ILMU akan diberkati sekiranya anak murid berusaha menyantuni guru sebagaimana yag dianjurkan oleh Islam. - Gambar hiasan. FOTO Arkib BERNAMA
ILMU akan diberkati sekiranya anak murid berusaha menyantuni guru sebagaimana yag dianjurkan oleh Islam. - Gambar hiasan. FOTO Arkib BERNAMA
Mohd Shahrizal Nasir

Manusia pastinya akan melalui proses pembelajaran dalam kehidupan masing-masing. Setiap insan mesti berpeluang untuk menjadi murid kepada guru yang mengajar ilmu pengetahuan bermanfaat. Proses pencarian ilmu bukan saja berlangsung tatkala usia kanak-kanak, tetapi sebaiknya usaha menuntut ilmu diteruskan tanpa had usia kerana tidak ada dalam kalangan manusia yang cukup sempurna ilmunya. 

Hanya Allah SWT sahajalah yang memiliki ilmu yang paling sempurna. Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahkan lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan." (Surah al-Kahf, ayat 109)

Sudah pasti semua umat Islam mengakui bahawa ilmu adalah milik Allah SWT secara mutlak. Tidak ada satu makhluk pun di atas muka bumi ini yang memiliki ilmu tersendiri melainkan semuanya adalah kurniaan daripada Allah SWT. Walau bagaimanapun, Allah SWT telah mengangkat darjat orang berilmu melebihi orang lain kerana hanya dengan ilmu sahajalah manusia akan mengenal Allah SWT yang mencipta segala-galanya.

Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna." (Surah az-Zumar, ayat 9)

Dalam usaha menuntut ilmu, setiap murid perlu menjaga adab dengan guru bagi mendapat keberkatan ilmu. Disebabkan usaha menuntut ilmu perkara baik yang dapat menjadi sebab seseorang mendapat ganjaran pahala, maka ia tidak boleh dicemari dengan perkara-perkara mungkar khususnya membabitkan hubungan anak murid dengan guru.

Fokus dalam proses menimba ilmu 

Cabaran hari ini terdapat usaha bergantung kepada teknologi termasuk dalam mencari bahan-bahan pembelajaran. Sikap bergantung kepada bahan yang boleh didapati daripada internet ada kalanya menjadikan pelajar hilang fokus ketika berada dalam kelas. Ada dalam kalangan pelajar yang merasakan tidak ada sebarang kerugian pun sekiranya tidak memberi fokus dalam sesi pembelajaran. Hal ini kerana segala bahan boleh dicapai dengan mudah daripada sumber internet.

Persepsi tersebut perlu diperbaiki agar anak-anak yang sedang belajar mengetahui kepentingan memberi fokus dalam proses menimba ilmu kerana ia mengundang keberkatan daripada Allah SWT. Medium teknologi tanpa sentuhan insani tidak akan dapat menggantikan peranan guru yang bukan saja bertindak menyampaikan ilmu semata-mata sebaliknya mendidik agar anak murid menjadi insan berilmu yang dapat memberi manfaat kepada orang lain.

Bertanya guru untuk mendapat kefahaman

Islam amat mementingkan perihal tutur kata termasuk dalam hal berkaitan pertanyaan. Anak murid perlu mengambil peluang untuk bertanya dengan guru semasa dalam proses menuntut ilmu. Perkara ini perlu dijadikan budaya kerana perbuatan bertanya tentang ilmu kepada ahlinya akan membawa kebaikan yang besar buat penuntut ilmu.

Allah SWT mengingatkan manusia agar bertanya sesuatu perkara yang di luar daripada pengetahuan kepada orang yang sepatutnya. Usah bertanya kepada orang yang jahil kerana ia punca seseorang terjerumus ke dalam lembah kesesatan. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang yang berpengetahuan (orang berilmu) jika kamu tidak mengetahui." (Surah an-Nahl, ayat 43)

Mungkin akan berlaku situasi membabitkan jawapan yang diberikan guru tidak sempurna, namun adab menghormati guru perlu terus dipelihara. Imam al-Ghazali antara lain menyebut dalam kitabnya Ihya' 'Ulum ad-Din yang bermaksud: "Apapun yang diterangkan oleh guru semasa pengajian maka hendaklah (penuntut ilmu) mengikutinya dan meninggalkan pandangan peribadinya, kerana kesilapan guru lebih bermanfaat daripada apa yang mungkin benarnya yang datang daripada dirinya (penuntut ilmu)."  

