FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Memperbanyakkan infaq (bersedekah) menjadi kebiasaan kepada umat Islam di seluruh dunia apabila tibanya Ramadan yang penuh keberkatan.

Malah, bulan ini juga memperlihatkan ramai bukan Muslim bersama menghulur sumbangan terutamanya untuk berbuka puasa.

Begitu juga dengan sumbangan dalam aspek lain bagi membantu dan meringankan beban golongan fakir, miskin dan mereka yang memerlukan.

Dalam Islam, infaq sangat dituntut dan Allah SWT menjanjikan pahala yang sangat besar. Allah SWT berfirman: "Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Kesedaran bersedekah dan menyampaikan bantuan dalam apa jua bentuk khususnya pada Ramadan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada setiap peringkat. Perkara ini bukan sahaja dapat meringankan beban golongan yang memerlukan, pada masa sama dapat mengeratkan hubungan di antara masyarakat.

Tambahan lagi, fenomena ini telah menular dalam kalangan bukan Muslim. Secara umumnya, perpaduan dapat dipupuk dan disuburkan antara sesama rakyat berbilang bangsa dan anutan.

Pada Ramadan Rasulullah SAW lebih bersifat pemurah berbanding bulan lain. Rasulullah SAW bersabda: "Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang paling murah hatinya dengan (berbahagi) kebaikan dan beliau lebih bermurah hati ketika Ramadan, ketika ditemui Jibril, dan Jibril menemui baginda setiap malam dalam Ramadan sehingga berakhir (bulan), dia menyampaikan al-Quran kepada Nabi SAW, maka jika Jibril menemui Baginda, maka Baginda adalah seorang yang lebih bermurah hati dengan (berbahagi) kebaikan daripada angin yang bertiup." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam menjelaskan sifat pemurah Rasulullah SAW ini dijelaskan dalam kitab Fath al-Bari: "Berkata al-Zain Ibnu al-Munir: "Perspektif persamaan di antara kedermawan Rasulullah SAW dengan kebaikan dan kedermawan angin yang bertiup adalah bahawa maksud dari angin adalah angin rahmat yang Allah utuskan untuk menurunkan hujan yang merata yang menjadi sebab terkenanya bumi yang kering atau tidak kering. Maksudnya kebaikan dan kebajikannya (Rasulullah SAW) umum, meliputi untuk seorang yang bersifat fakir, memerlukan dan untuk seorang yang kaya dan berkecukupan. (Kebaikan dan kedermawan baginda) lebih banyak dibandingkan apa yang ditimbulkan oleh hujan yang tercipta daripada angin yang mengalir."

Pelbagai pihak mendapat manfaat besar daripada sumbangan atau infaq para dermawan. Antara pihak yang banyak mendapat manfaat ialah institusi berkaitan pengajian agama seperti pusat tahfiz al-Quran dan madrasah yang menumpukan kepada pengajian Islam. Saban hari menjelang Ramadan kita melihat di akhbar serta media sosial yang pelbagai iklan atau tawaran untuk merebut peluang infaq kepada institusi ini. Tambahan lagi jika ia berkaitan dengan penjagaan atau bertanggungjawab terhadap anak yatim dan golongan miskin dan tidak berkemampuan.

Sebagaimana biasa setiap tahun juga bantuan dan sumbangan digerakkan dengan lebih agresif untuk membantu penduduk di negara yang menghadapi krisis makanan yang berpanjangan. Antara yang mendapat perhatian khusus umat Islam ialah saudara seagama kita di Palestin, Syria dan beberapa negara lain yang menderita kelaparan. Bukan sahaja pada Ramadan, tetapi mereka sebenarnya telah menghadapi masalah kekurangan makanan sejak beberapa tahun hingga sekarang. Bantuan yang dihulurkan sempena Ramadan sedikit sebanyak meringankan bebanan mereka dan memberi peluang kepada mereka bagi mengharungi bulan puasa ini dengan keadaan yang lebih baik. Sekurang-kurangnya ada juadah untuk mereka bersahur dan berbuka puasa. Begitu juga untuk persediaan menyambut hari raya.

Allah SAW berfirman: "Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan Hari Akhirat dan segala malaikat dan segala kitab dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. Orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 177)

Keyakinan umat Islam terhadap janji Rasulullah SAW kepada mereka yang infaq harta menjadikan semangat infaq ini sentiasa subur dalam jiwa. Oleh itu, semakin hari kita melihat perkembangan yang sangat memberangsangkan. Bukan sedikit harta yang disedekahkan ditambah lagi dengan kos yang mahal ketika ini. Berkenaan memberi makanan untuk berbuka puasa, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 6:15 AM