KELEBIHAN seorang guru ialah apabila dirinya dikenali sebagai guru meskipun sudah meninggalkan kerjaya keguruan secara formal.
KELEBIHAN seorang guru ialah apabila dirinya dikenali sebagai guru meskipun sudah meninggalkan kerjaya keguruan secara formal.
Mohd Shahrizal Nasir

Bulan Mei amat sinonim dengan majlis meraikan jasa dan pengorbanan guru. Tanggal 16 Mei menjadi detik penting untuk masing-masing mengenang segala usaha guru mendidik diri sehingga dapat menjadi insan berjaya seperti hari ini. Setiap orang pasti pernah merasai didikan guru di pelbagai peringkat pendidikan. Peluang setiap warganagera Malaysia mendapat pendidikan tanpa mengira bangsa dan keturunan merupakan antara nikmat besar berada di negara penuh keberkatan ini. 

Sejak peringkat prasekolah, semua orang telah mula mengenal insan bernama guru. Malah pada peringkat inilah guru berdepan cabaran paling hebat untuk memastikan anak-anak murid mengenal huruf dan nombor. Saat usia anak-anak sangat mentah, mereka mula berpisah dengan ibu bapa untuk beberapa jam menimba ilmu di taska atau tadika. Ada yang menangis berhari-hari kerana kesedihan berjauhan dengan ibu bapa untuk tempoh yang cukup lama bagi mereka.

Guru di peringkat prasekolah tidak boleh dilupakan jasa dan pengorbanan mereka. Merekalah yang menguruskan diri anak-anak murid termasuk di bilik air kerana usia yang terlalu muda. Namun disebabkan ilmu, guru terus menggagahkan diri memikul tanggungjawab mendidik anak bangsa. Ketika tibanya masa untuk menghargai jasa guru, golongan guru prasekolah tidak wajar dilupakan. Ini kerana kebanyakan orang hanya ingat jasa guru mereka yang berada di peringkat sekolah menengah.

Tidak ramai yang sedar bahawa ucapan terima kasih yang diucapkan oleh anak murid kepada gurunya merupakan sesuatu yang amat bernilai buat si guru. Tambahan pula tatkala si anak murid berjaya dalam bidang kerjaya masing-masing. Ucapan 'terima kasih' meskipun ringkas, namun tidak semudah itu untuk menzahirkannya lebih-lebih lagi kepada insan yang mungkin telah lama kita tinggalkan, iaitu sewaktu alam persekolahan dahulu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  "Tidak dikatakan bersyukur kepada Allah bagi siapa yang tidak tahu berterima kasih pada manusia."  (Hadis riwayat Abu Dawud)

Dengan kemudahan alat komunikasi canggih masa kini, pelbagai cara boleh kita manfaatkan untuk menzahirkan ucapan terima kasih kepada guru. Ia perkara yang mudah, namun tidak semudah itu untuk melakukannya. 

Berapa ramai dalam kalangan kita yang memasukkan nama-nama guru mereka dalam doa setiap hari? Ia tidak memerlukan modal wang ringgit, hanya sekelumit usaha yang ikhlas. Berdoalah dengan doa kebaikan yang banyak buat si guru. Semoga guru dipanjangkan usia dalam keadaan sihat agar dapat terus berbakti mendidik anak murid mereka. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  "Sesiapa yang memberikan kebaikan untuk kalian, maka balaslah (kebaikan tersebut). Jika engkau tidak mampu membalasnya, doakanlah untuknya sampai engkau yakin telah benar-benar membalasnya."  (Hadis riwayat Abu Dawud)

Hadis ini memberi kefahaman mendoakan seseorang yang berbuat baik kepada kita perlu dilakukan secara berterusan. Hal ini sehingga sampai kepada tahap kita yakin dengan doa itu, kita telah membalas kebaikan insan tersebut. Doakanlah kebaikan untuk guru setiap kali kita memohon hajat kepada Allah SWT.

Selain mendoakan guru, antara perkara yang termasuk dalam usaha menghargai jasa guru ialah dengan mengamalkan didikan yang diterima daripada mereka. Inilah antara perkara yang menjadi kekuatan bagi orang yang menceburi bidang pendidikan. Guru inginkan setiap ilmu yang dicurahkan dapat dimanfaatkan oleh pelajar serta disebarkan kepada orang lain. Rasulullah SAW bersabda mafhumnya:  "Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia (lain)."  (Hadis riwayat at-Tabrani)

Antara perkara penting yang perlu diusahakan oleh anak murid ialah menyebarluaskan ilmu yang diperoleh daripada guru kepada orang lain. Jangan kedekut untuk berkongsi ilmu yang dimiliki kerana hakikatnya ia milik mutlak Allah SWT. Dengan cara ini, guru kita akan terus mendapat pahala kebaikan asbab daripada penyebaran ilmunya yang bermanfaat kepada orang ramai.

Sesungguhnya orang yang mengajarkan kepada orang lain sesuatu yang bermanfaat, maka dia akan mendapat ganjaran pahala yang berpanjanagan. Ini sepertimana yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud:  "Apabila seseorang insan meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak solleh yang sentiasa mendoakannya."  (Hadis riwayat Muslim)

Hakikatnya tidak semua orang mempunyai kelebihan untuk mendidik insan. Malah ada dalam kalangan kita yang tidak sanggup untuk menjadi pendidik kerana bebanan tanggungjawab besar yang mesti dipikul oleh seorang pendidik. Apabila semua pihak mengiktiraf profesion keguruan yang sememangnya tinggi di sisi Islam, maka pelbagai perkara positif dan baik boleh dilaksanakan untuk kebaikan anak-anak.

Sebagai contoh, sebagai ibu bapa yang mahukan kebaikan untuk si anak, jangan malu untuk memohon jasa baik guru agar dapat mendoakan kejayaan anak. Hal ini merupakan satu tanda pengiktirafan kita terhadap guru yang sentiasa berusaha menyampaikan ilmu kepada anak didik mereka. Golongan yang mempunyai ilmu pengetahuan sememangnya memiliki banyak perbezaan dengan golongan yang sebaliknya.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud:  "Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan (daripada kalangan kamu) beberapa darjat."  (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Kelebihan seorang guru ialah apabila dirinya dikenali sebagai guru meskipun telah meninggalkan profesion keguruan secara formal. Orang akan terus mengingati jasa guru dengan memanggilnya sebagai 'cikgu' meskipun telah meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya. Inilah antara kedudukan mulia seorang guru yang diletakkan oleh masyarakat. Semuanya satu bentuk penghormatan kepada guru dan tanda ingatan bagi terus mengenang segala jasa dan pengorbanan guru. 

Usah hanya mengingati guru ketika tibanya tanggal 16 Mei. Sebaliknya teruslah mengenang jasa mereka dalam untaian doa harian. Mudah-mudahan ia menjadi petunjuk adanya keberkatan dalam mengamalkan ilmu yang diperoleh daripada guru selama ini. 

Semoga Allah SWT memberkati setiap usaha guru dalam mendidik orang lain seperti anak sendiri. Bagi guru yang telah terlebih dahulu meninggal kita, maka doakanlah agar Allah SWT menempatkan mereka dalam kalangan hamba-Nya yang beriman bersama para salihin.


    

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 6:00 AM