FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Dr Mohd Khafidz Soroni

Dalam perbincangan sanad, perawi hadis adalah topik dan subjek utamanya. Mereka terdiri daripada pelbagai peringkat zaman, daripada zaman sahabat, tabiin, tabi tabiin sehingga ke zaman ulama pengarang kitab hadis terutama dalam kurun ketiga dan keempat Hijrah.

Meskipun sahabat tidak maksum, ulama sepakat mengangkat kedudukan mereka sebagai golongan yang adil dan jujur. Semua hadis yang diriwayatkan mereka diterima sebagai hadis yang benar daripada Nabi SAW.

Bagaimanapun, keistimewaan ini tidak diberikan kepada generasi selepas mereka iaitu golongan tabiin dan seterusnya. Dalam kalangan tabiin misalnya, tidak semua hadis yang diriwayatkan oleh mereka diterima sebagai benar. Demikian juga pada generasi sesudah mereka dan seterusnya.

Antara faktor yang menyebabkan demikian ialah tercetusnya fitnah pergeseran sesama umat Islam sehingga membawa kepada sentimen permusuhan yang melampau. Lalu muncul fahaman ekstrem seperti Khawarij, Syiah dan Nawasib. Fitnah yang berpunca daripada politik ini kemudian membawa kepada perkara akidah dan agama.

Misalnya, setiap kumpulan mencipta hadis palsu untuk mengukuhkan fahaman masing-masing. Oleh itu, kata Ibn Sirin (wafat 110H): "Ahli ilmu mulanya tidak bertanya tentang sanad namun sesudah tercetusnya fitnah, mereka mula bertanya: 'Sebutkan kepada kami nama perawi kamu (supaya diketahui latar belakangnya). Maka, jika didapati daripada Ahlus Sunnah, baru diambil hadis mereka dan jika didapati daripada ahli bidaah pula, tidak diambil hadis mereka.'"

Selain faktor sifat adil ('adalah), faktor tahap kepintaran (dhabt) perawi turut menjadi ukuran dalam penerimaan sesuatu hadis. Kewujudan pelbagai tahap keupayaan akal dan kepintaran adalah fitrah semula jadi manusia. Melalui akal, manusia mengingat apa yang dilihat dan didengarnya. Sekiranya ingatan lemah, sudah tentu fakta yang disampaikan boleh diragui ketepatannya. Dalam kalangan perawi, tidak sedikit bilangan mereka yang bersifat demikian. Dua faktor ini adalah isu yang menjadi ukuran utama kredibiliti perawi hadis.

Pendokumentasian biografi perawi dilakukan secara giat sejak kurun ketiga Hijrah. Antara kitab yang merekodkannya ialah at-Tabaqat al-Kubra oleh Ibn Saad (wafat 230H), Ma'rifat ar-Rijal oleh Ibn Ma'in (wafat 233H), at-Tarikh al-Kabir oleh al-Bukhari (wafat 256H) mengandungi hampir 40,000 biografi, al-Jarh wa at-Taadil oleh Ibn Abi Hatim (wafat 327H) mengandungi 18,050 biografi dan Siyar al-A'lam an-Nubala' oleh al-Zahabi (wafat 748H) mengandungi 6,895 biografi.

Ulama hadis turut membahagikan perawi hadis kepada dua golongan iaitu perawi yang dipercayai (thiqat) dan perawi yang daif (dhu'afa').

Antara karya khusus berkaitan perawi yang dipercayai (thiqat) ialah Tarikh at-Thiqat (wafat 261H) oleh al-'Ijli mengandungi 2,116 biografi, at-Thiqat oleh Ibn Hibban (wafat 354H) mengandungi 16,008 biografi, Tarikh Asma' at-Thiqat oleh Ibn Syahin (wafat 385H) dan Tazkirah al-Huffaz oleh al-Zahabi (wafat 748H) mengandungi 1,212 biografi.

Antara karya khusus berkaitan perawi yang daif (dhu'afa') pula ialah ad-Dhu'afa' al-Kabir oleh al-Bukhari (wafat 256H), ad-Dhu'afa' wa al-Matrukin oleh Abu Zur'ah (wafat 264H), ad-Dhu'afa' wa al-Matrukin oleh al-Nasa'i (wafat 303H), ad-Dhu'afa' oleh al-'Uqaili (wafat 322H) mengandungi 2,101 biografi, al-Majruhin oleh Ibn Hibban (wafat 354H) mengandungi 1,284 biografi, al-Kamil fi Dhu'afa' ar-Rijal oleh Ibn 'Adi (wafat 365H) mengandungi 2,206 biografi, Mizan al-I'tidal oleh al-Zahabi (wafat 748H) mengandungi 11,053 biografi dan Lisan al-Mizan oleh Ibn Hajar (wafat 852H) mengandungi 14,343 biografi.

Oleh kerana al-Kutub as-Sittah (enam kitab hadis induk) iaitu Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Dawud, Sunan at-Tirmizi, Sunan an-Nasaie dan Sunan Ibn Majah adalah kitab rujukan hadis yang penting dalam perundangan Islam maka semua perawi kitab ini dihimpunkan dalam karya khusus yang disusun pula nama mereka mengikut huruf abjad.

Antara rujukan penting baginya ialah kitab Tahzib al-Kamal oleh al-Mizzi (wafat 742H) dan kemudian dikemas kini oleh Ibn Hajar (wafat 852H) dalam Tahzib at-Tahzib, mengandungi 8,937 biografi.

Terdapat pelbagai karya disusun mengenai biografi perawi hadis. Semua rujukan ini membina suatu disiplin ilmu yang sangat penting dalam pengajian hadis, iaitu ilmu rijal al-hadis (perawi hadis) manakala semua pengarang kitab yang disebutkan adalah tokoh penting dalam perbahasan ilmu ini.

Selain kreativiti penyusunan, semua rujukan ini menunjukkan betapa ulama hadis menyumbangkan satu jasa yang cukup besar dalam mengkhidmati hadis Nabi SAW.

Matlamat mereka adalah supaya hadis terus terpelihara daripada diganggu gugat oleh sebarang unsur yang boleh merosakkannya.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 6:30 AM