Pelihara kata-kata tatkala berbicara

Dunia hari ini ada kalanya menyekat peluang untuk manusia berbicara secara langsung dengan bersemuka. Penggunaan medium interaksi bersifat maya sedikit sebanyak menghakis tatasusila manusia dalam berbicara. Hal ini mungkin disebabkan keadaan tidak bersemuka yang menjadikan manusia hilang rasa malu lalu menulis apa saja tanpa utamakan ketertiban dalam berbicara.

Sebagai contoh, ada dalam kalangan anak murid yang menulis pesanan ringkas menerusi telefon dengan perkataan yang ringkas ejaannya dan menggunakan tanda bacaan pada tempat yang salah. Ada yang menggunakan simbol atau tanda seruan dalam mesej atau menggunakan banyak tanda soal ketika ingin bertanya soalan, atau menggunakan emoji yang tidak sesuai, sedangkan mesej tersebut dihantar kepada guru mereka.

Selain itu, disebabkan pelajar menggunakan gajet terkini untuk berkomunikasi dengan guru, ada kalanya mereka tidak memikirkan soal kesesuaian waktu untuk mengajukan soalan atau seumpamanya kepada guru mereka. Semua ini sedikit sebanyak menghakis tatasusila hubungan antara murid dengan guru khususnya membabitkan urusan komunikasi.

Lihatlah adab yang ditunjukkan oleh sahabat tatkala bersama dengan Rasulullah SAW yang juga guru mereka. Daripada Abu Sa'id al-Khudri, beliau menyatakan bahawa: "Ketika kami sedang duduk di masjid, maka keluarlah Rasulullah SAW kemudian duduk di hadapan kami. Maka seakan-akan di atas kepala kami terdapat burung. Tidak seorang pun daripada kami yang berbicara (kerana menghormati dan menyantuni Rasulullah." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ucaplah terima kasih

Tidak ramai yang sedar bahawa ucapan terima kasih yang diucapkan oleh anak murid kepada gurunya merupakan sesuatu yang amat bernilai buat guru. Tambahan pula tatkala si anak murid telah berjaya dalam bidang kerjaya masing-masing. Ucapan 'terima kasih' meskipun ringkas, namun tidak semudah itu untuk menzahirkannya lebih-lebih lagi kepada insan yang mungkin telah lama kita tinggalkan iaitu sewaktu alam persekolahan dahulu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak dikatakan bersyukur kepada Allah bagi siapa yang tidak tahu berterima kasih pada manusia" - (Hadis riwayat Abu Dawud). Dengan kemudahan alat komunikasi canggih masa kini, pelbagai cara boleh kita manfaatkan untuk menzahirkan ucapan terima kasih kepada guru.

Selain itu, berdoalah dengan doa kebaikan yang banyak buat si guru. Semoga para guru dipanjangkan usia dalam keadaan sihat agar dapat terus berbakti mendidik anak murid mereka. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang memberikan kebaikan untuk kalian, maka balaslah (kebaikan tersebut). Jika kamu tidak mampu membalasnya, doakanlah untuknya sampai kamu yakin telah benar-benar membalasnya." (Hadis riwayat Abu Dawud)

Jadikan ilmu sebagai amalan

Antara perkara yang termasuk dalam usaha menghargai jasa guru ialah dengan mengamalkan didikan yang diterima daripada mereka. Inilah antara perkara yang menjadi kekuatan bagi orang yang menceburi bidang pendidikan. Para guru inginkan setiap ilmu yang dicurahkan dapat dimanfaatkan oleh pelajar serta disebarkan kepada orang lain. Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: "Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia (lain)." (Hadis riwayat at-Tabrani)

Justeru, perkara penting yang perlu diusahakan oleh anak murid ialah menyebarluaskan ilmu yang diperoleh daripada guru kepada orang lain. Jangan kedekut untuk berkongsi ilmu yang dimiliki kerana hakikatnya ia milik mutlak Allah SWT. Dengan cara ini, guru kita akan terus mendapat pahala kebaikan asbab daripada penyebaran ilmunya yang bermanfaat kepada orang ramai.

Sesungguhnya orang yang mengajarkan kepada orang lain sesuatu yang bermanfaat, maka dia akan mendapat ganjaran pahala yang berpanjangan. Ini sepertimana yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Apabila seseorang insan meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya." (Hadis riwayat Muslim)

Akhirnya, marilah sama-sama kita berusaha menghormati dan menyantuni guru yang telah bersusah-payah mendidik kita. Ilmu akan diberkati sekiranya anak murid berusaha menyantuni guru sebagaimana yag dianjurkan oleh Islam. Hubungan baik antara murid dengan guru yang ditekankan dalam Islam membuktikan agama ini amat menjaga hubungan sesama manusia.

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 7:00 AM