kelayakan yang dilaksanakan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bagi mengenal pasti tahap kepakaran serta bidang yang dikuasai oleh seseorang penceramah.

   

Mengapakah wujud kes yang mana tauliah berkenaan dibatalkan, mungkin ada pelanggaran peraturan dan sebagainya?

Pembatalan tauliah sememangnya boleh dilakukan atas sebab-sebab tertentu berdasarkan kepada maklumat terkini yang diperoleh oleh pihak berkuasa.

Contoh, jika pihak berkuasa mendapati terdapat unsur-unsur yang boleh membawa kepada salah faham dalam masyarakat sehingga dibimbangi boleh mencetuskan konflik, kekeliruan dan keresahan dalam masyarakat.

Jika seseorang pendakwah tidak mempunyai tauliah, adakah dia dibolehkan mengajar dan jika tidak, mungkin ada perlanggaran peraturan?

Di Wilayah-Wilayah Persekutuan, semua penceramah perlu mempunyai Tauliah Mengajar Agama Islam kerana mengajar agama tanpa tauliah adalah menjadi suatu kesalahan.

Perkara tersebut berdasarkan Seksyen 11(1), Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) yang memperuntukkan seperti berikut:

"Mana-mana orang yang mengajar atau mengaku mengajar apa-apa perkara yang berhubungan dengan agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah seksyen 96 Akta Pentadbiran adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya."

Pada pandangan Datuk, apakah masih relevan prosedur pentauliahan ini dengan keadaan semasa kerana wujud pandangan ia seolah-olah menyekat penyebaran ilmu?

Prosedur pentauliahan dalam pengajaran agama adalah menepati prinsip Siasah Syar'iah dalam mentadbir urus hal ehwal agama serta selaras dengan Maqasid Syariah dalam aspek pemeliharaan akal dan agama.

Ketetapan ini amat diperlukan bahkan pemerkasaan dan penambahbaikan boleh dilakukan dalam mendepani perkembangan isu-isu agama yang semakin rencam dan mencabar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 7:30 AM